top of page

RAJA SAMBAS, WANITA TUA DAN SEJARAH BUBUR PEDAS


CERITA RAJA SAMBAS, WANITA TUA DAN SEJARAH BUBUR PEDAS


TATKALA menjelang Ramadhan antara menu yang sering ditunggu-tunggu oleh masyarakat Melayu di Sarawak adalah bubur pedas. Dan kita sendiri sudah sedia maklum dek kerana kita berada di pulau yang sama, menu tradisional ini turut dikongsi bersama dengan masyarakat di tempat lain contohnya di Sambas. Keberadaan perkongsian menu tradisional yang sama mungkin kerana asal muasal keturunan Melayu Sarawak juga turut banyak perkaitannya dengan Melayu Sambas samada dari segi sejarah kuno serta banyak lagi.


Berbicara menu wajib di bulan Ramadhan yang mulia mungkin bagi masyarakat Melayu di Sarawak tidak begitu mengetahui bahawa ada terselit cerita rakyat mengenai daun kesum di dalam sejarah bubur pedas di Sambas. Dan cerita ini sudah menjadi cerita lisan bagi masyarakat di Sambas yang dilestarikan dari satu generasi ke generasi yang lain.


Alkisahnya suatu waktu dahulu dikatakan ada seorang raja atau pemimpin yang amat disayangi oleh rakyatnya di Sambas. Tiada tolok bandingnya kebaikan raja tersebut kerana setiap apa jua permasalahan rakyatnya sentiasa didengar malah akan segera diselesaikan sebaik mungkin. Turut dikatakan wilayah kekuasaan raja itu juga makmur kerana bijaknya beliau memerintah.


Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari raja tersebut telah jatuh sakit. Dek kerana kesakitannya itu menyebabkan beliau langsung tiada nafsu makan. Dari bertubuh sasa dan tegap lama-kelamaan raja menjadi kurus kering. Beratus dukun dan pawang cuba membantu menyembuhkan sakitnya namun tiada yang benar-benar mujarab. Hal kegeringan raja ini begitu mendapat perhatian daripada rakyatnya.


Pada suatu petang datanglah seorang wanita tua ke istana raja dengan beberapa barangan mentah di dalam bakulnya. Kedatangannya disapa oleh pengawal raja dan tanpa berasa malu wanita tua itu memberitahu niat sebenarnya dia bertandang ke istana raja. Oleh kerana tujuannya adalah untuk mengubati penyakit raja maka pengawal tersebut membawanya sendiri berjumpa dengan raja tersebut.


Di dalam kesakitan, raja yang begitu menyayangi rakyatnya sentiasa mendengar apa sahaja luahan rakyatnya dan begitulah juga wanita tua itu. Permintaan wanita tua untuk memasakkan sesuatu kepadanya agar sembuh segala penyakitnya ditunaikan dan lantas mengarahkan pihak pegawai dapur istana membantu si wanita tua tersebut. Namun wanita tua memohon janganlah dia dibantu oleh sesesiapa kerana dia sudah biasa memasak seorang diri.


Setelah menanti dengan penuh kesabaran akhirnya menu masakan “ajaib” dihidangkan kepada raja tersebut. Diceritakan raja yang hanya baring semenjak jatuh bangun telah terbangun dengan mencium bau masakan tersebut dari jauh. Tidak pernah dia menghidu masakan yang sebegitu enak sehingga memungkin raja tersebut boleh bersandar di katilnya. Tidak mampu menahan sabar untuk merasa keenakan masakan tersebut menyebabkan raja terus menjamahnya tanpa segan silu lagi. Dari hanya ingin merasa akhirnya sampai bertambah-tambahlah pula masakan itu dimakannya.


Apabila sudah kenyang barulah raja bertanya dengan si wanita tua gerangan apakah masakan yang dihidangkan kepadanya. Ini kerana ianya terlalu enak bahkan usai memakannya badan terasa sungguh bertenaga. Wanita itu menceritakan bahawa masakan itu bernama “bubur pedas” dan ianya adalah satu makanan tradisional yang boleh memulihkan tenaga kerana di dalamnya terkandung banyak rempah ratus serta sayur-sayuran yang menyegarkan.


Sejak daripada itu diceritakan bahawa kesihatan raja semakin bertambahbaik dengan setiap masa makannya mestilah menjamah si “bubur pedas”. Dek kerana keajaibannya itulah juga menjadikan masakan bubur pedas turut sama dijadikan menu makanan untuk rakyat jelata di negeri tersebut sehingga tersebar sehingga ke Sarawak.


Itulah ceritanya mengenai antara sastera rakyat secara lisan yang ada di bumi Sambas di dalam memperkatakan mengenai sejarah bubur pedas. Pada sesiapa yang pernah merasai keenakan bubur pedas sudah tentu tidak boleh menafikan bahawa ada kebenaran pada cerita lisan ini iaitu bubur pedas sememangnya antara masakan yang menyegarkan tubuh badan setelah perut kosong seharian.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta!



Nota: Cerita ini diolah semula oleh penulis berdasarkan perbualan lisan dengan seorang wanita berketurunan Melayu Sambas (Nama dirahsiakan bagi menjaga privasi) yang tinggal di Kampung Telaga Aik, Kuching, Sarawak. 11/5/2018.


bottom of page