RICHARD MALANJUM - KETUA HAKIM MALAYSIA
ANAK BUMIPUTERA SABAH PERTAMA DILANTIK SEBAGAI KETUA HAKIM NEGARA MALAYSIA
- Tan Sri Datuk Seri Panglima Richard Malanjum
SEMALAM, 11 Julai 2018 terlakar di dalam sejarah apabila seorang anak bumiputera Sabah yang pertama pernah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara Malaysia yang baharu iaitu Tan Sri Datuk Seri Panglima Richard Malanjum bagi menggantikan Tun Md Raus Sharif yang akan tamat tugasannya menjelang 31 Julai ini. Sebelum dilantik, Tan Sri Malanjun merupakan Ketua Hakim bagi Mahkamah Sabah dan Sarawak.
Dilahirkan pada 13 Oktober 1952 di Tuaran, Sabah memulakan pendidikan rendah dan menengahnya di La Salle Secondary School, Kota Kinabalu Sabah. Di awal kerjayanya adalah sebagai seorang kerani di Jabatan Pelajaran, Pertanian dan RTM. Kemudian melangkah setapak sebagai Pegawai Kebajikan bagi Jabatan Kebajikan Sabah. Sekitar Julai 1972, beliau berjaya menamatkan pembelajaran luar kampusnya di Institut Teknologi Mara, Shah Alam (sekarang UITM) dan kemudian melanjutkan pelajaran ke University of London dengan membawa pulang Bachelor of Law (LLB) 3 tahun kemudian (1975).
Setelah pulang ke tanahair, kerjaya perundangan beliau semakin berkembang iaitu ditawarkan jawatan sebagai Pegawai Pentadbiran di Jabatan Ketua Menteri Sabah dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Pegawai Pendakwaraya di Sabah State Attorney General’s Chambers.
Pada tahun 1976, Tan Sri Malanjum menyambung pelajarannya kembali ke Kota London dan berjaya mendapat “Bar-At-Law” pada masa yang sama. Setelah itu beliau kembali menyambung tugasnya dengan pelbagai jawatan serta kelayakan perundangan selepas itu. Setelah memperolehi pengalaman yang pelbagai di dalam bidang undang-undang negara akhirnya pada tahun 1993, beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Mahkamah Tinggi di Kuching, Miri dan Sandakan. Jun 2005 menyaksikan beliau dinaikkan pangkat sebagai Hakim di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Persekutuan dan Mahkamah Rayuan Malaysia.
Ayah kepada tiga cahayamata ini hasil perkongsian hidupnya dengan Puan Sri Marina Tiu ini turut merekodkan sejarahnya tersendiri sebagai hakim tiga mahkamah persekutuan termuda di Malaysia pernah dilantik iaitu ketika usianya 52 tahun. Sekaligus perlantikan beliau semalam juga menunjukkan betapa apa yang terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963 telahdihormati oleh pihak persekutuan Malaysia yang dibentuk oleh tiga rakan sejajar iaitu Malaya, Sarawak dan Sabah.
Sesungguhnya Sabah dan Sarawak tidak pernah kurang dengan bijak pandainya yang menunggu dengan penuh sabar untuk menjawat apa jua jawatan tertinggi di Gagasan Malaysia. Hampir 55 tahun, kami di Sabah dan Sarawak menunggu detik-detik ini dan barulah pada tahun 2018 merasa kemanisannya bersama membentuk Gagasan Malaysia pada tanggal 16 September 1963 yang lalu. Masih banyak lagi yang kami nantikan di dalam perjuangan memartabatkan kembali Perjanjian Malaysia 1963.
Salam tahniah dan syabas anak Sabah dan semoga akan terus melakar sejarah dengan khidmat bakti yang cemerlang dan terbilang untuk rakyat Malaysia amnya, Sabah dan Sarawak khususnya.
Rujukan:
1. Chief Judge High Court Sabah Dan Sarawak
http://www.kehakiman.gov.my/en/court/high-court/chief-judge-high-court-sabah-and-sarawak\
2. Richard Malanjum
https://www.revolvy.com/main/index.php?s=Richard%20Malanjum&item_type=topic&sr=50
3. The Star Online, 11 July 2018 Richard Malanjum sworn in as new Chief Justice of Malaysia
https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/07/11/richard-malanjum-sworn-in-as-new-chief-justice-of-malaysia/