top of page

PALOIKAH KITA URANG SARAWAK?


ROYALTI ATAU SHARING PROFIT. PALOIKAH KITA URANG SARAWAK?


SEBELUM memulakan bicara terlebih dahulu kami di Borneo Oracle menyusun jari sepuluh kerana agak kurang dengan artikel sejarah kebelakangan ini memandangkan kami sibuk pulai menoa bagi mencari bahan rujukan yang baru serta menghadiri acara-acara sambutan bulan kemerdekaan Sarawak yang akan berlangsung esok, 22 Julai 2018 di Kuching, Sarawak.


Dalam pada itu 24 jam yang lepas, kita mendengar corat coret pengumuman daripada Perdana Malaysia mengenai isu 20% royalti yang akan diberikan oleh kerajaan PH kepada Sabah, Sarawak, Kelantan dan Trengganu seperti apa yang termaktub di dalam manifesto PH (manifesto PH bukan kitab suci yang harus ditunaikan). Walau ianya kelihatan indah di mata namun hakikatnya apa yang disajikan itu adalah jauh menyimpang daripada tujuan asalnya. Ini kerana yang difahami 20% royalti itu adalah berdasarkan jumlah keuntungan yang akan didapati oleh Petronas kelak.


Untuk itu sebelum kita menjadi Pak Kaduk yang menang sorak tetapi kampung tergadai adalah perlu untuk kita semua memahami apakah maksud royalti atau sharing profit yang sebenar. Pemahaman ini perlu kerana kita tidak mahu terus dipaloikan hanya kerana angka 20% tersebut.


Mengikut terma minyak dan gas, apa yang dimaksudkan dengan “ROYALTI” dalam perdagangan minyak dan gas adalah pemilikan peratusan hasil pengeluaran atau pengeluaran, yang dihasilkan dari kawasan yang dipajak. Pemilik royalti tidak menanggung kos eksplorasi, penggerudian, penghasilan, operasi, pemasaran atau perbelanjaan lain yang berkaitan dengan pengeboran dan menghasilkan telaga minyak dan gas.


Manakala untuk “PROFIT” adalah peratusan yang dikongsi dengan mereka yang mengeluar minyak dan gas bersama-sama dengan syarikat atau badan yang menguruskan minyak itu berdasarkan keuntungan bersih selepas menolak segala kos operasi dan sebagainya serta harga minyak pada kadar semasa.


Jadi apakah signifikasinya apabila dikatakan 20% hasil dari keuntungan kerana ianya BUKAN sama sekali royalti sebaliknya “profit sharing”. Dan implikasi sekiranya menerima itu digunapakai untuk kita semua maka jumlah pembayaran hasil dari profit sharing yang diberikan sudah tentu mampu dimanipulasi kerana hanya pihak Petronas yang tahu keuntungan. Jadi kebarangkalian untuk Sarawak hanya menerima jumlah pembayaran yang sedikit harus difikirkan kerana ianya bergantung kepada harga semasa minyak dunia.


Lain pula halnya jika kita berpegang teguh kepada konsep royalti yang dibayar berdasarkan kepada jumlah sumber minyak dan gas yang disedut di bumi Sarawak seperti di dalam terma yang sebenarnya. Haruslah dimaklumi bahawasanya sumber minyak dan gas Sarawak adalah penyumbang 50% hasil pendapatan negara Malaysia. Dan setiap hari ada beribu-ribu barrel minyak yang disedut dari perut bumi kita dan apakah cukup bagi kita hanya berpeluk tubuh dan “tengok sahaja” sumber kita dikaut sewenang-wenangnya tanpa kita mempunyai kuasa terhadapnya lagi seperti bagaimana isu 5% royalti yang kita terima sejak Petronas mula menjadi organisasi yang diberikan hak untuk melakukan eksplorasi dan kegiatan minyak di Malaysia.


Tidakkah kita belajar dari kesilapan yang lepas dek kerana berhati mulianya kita bagi membina Negara Malaysia melalui dasar perkongsian yang akhirnya memakan diri kita kerana lihatlah Sarawak dan Sabah “dilupakan” serta masih lagi kekurangan serba serbi jika dibandingkan dengan negeri-negeri di Malaya dek kerana pusat Persekutuan berada di sana.


Janganlah kita sebagai urang Sarawak terus dipaloikan untuk menerima janji yang diubahsuai yang mana hakikatnya masih memenangkan mereka disana. Bulatkan tekad untuk Kerajaan Sarawak meneruskan perlaksanaan Ordinan Minyak dan Gas 1958 dan melayan Petronas seperti mana mereka yang lain saksama di Sarawak. Tiada ketuanan terhadap sumber kita kerana ini tanah Sarawak dan Sarawak adalah TUAN TANAHNYA dan sebagai tuan tanah harus mengawal segala cerita sumbernya A hingga Z. Kebun kita tetapi orang lain pula yang hendak menentukan syarat bagaimana kita dapat merasa hasilnya.


Kita diambang 22 Julai sekarang dan apakah makna kemerdekaan Sarawak sekiranya tatkala kami bersetuju membentuk GAGASAN MALAYSIA pada tanggal 16 September 1963 adalah untuk menjadi negara pembentuk yang miskin dan mundur. SEPATUTNYA dengan kekayaan sumber yang ada pada Sarawak seharusnya SARAWAKLAH NEGARA PEMBENTUK YANG ADA SEGALANYA. KERAJAAN NEGERI HARUS TOLAK TAWARAN YANG LANGSUNG MERUGIKAN INI.


Sebagai rakyat Sarawak jangan kita leka dengan permainan politik ini semua dan jangan biarkan kita dipaloikan setelah berjuang umpama peminta sedekah untuk harta sendiri. YANG ditawarkan adalah “profit sharing” JAUH SEKALI YANG DIKATAKAN “royalti”. JANGAN BIARKAN PISANG BERBUAH 2X! URANG SARAWAK BELUM LAGIK PALOI TAUK!

Nyior gading puncak mahligai

Buat ketupat berisi inti Ancor daging tulang berkecai

Belum didapat belum kamek berenti!


SELAMAT MENYAMBUT HARI SARAWAK 22 Julai 2018




bottom of page