BUAH ISAU
BUAH ISAU
- Buah Mata Kucing dari Sarawak
BUAH longan sememangnya antara buah-buahan tropikal yang amat popular di kalangan rakyat Malaysia. Namun buah longan yang kita gemari itu bukanlah buah tempatan di Malaysia kerana ianya tidak berbuah di negara kita sebaliknya yang memenuhi pasaran sekarang adalah yang diimport dari negara Thailand. Disebalik dominasi buah longan yang diimport dari negara gajah putih terselit satu jenis buah longan yang menjadi buah tropikal satu-satunya wujud di Malaysia iaitu yang dikenali dengan nama buah isau atau longan hijau. Dan menariknya buah isau ini hanya ada di Sarawak tidak di tempat-tempat lain di Borneo.
Isau atau longan hijau adalah jenis buah tropikal yang asli dari Sarawak, Borneo yang mana ia tergolong di dalam kumpulan buah dengan nama vernakularnya “Mata Kucing” termasuklah “Sau”, “Kakus” dan “Guring”. Pokok Isau selalunya dijumpai di sepanjang Sungai Rejang dan beberapa cabang anak sungai yang berselirat di bahagian Sibu dan Kapit. Ianya tumbuh di kebun-kebun buah penduduk tempatan dengan bercampur-campur kedudukan dengan pokok buahan-buahan yang ditanam. Ketinggian pokok isau apabila mula matang boleh mencapai sekitar 10 meter tinggi. Bentuk buahnya adalah bulat dengan permukaan kulit yang berketuat dan kasar.
Selain daripada bentuk dan warna luarannya yang berbeza dengan buah longan diimport dari Thailand kerana sebelum masak buahnya akan berwarna hijau dan kekuningan, dari segi rasa buah isau turut berbeza kerana isinya agak tebal serta rasanya mempunyai sedikit rasa rempah dan lebih sedap berbanding longan yang diimport.
Menurut sejarahnya sebelum buah isau menjadi antara buahan tropikal yang ditanam secara komersial, buah isau ini terlebih dahulu diketahui khasiat dan kelazatannya oleh penduduk pribumi Sarawak. Dek kerana itulah buah isau juga turut pernah menjadi sebahagian daripada pokok yang ditanam dekat dengan kawasan penempatan mereka seperti di rumah panjang dan sebagainya. Selain daripada isau menjadi buah yang dimakan terus isinya apabila masak, isau juga turut dijadikan antara kandungan di dalam minuman warga tempatan seperti air isau atau air mata kucing.
Adalah difahamkan berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara di Galeri DBKU ada mengatakan bahawa suatu waktu dahulu pokok isau boleh didapati dengan banyaknya di lokasi belakang bukit Hotel Hilton sekarang dan tokong Tua Pek Kong di Jalan Thomson (sekarang Jalan Tunku Abdul Rahman) dan sekitar Mahkamah Lama Orang Cina di Jalan Main Bazaar.
Dan berdasarkan kepada cerita asal muasal buah isau atau longan hijau atau buah mata kucing ini adalah tidak mustahil sekiranya ibukota Sarawak yang dikenali sebagai Kuching (yang masih lagi samar-samar dari mana namanya berasal mengikut sejarahwan) mungkin mengambil bersempena dengan nama buah mata kucing yang satu-satunya tumbuh di Sarawak, Borneo.
Rujukan:
1. Green Longan
http://www.doa.sarawak.gov.my/page-0-0-128-Isau.html
2. Isau - A potential Tropical Longan (Dihocarpus Longan) Of Sarawak by Wong K.C, Ibrahim Yusuf, Pearce K., Alau Tayan, Universiti Pertanian Malaysia Kampus Bintulu. (PDF)