top of page

FROM KAMPUNG BUNTAL WITH LOVE


FROM KAMPUNG BUNTAL WITH LOVE


SATU perkampungan yang lokasinya terletak lebih kurang 27 km dari Bandaraya Kuching dan untuk sampai ke perkampungan ini juga cukup mudah kerana dihubungi dengan jalinan jalanraya yang elok dari pusat bandar, Kuching itu sendiri. Kampung Buntal nama diberi merupakan perkampungan melayu tradisi yang sinonim dengan bekalan makanan laut segar dan industri desa iaitu Belacan Buntal, ikan kering serta restoran-restoran makanan laut yang enak-enak.


Menjengah cerita sejarah perkampungan yang dihuni pelbagai kaum dengan majoritinya kaum Melayu, Cina Sarawak dan sedikit Iban juga seperti perkampungan tradisi yang lain di seluruh Sarawak. Menurut sumber rujukan menyatakan bahawa nama Kampung Buntal diambil bersempena dengan satu nama ikan yang dahulunya banyak didapati di satu anak sungai yang dinamakan Sungai Buntal. Adalah diperkira bahawa habitat ikan yang terkenal dengan “racunnya” itu iaitu ikan Buntal pernah bertakhta di kawasan tersebut sekitar 300 tahun yang dahulu.


Berbicara dari konteks itu melalui sumber carian peta menyatakan bahawa Sungai Buntal atau Boental River (peta inggeris) sememangnya wujud iaitu yang terletak diantara Gunung Moi dan Bukit Makomang, antara persempadanan Lundu dan Tanjung Datu di Sarawak. Dan umum mengetahui bahawa Santubong dan Buntal itu sendiri juga terletak di dalam kawasan Tanjung Datu. Sekaligus membenarkan mengapa ianya mempunyai perkaitan sehingga menyaksikan masyarakat terawal yang mendiami Kampung Buntal menamakannya sedemikian rupa kerana sejak dari dahulu lagi sumber rezeki utama penduduk perkampungan adalah sebagai nelayan.


Dan jika berkata bahawa kawasan sekitar perkampungan Buntal itu turut menjadi habitat penghidupan ikan buntal yang merupakan antara spesis ikan paling beracun turut disahkan didalam satu kajian yang diusahakan oleh seorang mahasiswa UNIMAS iaitu Zulkernine B Ahmed Tajudin. Didalam kertas kerja beliau bertajuk “Taburan Ikan Buntal Di Sungai-sungai Sarawak” mengesahkan secara spesifik bahawa kawasan sungai-sungai sekitar Santubong dan Lundu selain Sungai Rimbas adalah antara kawasan yang kaya dengan spesis ikan tersebut dari dahulu sehingga sekarang. Sekaligus ianya mengesahkan lagi bahawa apa yang diceritakan oleh orang dulu-dulu mengenai fenomena ikan buntal yang melanda sehingga membenarkan satu perkampungan diberikan nama mengikut nama ikan buntal adalah benar sama sekali.


Dengan faktor geografinya yang mempunyai kawasan pantai yang terlindung serta memanjang menyaksikan ianya menjadi tempat paling strategik untuk didiami oleh golongan nelayan. Diceritakan perkampungan asal Kampung Buntal mula dibuka oleh seorang nelayan yang bernama Datu Tangkak yang membawa tujuh keluarga nelayan untuk bersama beliau membuka perkampungan tersebut. Dari hanya tujuh buah rumah beratapkan daun nipah dan kayu akhirnya sejajar dengan waktu ianya semakin padat.


Dan dek kerana fenomena kejadian alam iaitu banyak kawasan terhakis menyaksikan lokasi asal perkampungan yang terletak di tepi pantai telah dipindahkan ke kawasan daratan sehingga membentuk perkampungan tradisi yang tersusun mengikut lot-lot tanah yang disediakan oleh kerajaan. Selain itu atas faktor ekonomi juga, rumah-rumah orang kampung Buntal tidak lagi beratap nipah malah sudah ada yang membina rumah-rumah batu beratapkan genting mengikut peredaran zaman tetapi tetap mengekalkan penghidupan musyawarah perkampungan seperti dulu-dulu.


Jika dulu untuk sampai ke Kampung Buntal memerlukan seseorang itu menggunakan pengangkutan air namun arus pembangunan yang mampan lebih-lebih lagi terbinanya jambatan Santubong yang menghubungkan kawasan sekitarnya dengan bandaraya Kuching menyaksikan untuk ke perkampungan ini hanya memerlukan seseorang menggunakan kenderaan darat.


Selain itu, jika dahulu rata-rata masyarakat yang mendiami kampung Buntal adalah nelayan namun sekarang ada diantara penduduk Kampung Buntal adalah terdiri daripada penjawat awam dan swasta yang menjadi tulang belakang sesuatu organisasi di Sarawak professional dan tidak professional serta bekerja sendiri di dalam pelbagai cabang industri.


Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.




Rujukan:


1.http://themaidensgiedd.blogspot.com/…/kampung-buntal-sejara… 2.http://www.sarawak.gov.my/…/ot…/publication/Kuching_Book.pdf 3.Taburan Ikan Buntal Di Sungai-sungai Sarawak Terpilih Di Sekitar Kuching, Serian Dan Lundu oleh Zulkernine B Ahmed Tajudin, UNIMAS.


bottom of page