PERANG SUMPIT TAMPUN JUAH
LEGENDA PERANG SUMPIT TAMPUN JUAH
TAMPUN Juah merupakan satu kawasan legenda bagi masyarakat Iban kerana dikatakan disinilah tempat terakhir mereka bergabung sebagai satu bangsa kira-kira 2,000 tahun dahulu. Wilayahnya cukup subur sehingga apa sahaja yang ditanam akan menjadi malah sungai serta hutannya sentiasa memberikan perolehan yang banyak untuk mereka meneruskan penghidupan mereka. Dan menurut ceritanya di Tampun Juah inilah mereka dikenali sebagai masyarakat Pangau Banyau atau turut digelar sebagai Urang Panggau atau Orang Menua yang bermakna orang asal tanah Borneo.
Dari hanya bermula dengan pembinaan 30 buah rumah panjang dengan setiap rumah panjang mempunyai 30 pintu lama-kelamaan Tampun Juah semakin berkembang dan pesat serta penduduknya juga ramai. Masyarakat di Tampun Juah juga turut mempunyai sistem pentadbirannya tersendiri yang didahului dengan beberapa orang Temenggung yang mengawal selia pemerintahan di Tampun Juah berdasarkan strata sosial tersendiri di dalam membahagikan peringkat masyarakatnya iaitu:
1. Bangsa Masuka atau Suka iaitu seseorang yang darjatnya tinggi kerana mempunyai susur keturunan raja dan kaya raya.
2. Bangsa Meluar iaitu rakyat biasa dan bebas daripada hutang piutang dengan bangsa Masuka.
3. Bangsa Melawang iaitu rakyat biasa yang miskin dan mempunyai hutang piutang yang harus dijelaskan dengan bangsa Masuka.
Oleh kerana mempunyai satu sistem masyarakat yang teratur maka bentuk pemerintahan di Tampun Juah cukup sistematik sehingga memungkin Tampun Juah itu begitu aman makmur, kaya raya dan kuat lebih-lebih lagi dibarisi oleh pahlawan-pahlawan mereka yang tidak takut mati. Kehebatan masyarakat Tampun Juah dahulu begitu gah sehingga ianya boleh menjadi satu ancaman pada satu kerajaan kuno iaitu Kerajaan Sukadana yang pernah wujud di Pulau Borneo suatu waktu dahulu.
Dikatakan Kerajaan Sukadana begitu khuatir bahawa suatu hari nanti, masyarakat Tampun Juah akan memerangi mereka dan dek kerana itulah masyarakat Pangau Banyau di Tampun Juah harus diperangi dan dikalahkan dahulu bagi memastikan hanya Sukadana sahaja yang kuat di wilayah tersebut. Tiada kegusaran bagi Kerajaan Sukadana walaupun terpaksa menentang masyarakat Pangau Banyau kerana pahlawan dayak Biaju yang menjadi pahlawan-pahlawan Sukadana juga cukup gah dengan kekuatan ilmu perang mereka.
Maka pada suatu hari, Kerajaan Sukadana telah menghantar rombongan perangnya menuju ke Tampun Juah melalui daerah Labai Lawai dan seterusnya memasuki Sungai Kapuas sehingga ke hulunya. Walaupun pergerakan rombongan perang Sukadana ini dilakukan dalam suasana senyap namun tanpa mereka ketahui segala gerak langkah mereka sudahpun berjaya dihidu oleh pahlawan Tampun Juah.
Hendak dijadikan cerita bagi memberikan satu kejutan kepada rombongan perang Sukadana maka pahlawan-pahlawan Tampun Juah telah mengatur satu strategi perang yang cukup bijak iaitu mereka akan menunggu kedatangan Sukadana sebelum menghampiri kawasan kediaman mereka. Dek kerana mempunyai perancangan yang terperinci lebih-lebih lagi wilayah itu merupakan wilayah mereka dan sudah diketahui segala selok belok kawasan tersebut sudah pasti kelebihan akan berpihak pada mereka.
Diceritakan tatkala rombongan perang Sukadana tiba di satu kawasan tanpa mereka sedari mereka telah dihujani dengan damak beracun yang disumpit oleh pahlawan Tampun Juah dari setiap sudut. Ianya mengakibatkan pahlawan Sukadana terkejut lantas bertaburan mencari tempat berlindung. Ini kerana mereka mengetahui sekiranya terkena damak “ipuh” atau racun tersebut sudah semestinya anggota badan mereka akan lumpuh lantas membenarkan pahlawan Tampun Juah dengan mudah membunuh mereka. Walau mereka cuba membalas dengan turut sama membuat sumpitan ke arah pahlawan Tampun Juah namun kekalahan tetap dipihak mereka sehingga memaksa mereka berundur.
Dan kerana perang ini hanya menggunakan peralatan sumpit maka kerana itulah di dalam kronologi sejarah perang-perang masyarakat Iban dahulukala ianya dikenali dengan nama Perang Sumpit Tampun Juah. Walaupun untuk perang yang pertama ini kemenangan berpihak kepada masyarakat Pangau Banyau dikatakan Sukadana tidak pernah beralah kerana selepas itu ada dua lagi serangan yang mereka lancarkan.
Di dalam serangan ketiga dikatakan tiada pahlawan Sukadana yang memasuki wilayah Tampun Juah sebaliknya mereka menghantar hal-hal magis dan supernatural yang langsung tidak boleh dihadapi dengan kekuatan peralatan perang. Oleh kerana hal-hal ini menghubungkan dunia ghaib maka penghidupan di Tampun Puah tidaklah damai seperti dahulu. Penghidupan harian mereka diselubungi dengan bau-bau busuk di seluruh kawasan sehingga menimbulkan suasana tegang antara masyarakatnya.
Tidak tertahan dengan serangan supernatural seperti itu yang tiada kesudahan walau telah diikhtiarkan cara untuk menyelesaikan akhirnya para Temenggung masyarakat Pangau Banyau telah membuat “Pekat Banyau” atau mesyuarat. Satu keputusan besar telah diambil iaitu kesemua masyarakat Pangau Banyau harus meninggalkan Tampun Juah secara berkelompok.
Dan dari sinilah dikatakan bermulanya penghijrahan masyarakat Pangau Banyau ke seluruh ceruk Pulau Borneo seperti yang diwarisi dari satu generasi di dalam cerita lisan masyarakat Iban yang mana melahirkan kelompok-kelompok Dayak Iban di Sarawak seperti Iban Batang Lupar, Undup, Gaat, Saribas, Sebuyau, Sebaruk, Skrang, Balau dan banyak lagi. Manakala yang berhijrah di sepanjang Sungai Ketungau mengelar dirinya sebagai Bugau, Banyur dan Tabun. Yang terakhir sekali keluar dari Tampun Juah adalah mereka yang mengenal diri mereka sebagai Dayak Mualang dibawah pimpinan Guyau Temenggung Budi yang tersesat kerana banjir akhirnya membawa mereka untuk hanya kekal di Tanah Tabo.
Rujukan:
1. http://sorotborneo.blogspot.com/2018/01/legenda-orang-buah-kana-dalam-cerita.html
2. https://www.facebook.com/notes/bujang-dara-darah-iban/ringkasan-cerita-kana-ensera-dari-legenda-tampun-juah/865964796763265/
http://www.tribunnews.com/regional/2016/10/07/tampun-juah-legenda-percintaan-sedarah-berakhir-dengan-hukuman-mati?page=2