top of page

GAJAH KERDIL BORNEO


GAJAH KERDIL BORNEO


PULAU Borneo banyak menyimpan haiwan-haiwan yang amat jarang ada di benua lain mungkin kerana ianya antara pulau tertua di dunia seperti yang didakwa. Dalam pada itu disebalik keunikan flora dan fauna mahupun haiwan-haiwannya terselit berita kurang enak kerana rata-rata haiwan unik yang ada di Borneo sedang diancam kepupusan dek kerana pembangunan dan pertembungan dengan manusia. Berbicara dari aspek itu di Borneo atau untuk lebih mengkhusus di Sabah dan Kalimantan mempunyai spesis gajah yang menjadi tarikan kepada pelancong dan zoologi untuk mengkaji tentang mereka kerana ianya hanya ada di Borneo tidak ditempat lain di seluruh dunia.


Dengan nama saintifiknya iaitu Elephas maximus borneensis atau di dalam bahasa Inggeris dikenali dengan nama Borneo Pygmy Elephant merupakan antara spesis gajah yang begitu istimewa di Borneo. Bagi masyarakat Sungai yang mendiami kawasan Kinabatangan yang mana habitatnya tertumpu dengan banyaknya mempunyai gelaran yang berbeza mengikut dialek mereka iaitu dipanggil “nenek” atau “liman”. Dengan keadaan fizikalnya yang lebih kecil berbanding dengan jenis gajah di benua Asia menyebabkan kelibatnya sentiasa tampil comel dipandangan kita semua.


Buat masa sekarang seperti yang disahkan oleh Jabatan Hidupan Liar Malaysia, jenis Gajah Kerdil Borneo hanya boleh didapati di tiga kawasan di Sabah iaitu di kawasan hilir dan hulu Sungai Kinabatangan dan seterusnya di Rizab Hidupan Liar Tabin. Dan untuk di Sabah hanya sekitar 1,500 ekor yang masih mendiami kawasan tersebut. Manakala di wilayah Kalimantan pula iaitu di kawasan hulu Kaluntang dan pedalaman Kabupaten Nunukan adalah sekitar 500 ekor yang masih hidup bebas. Daripada angka yang dikeluarkan itu sahaja sudah cukup membuktikan bahawasanya Gajah Kerdil Borneo sedang menunggu masa dan ketika untuk “hilang” di bumi Borneo jika tiada langkah-langkah yang kondusif dan pro-aktif diambil dengan segera.


Keberadaan bagaimana wujudnya Gajah Kerdil Borneo di Borneo disahkan melalui satu penyelidikan yang dijalankan oleh Universiti of Colombia iaitu berdasarkan kajian DNA. Di dalam kajian itu menyatakan dengan mengkhusus bahawa spesis Gajah Kerdil Borneo mempunyai persamaan genetik dengan kelompok asal dari tanah besar Asia dan Sumatera. Dan dikatakan ianya berlaku dek kerana teori tenggelamnya Pentas Sunda beribu-ribu tahun yang lalu memungkinkan sub-spesis gajah ini terpisah daripada kelompoknya yang lebih besar.


Itu ceritanya secara sainstifik dan lain pula yang menghiasi dunia mitos dan lagenda dikalangan kelompok masyarakat yang mendiami Pulau Borneo itu sendiri. Menurut kepercayaan masyarakat di Borneo, suatu waktu dahulu iaitu sekitar abad ke 18 Masihi langsung tiada Gajah Kerdil Borneo. Hal ini berlaku hanya selepas ada beberapa wilayah di Borneo diperintah oleh Kerajaan Sulu suatu ketika dahulu. Menurut cerita lisan masyarakat menyatakan awal bermulanya spesis gajah kerdil Borneo adalah pemberian daripada seorang raja di Pulau Jawa yang menghadiahkan beberapa ekor “gajah imut-imut” kepada Sultan Sulu sebagai cenderamata sewaktu lawatannya.

Selepas itu, beberapa ekor “gajah imut-imut” itu dibawa belayar pulang ke Borneo dengan menggunakan bahtera besar lantas dibiakkan di istana diraja. Dek kerana sudah terlalu banyak akhirnya gajah-gajah kerdil itu telah dilepaskan ke hutan sekitar wilayah Kerajaan Sulu berkuasa. Dan di dalam sejarah membuktikan bahawa suatu waktu dahulu wilayah Kinabatangan adalah antara wilayah pemerintahan Kerajaan Sulu termasuklah kawasan Nunukan di Kalimantan dan sekitarnya.


Sementara spesis “gajah imut-imut” Pulau Jawa pula didakwa telah lama pupus iaitu semenjak di akhir kurun ke-18 Masihi. Kepupusannya adalah disebabkan oleh aktiviti kerakusan manusia yang gemar memburu binatang bagi tujuan perubatan tradisional dan sebagainya.


Begitulah ceritanya mengenai satu spesis haiwan yang dikenali dengan nama Gajah Kerdil Borneo yang sekarang merupakan antara spesis haiwan yang sedang diancam kepupusan. Jumlahnya semakin hari semakin mengecil dan mungkin pada masa hadapan akan hanya mampu dilihat kita di dalam gambar-gambar vintage sahaja. Kesedaran daripada kita semua adalah perlu untuk memastikan kelangsungan penghidupannya buat generasi kita yang mendatang.




Kredit photo: “A Borneo Pygmy Elephant bathing in a river” by Tim Laman



Rujukan:


1. Elephant

http://www.wwf.org.my/about_wwf/what_we_do/species_main/elephant/

2. Borneo Pigmy Elephant

https://www.worldwildlife.org/species/borneo-pygmy-elephant

3. Gajah Mini Selamat Karena Ditelantarkan Sultan Sulu

https://news.detik.com/berita/d-925428/gajah-mini-selamat-karena-ditelantarkan-sultan-sulu


bottom of page