top of page

MEJAR (B) PATRICK WONG SING NANG

  • Sep 9, 2018
  • 3 min read

JEJAK PAHLAWAN SARAWAK: MEJAR (B) PATRICK WONG SING NANG

NAMANYA mungkin tidak begitu dikenali di kalangan rakyat Sarawak sendiri. Namun itu bukanlah bermakna kita harus melupakan dirinya biarpun setelah bersara dari dunia ketenteraan, beliau memilih untuk bermastautin tetap di Kuala Lumpur bersama keluarganya yang tercinta. Jasanya harus sentiasa kita kenang kerana beliaulah antara anak Sarawak yang berbakti untuk keamanan kita di Malaysia.

Patrick Wong Sing Nang nama diberi merupakan anak Sarawak yang memulakan kariernya sebagai anggota keselamatan Negara sekitar tahun 1967. Beliau yang dilahirkan pada tanggal 18hb Mac 1947 di Sibu, Sarawak mendapat pendidikan di sekolah beraliran Cina di Sibu dan seterusnya menamatkan peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1966. Minatnya bermula di dalam dunia ketenteraan apabila sering melihat anggota keselamatan yang berada di Sibu memandangkan sekitar tahun 1965 hingga 1966, Sarawak pada masa itu sedang begitu genting dengan Konfrantasi Indonesia Malaysia yang menyaksikan ramai anggota tentera Malaysia dan juga tentera Komanwel berada di Borneo untuk menangani perang yang tidak perlu itu.

Semangat kecintaan pada negara itu diterjemahkan apabila beliau berpeluang untuk menghadiri satu temuduga yang kebetulan berada di Sibu untuk sidang merekrut baru anggota keselamatan di kalangan anak watan Sarawak pada tahun 1967. Dengan kelulusan Senior Cambridge itulah beliau terpilih untuk menjadi Pegawai Kadet yang mana menyaksikan beliau membelah Laut China Selatan jauh daripada keluarga tercinta untuk menjalani latihan di Kolej Tentera Diraja Sungai Besi pada 6hb May 1967. Usai tamat kursus iaitu pada tanggal 12hb April 1969, Patrick yang berpangkat Leftenan Muda telah dihantar untuk bertugas di Batalion 3rd Ranger di Taiping, Perak.

Sebagai seorang pegawai tentera sudah tentu Patrick menerima perintah untuk bertugas di mana-mana sahaja. Antara operasi ketenteraan yang melibatkan dirinya adalah Operasi Radak di Kulim, Kedah yang menyaksikan beliau dan teman-teman seperjuangannya bertembung secara empat mata dengan komunis. Di dalam operasi Radak itu sendiri ada teman seperjuangannya yang gugur sebagai bunga bangsa.

Nama beliau mula menjadi sebutan di kalangan dunia keselamatan apabila beliau terlibat di dalam satu operasi ketenteraan di Gopeng, Perak sekitar Disember 1977. Operasi ketenteraan itu dinamakan Operasi Tanduk yang mana pada ketika itu Patrick yang berpangkat Kapten merupakan Company Commander untuk Batalian 8th Ranger dari Kem Syed Putra, Ipoh. Di dalam pertempuran dengan komunis di Gopeng itu, Kapten Patrick turut cedera ditembak di bahagian dada malah tiga anggota bawahannya turut cedera.

Walaupun dirinya sendiri sudah cedera teruk namun berpantang mati sebelum ajal, Kapten Patrick tidak pernah meninggalkan anak-anak buahnya sebaliknya terus memimpin kumpulannya sehingga ke titik akhir. Pada waktu itu dikatakan bantuan udara telah berjaya menghampiri kawasan mereka dan sifat kepimpinannya terus terserlah dengan mengarahkan agar anak-anak buahnya dahulu diselamatkan manakala dirinya adalah yang terakhir sekali menaiki helikopter tentera untuk bantuan perubatan.

Mungkin roh “agi idup agi ngelaban” meresapi jiwa anak Sarawak bernama Patrick Wong pada masa itu kerana biarpun nyawanya sendiri dihujung tanduk beliau tetap meletakkan nyawa dan keselamatan anak buahnya paling teratas berbanding dirinya. Apabila beliau berjaya dibawa ke Hospital Ipoh barulah diketahui betapa parahnya kecederaan yang beliau tanggung pada masa itu. Demi menyelamatkan nyawanya, pihak pakar perubatan telah mengadakan satu pembedahan yang panjang dan ternyata peluru musuh bukanlah penyebab untuk menghentikan darah perjuangan anak Sarawak ini kerana hanya sebulan selepas berehat panjang, Patrick sudah mula beraksi kembali sebagai seorang anggota tentera seperti tiada pengalaman pahit yang beliau pernah lalui sebelum ini.

Atas keberanian beliau pada tanggal 15hb September 1979, Patrick telah dianugerahkan dengan pingat “Kepujian Perutusan Keberanian” (KPK) oleh Yang Dipertuan Agung. Manakala bagi pihak Kerajaan Negeri Perak pula telah menganugerahkan pingat “Perwira Taming Sari” (PTS) kepada beliau sebagai mengenang keberanian dan kepimpinan beliau bertempur di Perak bagi tujuan keamanan negara.

Begitulah ceritanya seorang anak Sarawak yang namanya cukup gah di dalam dunia ketenteraan di Malaysia namun tidak begitu dikenali kita semua sebagai anak Sarawak. Di dalam satu wawancara di sebuah rangkaian TV pada tahun 2017, Mejar Patrick Wong Sing Nang pernah berkata sebegini.

“I hope that Malaysian will not forget Veterans of the Malaysian Armed Forces because the peace that Malaysia has today are due to their past sacrifices; especially during the First and Second Malaysian Emergency; which enable our Country to enjoy our independence until today.”

Lest We Forget.


Rujukan:


1. The Star Online, 16 September 2016 - Injured Army Captain Refuses To Leave His Men Behind

https://www.thestar.com.my/news/nation/2016/09/16/injured-army-captain-refused-to-leave-his-men-behind/

2. Wong Sing Nan

http://www.macva.org.my/wsnang.html

  1. http://renjervalour.blogspot.com/2018/08/maj-patrick-wong-sing-nang-rtd.html

  2. http://pgbwarrior.blogspot.com/2008/10/operation-radak.html


 
 
 

Comments


© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page