top of page

TANPA SABAH SARAWAK, TIADA MALAYSIA


TANPA SABAH DAN SARAWAK, TIADALAH NEGARA MALAYSIA


TANGGAL 16 September untuk rakyat Malaysia bukanlah sesuatu yang harus dilupakan kerana pada hari inilah sebuah gagasan yang dibentuk oleh empat negara iaitu Persekutuan Tanah Melayu @ Malaya, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara @ Sabah direalisasikan. 55 tahun berlalu, satu gagasan yang dinamakan Malaysia dibentuk hanya dihuni oleh tiga rakan sejajar sahaja setelah Singapura menarik diri pada tahun 1965.


Menyoroti kronologi bersejarah penubuhan Malaysia itu sendiri bukanlah sesuatu yang mudah kerana ada banyak onak nan berduri di awal penubuhannya. Hanya baharu diperingkat cadangan sudah ada suara tidak berpuashati di kalangan negara tetangga pada waktu itu. Dari hanya debat lisan akhirnya membawa kepada perang yang benar-benar berlaku nun jauh disempadan wilayah Sabah dan Sarawak dari tahun 1962 hingga 1966. Dek kerana sejarah perang yang tidak perlu sengaja atau tidak sengaja ditiadakan kewujudannya di dalam teks pembelajaran sekolah menyebabkan ramai rakyat Malaysia terutama sekali generasi baru dangkal mengenainya.


Kami di Borneo Oracle telah berusaha sebaik mungkin untuk mengetengahkan sejarah perang yang tidak didendangkan ini kepada seluruh rakyat Malaysia agar kita semua mengetahui bahawa sesungguhnya bukanlah senang untuk menubuhkan Negara Malaysia. Dan jangan pernah berkata penubuhan Malaysia ini tiada pertumpahan darah kerana hakikatnya anggota keselamatan Malaysia dan tentera Komanwel tidak kurang yang terkorban dan cedera di dalam proses awal pembentukan Malaysia pada waktu itu.


Berbicara dari konteks Perjanjian Malaysia 1963 pula yang menjadi ibu kepada pembentukan Negara Malaysia seharusnya sudah dijulang dan dimartabatkan seperti yang asalnya. Jadi, sesiapa sahaja yang mengungguli tampuk pemerintahan dan berkuasa kepada Gagasan Malaysia sekarang janganlah hanya pandai menanam tebu di tepi bibir sahaja kerana rakyat di kedua-dua negara pembentuk sudah muak dengan janji manismu. Apa yang ingin dilihat sekarang adalah ianya ditunaikan agar kami sebagai rakyat di Malaysia Timur ini boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan rakyat di Malaysia Barat.


Selain itu apabila berkata mengenai kemajuan infrastruktur pula, walau sudah setengah abad berlalu namun sayangnya apa yang ada pada Malaysia Timur agak keterbelakang ceritanya berbanding negeri-negeri di Malaysia Barat biarpun penjana ekonomi utama keberhasilan Malaysia datangnya dari Sabah dan Sarawak selama ini. Ironinya dua rakan sejajar pembentuk Malaysia inilah yang menghuni tangga tercorot kemiskinan dan kemunduran di Malaysia. Satu kenyataan pahit yang rakyat di Sabah dan Sarawak harus telan.


“Roh” 16 September sebagai Hari Malaysia seharusnya boleh membawa semangat patriotisma untuk semua rakyat Malaysia namun dek kerana terlalu banyak yang tidak sebetulnya menyebabkan ada segelintir daripada kami sudah mula merasakan bahawa kata-kata yang diluahkan oleh Mendiang Tun Jugah pada awal penubuhan Malaysia ada benarnya.


“Anang Malaysia sebaka tebu. Manis di pun, taba di ujung”.

“Janganlah Malaysia seumpama tebu. Manis di pohon, tawal di hujung”.


Yang pasti ramai rakyat di Malaysia Timur amat menyayangi negara Malaysia dan sentiasa bangga menjadi rakyatnya CUMA kami hanya menuntut hak kami seperti yang dijanjikan dahulu. Sudah setengah abad berlalu dan servis sudahpun bertukar tangan namun sayang seribu kali sayang, ceritanya masih sama hanya cakap-cakap sahaja.


Selamat Hari Malaysia yang ke 55 tahun kepada seluruh rakyat Malaysia walau dimana sahaja anda berada. Jangan lupakan kami di Malaysia Timur kerana TANPA Sabah dan Sarawak TIADALAH NEGARA MALAYSIA!


Dari, Team Admin Borneo Oracle



bottom of page