top of page

KAUM SIKH


KAUM SIKH, SARAWAK, BORNEO


BIARPUN mereka hanya sekitar lebih kurang 1,000 orang di Sarawak namun kaum ini juga mempunyai sejarah mereka yang unik. Dan jika kita berbicara asal muasal perkataan “Sikh” yang digunapakai bagi menamakan kaum ini adalah berasal dari bahasa sanskrit iaitu “Sihsya” yang bermaksud pengikut atau penganut. Dan majoriti kaum Sikh di Malaysia yang ada sekarang adalah berketurunan Punjabi yang memulakan penghijrahan mereka dari negara asal yang bernama Punjab iaitu wilayah yang terletak di selatan India bersempadan dengan Pakistan suatu ketika dahulu.


Untuk Kaum Sikh di Sarawak pula mempunyai sejarah penghijrahan yang berbeza jika dibandingkan dengan yang ada di Semenanjung Malaysia. Ini kerana jika kita menyelusuri sejarah mereka hanya bermula di ketika era pemerintahan Rajah Brooke yang memerintah Sarawak lebih kurang 100 tahun lamanya. Biarpun begitu sehingga sekarang tidaklah susah untuk membezakan mereka secara fizikal dengan kaum yang ada di Sarawak lebih-lebih lagi biar sudah berada di alaf moden, kaum Sikh seantero dunia tetap sentiasa mempertahankan nilai-nilai tradisi mereka dari segi pakaian dan pentrampilan yang sentiasa tetap melambangkan jatidiri Punjabi.


Sekitar tahun 1857 iaitu usai sahaja penentangan pelombong-pelombong Cina Hakka ke atas pemerintahan Brooke di Sarawak sehingga pada ketika itu Kuching berjaya ditawan selama hampir tiga hari oleh mereka, Tuan Rajah James Brooke sudah mula memikirkan langkah terbaik untuk memperkuatkan lagi sistem keselamatan di dalam Sarawak Kingdom. Dek kerana itulah beliau memilih untuk mengupah 13 orang dari Kaum Sikh yang mana mula mendatangi Sarawak iaitu Kuching pada tahun 1858. 13 orang yang berketurunan Punjabi sepenuhnya diketuai oleh Dewa Singh Akhara pada masa itu.


Dari sehari ke sehari, tugasan dunia kawalan keselamatan dalam negeri Sarawak Kingdom semakin mendesak ditambahlagi Sarawak pada masa itu sudah mula menebar wilayahnya ke pedalaman. Dan berdasarkan daripada bancian untuk Kaum Sikh di Sarawak bermula dari tahun 1860 sehinggalah 1930an ada lebih kurang 400 orang Kaum Sikh yang diupah untuk bertugas di Sarawak Kingdom dengan tugasan-tugasan mereka meliputi warden penjara dan pengawal keselamatan.


Dan mana mungkin kita boleh melupakan sejarah mengenai Rejimen 2/15 Punjabi yang dibentuk untuk membantu Sarawak menghadapi Perang Dunia Kedua pada tahun 1940. Anggota rejimen ini sahaja berjumlah 1050 orang yang mana majoriti mereka adalah dari kaum Sikh. Rejimen inilah yang menjadi tulang belakang sewaktu mengadakan taktik “bumi hangus” ke atas semua infrastruktur minyak dan gas Sarawak di Miri dibawah kawal selia Tuan Rajah CV Brooke. Mereka meninggalkan bumi Miri di dalam tempoh 24 jam kemudian berperang berhabis-habisan dengan tentera Jepun yang mula memasuki bandar Kuching pada akhir tahun 1941. Menurut cerita, Rejimen 2/15 Punjabi inilah antara benteng terakhir pertahanan Sarawak yang menyerah kepada Jepun iaitu hanya meletak senjata sekitar April 1942 di Kuching.


Bila kita menggodek sejarah tahanan perang sewaktu pendudukan Jepun di Sarawak pula, ramai anggota tentera berketurunan Punjabi yang berkhidmat dengan Sarawak Kingdom juga menerima nasib yang sama seperti tentera-tentera Australia. Kebanyakan daripada mereka diletakkan menjadi tahanan perang di Kem Batu Lintang. Buktinya apabila kita menyelusuri sejarah POW Batu Lintang itu sendir mempunyai beberapa buah berek yang dikhaskan untuk POW Punjabi yang dinamakan Punjabi berek. Diceritakan mereka juga menerima nasib yang sama seperti tahanan perang yang lain iaitu kekurangan makanan, terdedah kepada penyakit dan dipaksa untuk membuat kerja yang langsung tidak diberikan imbuhan yang secukupnya oleh pemerintah Jepun di Sarawak.


Itu sejarahnya Kaum Sikh yang menabur bakti sebagai anggota keselamatan bagi Sarawak Kingdom dan mereka juga mempunyai sejarah rumah beribadat mereka sendiri. Di Kuching, rumah ibadat Kaum Sikh yang pertama iaitu Gudwara Sahib dibina sekitar tahun 1912. Pada masa itu, Tuan Rajah Brooke membenarkan mereka membinanya berdekatan dengan tempat mereka bertugas iaitu Balai Polis Central bagi kemudahan kesemua anggota pada masa itu. Dan di Miri pula yang menjadi benteng pertahanan Sarawak Kingdom di bahagian utara dibina sekitar tahun 1919 juga berdekatan dengan tempat mereka bertugas. Kedua-dua rumah ibadat Kaum Sikh ini masih lagi kekal dan sudah diperindahkan dengan rekabentuk yang terkini sehingga menjadi antara kawasan tarikan pelancong di Sarawak.


Mungkin Kaum Sikh di Sarawak, sejarah mereka bermula sebagai antara benteng kawalan keselamatan sewaktu Sarawak Kingdom. Namun sekarang sejajar dengan waktu, ramai antara mereka menjadi antara penyumbang ekonomi dengan menjawat pelbagai jawatan professional di peringkat kerajaan mahupun swasta, jurutera, peguam, doktor serta banyak lagi.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.





Rujukan:


1. Buku: The Guide To Sarawak by Sarawak State Government (2012)

2. Sejarah Kedatangan Kaum Sikh Di Malaysia

http://www.gspj.net/sejarah-kedatangan-orang-sikhs-di-malaysia.html

3. The Battle For Miri and Borneo, WWII

http://www.authorsden.com/categories/article_top.asp?catid=17&id=19648

  1. Persediaan Sarawak Kingdom Menghadapi Perang Dunia Kedua - Borneo Oracle


bottom of page