PESAWAT PERTAMA MENDARAT DI SARAWAK
PESAWAT PERTAMA MENDARAT DI BUMI SARAWAK
PENGANGKUTAN udara sudah semestinya antara pengangkutan yang utama di Sarawak selain daripada pengangkutan air. Namun begitu kos untuk menggunakannya sudah tentu mencecah ratusan ringgit baik penerbangan domestik telahan lagi antarabangsa. Di sebalik cerita pengangkutan alaf moden ini sudah tentu mempunyai cerita sejarahnya tersendiri bilakah pula kali pertama kapalterbang atau pesawat kecil pernah mendarat mahupun dimiliki oleh Kerajaan Sarawak Kingdom dibawah Brooke suatu ketika dahulu.
Nama seperti Borneo Airways sudah tentu rakyat di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya biasa mendengar ditambahlagi dari Borneo Airways inilah lahirnya Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) itu muncul yang dipelopori di ketika zaman Sarawak dibawah pemerintahan Koloni Mahkota Sarawak British pada tahun 1950an. Pensejarahan pernah dimuatnaik di Borneo Oracle beberapa tahun yang lepas.
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di ketika zaman Brooke iaitu selepas sahaja Tuan Rajah Kedua Sarawak Kingdom iaitu Sir Charles Brooke baharulah rakyat Sarawak khususnya masyarakat Kuching melihat secara empat mata apakah itu satu mesin yang mampu terbang. Ceritanya bermula sekitar November 1921 yang mana pada ketika itu sedang diadakan upacara mengingati Charles Brooke di bandar Kuching. Pesawat ringan tersebut telah mendarat di atas Sungai Sarawak pada hari itu.
Difahamkan dek kerana itulah kali pertama masyarakat Kuching melihat pesawat maka ramailah antara mereka bertepiaran lari sehingga mencetuskan havoc di dalam majlis. Dalam pada itu terselit cerita-cerita lucu bagaimana kefahaman masyarakat tempatan yang percaya bahawa pesawat yang terbang rendah dan mendarat di Sungai Sarawak itu merupakan satu yang magis dan supernatural atas hukuman Mendiang Tuan Rajah Charles Brooke yang dikatakan dihukum kerana meninggalkan Sarawak setelah jatuh sakit pada tahun 1917 di negara kelahirannya.
Itu hanyalah cerita rakyat pada masa itu sedangkan hakikatnya pesawat kecil yang mendarat itu sememangnya benar dan sesuatu yang agak ralat apabila ketika membuat kajian mengenai pesawat kecil yang pertama mendarat di bumi Sarawak tiada perkaitan mengkhusus apakah jenis pesawat dan siapakah juruterbang melainkan satu gambar seperti yang menjadi teaser artikel ini.
Kemudian tanpa disedari walau selama ini kita sebagai rakyat Sarawak peka akan sejarah kapal-kapal milik Brooke dan Sarawak Kingdom seperti “Jolly Bachelor”, “Royalist”, M.V Maimuna serta banyak lagi, sebenar Sarawak Kingdom dibawah Brooke pernah memiliki satu pesawat yang digunakan untuk tujuan kelancaran pentadbiran awam Sarawak Kingdom. Dan sudah tentu kerana pada waktu itu tiada lagi kewujudan lapangan terbang maka pesawat kecil ini juga mendarat di sungai-sungai di Sarawak suatu ketika dahulu.
Pesawat pertama yang dimiliki oleh Sarawak Kingdom adalah sebuah pesawat air yang digelar “Gipsy Moth” iaitu yang direka khas dengan floating bagi memudahkannya mendarat di air. Buatan Short Brothers iaitu pembuat kapalterbang yang terkenal di Belfast, Ireland Utara. Sebuah perusahaan pembuatan kapalterbang yang pertama di dunia dan diasaskan pada tahun 1908. Pesawat kecil yang direka untuk kemudahan geografi Sarawak Kingdom tiba di Kuching, Sarawak pada sekitar Mac 1928 dengan dinamakan Flight 1928-11 dengan juruterbangnya adalah Kapten Hubert Broad.
Tidaklah diketahui apakah yang terjadi kepada “Flight 1928-11” selepas itu kerana pensejarahannya terhenti begitu sahaja.
Rujukan:
1. Buku: The Guide To Sarawak by Sarawak Government (2012)
2. Flight 1928-11
http://aviadejavu.ru/Site/Arts/Art7826.htm