SYLVIA CINEMA 1934
- Oct 10, 2018
- 2 min read

SYLVIA CINEMA 1934
- Panggung Wayang Pertama Di Sarawak
DUNIA semakin moden dan sistem penyiaran kita juga sudah berbentuk digital serba serbi. Dari dunia hitam putih sudah bertukar kepada dunia berwarna-warni. Malah sekarang boleh sahaja ianya dimuat turun di dalam telefon pintar untuk kita menikmati hiburan dan sebagainya. Namun suatu waktu dahulu penghidupan tidaklah sebaik sekarang. Yang ada mungkin hanya radio sahaja malah televisyen itu sendiri adalah sesuatu yang mewah.
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa untuk rakyat Sarawak hanya mengenali apa itu layar perak berlaku sekitar tahun 1934. Ianya adalah hasil usaha Tuan Rajah Charles Vyner Brooke yang merupakan tuan rajah ketiga Sarawak Kingdom. Menurut sejarah tuan rajah ketiga ini sendiri merupakan seseorang yang taksub dengan kesasteraan dan kesenian sehingga tidak mustahil untuk beliau membina sebuah panggung wayang di Kuching, Sarawak. Jauh sebelum sebuah panggung dibina telahpun ada satu dewan yang dinamakan Lilian Theater diadakan bagi memberi ruang untuk persembahan teater dan muzikal dipersembahkan di Sarawak.
Mengambil bersempena dengan nama isterinya iaitu Ranee Sylvia Brooke maka sekitar September 1934 terbinalah panggung wayang yang pertama di Sarawak lantas dinamakan Panggung Wayang Sylvia atau Sylvia Cinema. Difahamkan panggung wayang tersebut lokasinya dahulu adalah berdekatan dengan Pejabat Pos Besar Kuching sekarang. Dalam pada itu mungkin ramai tertanya-tanya apakah pula filem yang pertama ditayangkan di panggung tersebut dan sudah tentu filem asing.
Setelah mentelaah rujukan memaparkan bahawa filem yang pertama dipertontonkan kepada rakyat Sarawak pada masa itu adalah yang bertajuk “Tarzan and his mate” yang mana pengarahnya adalah Cedric Gibbons dan diterbitkan oleh Bernard H. Hyman. Filem ini dikeluarkan pada April 1934 dan ditayangkan di Sarawak sekitar September pada tahun yang sama di dalam bentuk hitam dan putih.
Hanya selepas Sylvia Cinema baharulah wujud banyak panggung wayang yang lain seperti Cathay, Rex, Miramar, Odeon serta banyak lagi di seluruh Sarawak pada tahun-tahun yang berbeza.
Rujukan:
1. https://www.kuchinginandout.com/features/electric-shadows
2. http://www.theborneopost.com/2011/04/10/who-needs-television/
3. The Post-War Period - Studio Era by Yow Chong Lee (UNIMAS) PDF
Sarawak E-Gazette - 1941 item 12 Sylvia Cinema
https://www.awm.gov.au/collection/OG3566/


Comments