top of page

SARJAN (B) DAJAI ANAK ANGGIE (PGB)


JEJAK PAHLAWAN SARAWAK: SARJAN (B) DAJAI ANAK ANGGIE (PGB)


SATU nama yang mungkin tidak kita kenali kerana agak kurang diwar-warkan sejarah beliau buat kita semua. Namun disebalik nama yang tidak didendangkan ini terselit cerita yang mampu membuat kita bangga atas keberaniannya melawan musuh durjana suatu waktu dahulu. “Bujang Berani” begitulah satu ayat yang sering kita laungkan sebagai anak Sarawak bagi memperkatakan kepahlawanan mereka di medan pertempuran demi untuk satu perjuangan memastikan kita hidup aman damai sekarang.


Dajai Anak Anggie, seorang anak Iban yang berasal dari Rumah Penurin, Bahagian Betong, Sarawak. Dilahirkan pada tanggal 15hb Ogos 1945 iaitu ketika era pendudukan Jepun di Sarawak bukanlah mudah namun bagi ibubapanya iaitu Anggie Anak Assim dan Timai Anak Pungga, kehadiran orang baru di dalam keluarga mereka sudah tentu membawa tuah walau di zaman serba serbi kepayahan pada waktu itu. Dajai sebagai anak kedua daripada tiga adik beradik membesar dengan jayanya sebagai seorang anak Iban yang diajar serba-serbi untuk menjadi seorang bujang berani suatu hari kelak.


Tatkala usianya masih lagi anak kecil, Dajai turut dihantar untuk mendapat pendidikan di sebuah sekolah missionari iaitu Sekolah St Augustine, Betong. Orang dulu-dulu tidaklah mengharapkan anak-anaknya untuk belajar sehingga ke menara gading dan jika sudah mampu membaca dan menulis pun itu sudah cukup baik. Dan begitulah juga Dajai yang menamatkan pendidikannya hanya setakat ke Darjah Enam sahaja. Selepas meninggalkan alam persekolah tanpa membuang masa Dajai walau diusia remaja sudah mampu bekerja demi membantu keluarga.


Di ketika usianya menganjak ke 19 tahun, gejolak semangat keperwiraan semakin menebal di dalam dirinya lebih-lebih lagi pada ketika itulah berlangsungnya Konfrantasi Indonesia/Malaysia yang banyak menyaksikan perang tidak perlu berlaku di Sarawak. Pada tahun 1964, beliau nekad untuk menceburkan diri di dalam dunia militari yang mana akhirnya beliau terpilih lantas dihantar untuk menjalani latihan di Kem Sungai Petani, Kedah. Selepas menamatkan latihan akhirnya beliau ditempatkan di Batalion 1 Renjer iaitu antara yang terawal memasukinya.


Sebagai anak Iban sudah tentu kepakaran beliau dituntut untuk kembali menabur bakti di tanahairnya yang tercinta iaitu Sarawak, Bumi Kenyalang. Pada ketika zaman konfrantasi inilah beliau sudah menjadi antara barisan hadapan pertahanan negara dengan terlibat secara langsung di dalam operasi-operasi ketenteraan bersama dengan Tentera Komanwel pada waktu itu seperti di Batang Ai, Lubuk Antu serta banyak lagi.


Dek kerana komitmennya yang tinggi jualah menyaksikan Dajai yang baru berpangkat Lans Koperal telah dinaikkan pangkat menjadi Koperal hanya selang beberapa bulan. Tiada siapa yang boleh menidakkan kenaikan pangkatnya kerana bagi pegawai atasannya beliaulah yang paling layak kerana menunjukkan tahap kerja yang cemerlang pada waktu itu.


Keperwiraan anak Iban kelahiran Sri Aman ini semakin menyerlah apabila terlibat di dalam satu operasi ketenteraan sekitar Oktober 1971 iaitu yang dinamakan Operasi Ngayau 3 di Binatang (sekarang Bintangor), Bahagian Sarikei. Pada waktu itu menyaksikan satu unit platun yang dikenali sebagai Kompeni A dari Batalian 1 Renjer, Kem Pagar Ruyung, Sibu telah dikerah ke kawasan Sungai Garan setelah mendapat maklumat dari unit perisikan tentera akan kelibat segerombolan komunis di kawasan tersebut. Dengan diketuai oleh Kapten Welther Wong Ak Tedong bersama-sama dengan 16 orang anggota termasuk Dajai telah menaiki trak tentera menempuhi perjalanan darat Sarikei-Simanggang dengan melalui kawasan Sungai Kedup.


Diceritakan trak tentera hanya mengangkut mereka sehingga ke satu kawasan kebun getah yang dikenali sebagai Skim Meradong dan dari situlah unit platun A telah diarahkan untuk menjejaki komunis dengan berjalan kaki melalui semak samun dan hutan dara dengan penuh berhati-hati. Hampir enam hari mereka menyusup di kawasan tersebut namun kelibat komunis langsung tidak kelihatan. Oleh kerana bekalan makanan semakin berkurangan, demi survival akhirnya unit platun yang dianggotai oleh Dajai telah diarahkan untuk ke Pakan, Julau.


Sudah menjadi kebiasaan untuk setiap operasi ketenteraan, hal pertama yang dilakukan adalah untuk menghantar beberapa orang peninjau untuk ke lokasi lebih awal. Arahan daripada Seksyen Komander iaitu Sarjan Joseph Mileng Kilong telah memilih untuk Koperal Dajai dan Renjer Unggek Anak Anti menjadi ahli peninjau. Setelah berjalan agak lama akhirnya sekitar jam 5 petang, barulah kedua-duanya tiba ke lokasi yang diarahkan.


Apabila sudah tiba di lokasi walau masih lagi lelah perjalanan jauh namun pemeriksaan perimeter telah Dajai dan Unggek lakukan. Dipendekkan cerita tatkala kesemua unit platun A telah tiba ke lokasi dimana Dajai dan Unggek berada barulah segala pembahagian tugasan diatur dengan cukup sempurna. Tugasan kawalan sentri dan penyediaan memasak makanan dibahagi-bahagikan antara mereka. Oleh kerana ketika operasi berlangsung ianya juga bulan Ramadhan maka mereka akan bersama-sama menanti waktu berbuka puasa tiba dan menjamah makanan ala kadar walau hanya ada tiga orang sahaja unit platun yang beragama Islam. Itulah hubungan akrab di dalam satu unit tentera biarpun berbeza agama, mereka akan sentiasa menghormati antara satu sama lain walau di dalam operasi di hutan.


Kepenatan kerana berjalan jauh lebih-lebih lagi sudah hampir seminggu di dalam hutan menyebabkan unit platun usai berbuka puasa terus lena dibuai mimpi. Hanya unit kawalan sentri sahaja yang berjaga pada waktu itu. Tiba-tiba sekitar jam 6 pagi kesemua unit platun ini dikejutkan dengan bunyi letupan yang membingitkan di kawasan mereka sehingga menyebabkan mereka bangun bertempiaran mencari tempat untuk berlindung sambil mengangkat apa sahaja senjata yang mampu digapai.


Satu letupan hanya sebagai permulaan dan seterusnya mereka mula dihujani dengan peluru-peluru musuh yang bertali arus. Sahlah sudah mereka diserang hendap oleh komunis durjana. Biar putih tulang jangan putih mata, musuh menyerang tetap ditentang. Menyerah kalah tidak pernah ada di dalam diari seorang tentera. 16 anggota Platun A tetap berbalas tembakan walau nyawa jadi taruhan. Dikatakan pada saat genting itu, seorang daripada renjer Platun A sempat berhubung dengan ibupejabat melaporkan keadaan mereka yang sedang diserang hendap. Namun sayangnya sebelum habis perbualan, alat komunikasi yang satu-satunya itulah juga rosak terkena peluru musuh yang menyebabkan Platun A terputus hubungan pada masa itu.


Rupa-rupanya komunis durjana sudah mengetahui bahawa Platun A sudah terputus hubungan maka mereka menjadi semakin bongkak dengan meminta kesemua unit Platun A untuk menyerah diri. Pantang tentera berbuat demikian walau sayup-sayup kedengaran suara komunis berbuat demikian, Sarjan Joseph Mileng dan Koperal Dajai telah berjaya mengatur strategi untuk episod serang balas yang lebih teratur dan sempurna.


Dalam kepekatan malam, unit Platun A mengikut arahan berdasarkan strategi Joseph dan Dajai. Mereka merangkak-rangkak mencari posisi yang ditetapkan dengan senyap dan sunyi. Siaga segalanya dengan satu jeritan dari Koperal Dajai iaitu laungan keramat “Agi Idup Agi Ngelaban” kesemua anggota platun membalas dengan lebih jitu ke atas gerila komunis di hadapan mereka. Bom tangan dilontarkan diselang seli dengan tembakan senapang. Komunis yang berlagak sebelumnya sudah mula mengeletar kepala lutut sehingga ada antara mereka mula cabut lari.


Alang-alang mandi biar basah maka begitulah juga bagi unit Platun A, Sarjan Joseph, Koperal Dajai dan Renjer Unggek seia sekata bersetuju untuk mengejar komunis yang lari tidak cukup tanah dari lokasi mereka bertempur sehingga ke lubang cacing. Bayangkan hanya tiga anggota yang mengejar satu kumpulan komunis kemudian berpecah kepada tiga kumpulan sememangnya sesuatu yang amat gila untuk dilakukan. Ketiga-tiga mereka sewaktu tempoh mengejar telah berjaya membunuh dan mencederakan beberapa orang komunis biar hanya satu lawan dua atau tiga dengan komunis pada masa itu.


Hanya pada jam 7 pagi tanggal 27 Oktober 1971, barulah bantuan yang lebih besar tiba di lokasi pertempuran. Saki baki komunis tetap dicari di dalam apa keadaan sekalipun. Serang hendap komunis pada hari itu menyaksikan lima anggota komunis berjaya dibunuh dan beberapa orang yang cedera ditangkap. Manakala di pihak unit Platun A seorang renjer anak Iban bernama Renjer Nyambong Anak Bansa terkorban sebagai sebagai bunga bangsa kerana terkena tembakan peluru musuh di bahagian kepala.


Tiga anggota unit platun yang tercedera adalah Renjer Unggek iaitu bahagian pinggang, Lans Koperal Malang di bahagian kaki kiri manakala Renjer Arshad di bahagian mukanya. Dikatakan dek kerana impak bahan letupan juga menyaksikan kesemua unit Platun A termasuk Koperal Dajai mempunyai masalah pendengaran hampir dua minggu lamanya. Atas keberanian yang tidak terhingga serta khidmat bakti cemerlang sewaktu Ops Ngayau 3 ini, Koperal Dajai Anak Anggie bersama-sama Sarjan Joseph Mileng ak Kilong dan Renjer Unggek Ak Anti telah dianugerahkan Pingat Gagah Berani oleh Yang Dipertuan Agung Sultan Abdul Halim Al-Haj pada tanggal 23 Disember 1971.


Setelah berkhidmat hampir 21 tahun menjadi barisan hadapan pertahanan Negara Malaysia akhirnya Koperal Dajai bersara dengan pangkat terakhirnya sebagai seorang Sarjan. Beliau meneruskan perjalanan penghidupannya sebagai pesara tentera dan hidup bahagia bersama isterinya iaitu Lemenkai Anak Tamat ditemani oleh empat cahayamata mereka.


Begitulah al-kisahnya seorang bujang berani anak Sarawak yang tidak begitu dikenali tetapi dianugerahkan Pingat Gagah Berani oleh Kerajaan Malaysia. Antara pingat teratas di dalam senarai darjah kebesaran Negara dan bukan orang yang sembarangan boleh mendapatnya. Hanya yang terpilih.


Agi Idup Agi Ngelaban





Rujukan:

  1. http://renjervalour.blogspot.com/2005/09/pgb-awards-bestowed-upon-sergeant.html

  2. http://un2ukdia.blogspot.com/2013/12/sejarah-pingat-panglima-gagah-berani-pgb.html

  3. Ops Ngayau 3, Binatang, 1971 - Borneo Oracle


bottom of page