FROM KAMPUNG LUAK WITH LOVE
FROM KAMPUNG LUAK, MIRI WITH LOVE
PERKAMPUNGAN ini merupakan antara perkampungan yang majoritinya dihuni oleh masyarakat Kedayan di Miri. Terletak kira-kira 8 kilometer dari bandar Miri dan kawasan pantainya merupakan antara tempat tumpuan masyarakat setempat untuk menikmati suasana pantai yang mengindahkan. Kampung Luak nama diberi sudah tentu mempunyai sejarah yang tidak begitu diwar-warkan kepada umum lebih-lebih lagi perkaitannya dengan industri minyak serta Perang Dunia Kedua sekitar tahun 1940an.
Menurut penceritaan lisan masyarakat Kedayan menyatakan bahawa perkampungan ini mendapat nama berdasarkan kedudukannya yang terletak di satu kawasan teluk. Ini kerana perkataan “Luak” itu bermaksud “teluk” di dalam bahasa Kedayan. Adalah dipercayai perkampungan ini sudahpun wujud sejak di zaman bangsa Eropah mula mendatangi Miri untuk membuat eksplorasi minyak suatu waktu dahulu. Dikatakan pada waktu itu para pencari minyak mula menggali beberapa telaga minyak di beberapa lokasi bermula dari kawasan Tanjung Lobang sehingga ke kawasan yang lain.
Namun di kawasan yang berdekatan dengan Kampung Luak sekarang bukan minyak yang keluar dari perigi yang digali sebaliknya air bersih yang membuak-buak memancut keluar dari perut bumi. Oleh kerana kawasan tersebut masih lagi kawasan yang berhutan maka pada ketika itulah beberapa orang masyarakat Kedayan yang juga nelayan tempatan mula membuka perkampungan tersebut untuk didiami. Dari hanya pondok-pondok kecil untuk beberapa keluarga nelayan menumpang teduh dari sinaran mentari dan basah dek hujan akhirnya ia berkembang seperti apa yang kita lihat sekarang.
Setelah Sarawak menjadi wilayah jajahan Koloni Mahkota Sarawak British iaitu selepas sahaja Perang Dunia Kedua selesai, penduduk Kampung Luak yang pada asalnya hanyalah nelayan akhirnya mula mencari alternatif pekerjaan lain. Dan pada ketika itulah ramai antara mereka menjadi petani apabila pentadbiran Koloni Mahkota Sarawak British memperuntukan tanah-tanah di kawasan Lopeng untuk mereka bertanam padi.
Miri merupakan lokasi pendaratan pertama tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua kerana disinilah berhimpunnya sumber minyak Sarawak pada waktu itu. Kampung Luak juga adalah sebahagian daripada ceritera sejarah pendudukan Jepun kerana dikatakan pada waktu itu, masyarakat Cina di Miri yang sememangnya antara mereka yang menjadi sasaran Jepun dikatakan berjaya melarikan diri daripada siksaan Jepun dengan menyembunyikan diri mereka di kawasan perkampungan itu.
Kawasan perkampungan tersebut dipilih kerana ianya agak terlindung dan sukar untuk dimudiki oleh tentera Jepun yang tidak menggemari kawasan bebelukar, berpaya serta banyak nyamuk. Untuk seketika sehingga perang dunia kedua berakhir, masyarakat Kedayan di Kampung Luak adalah mereka yang membuka pintu kepada beberapa orang Cina dan keluarga mereka hidup ala kadar berkongsi apa yang ada melalui bersama musim Jepun “merentah” Sarawak bersama-sama.
Sejajar dengan waktu, Kampung Luak turut mendapat rahmat daripada pembangunan yang mampan di Miri apabila jalinan jalanraya, bekalan air bersih serta elektrik turut disediakan oleh Kerajaan Sarawak untuk kemudahan penduduknya. Jika dahulu pada asalnya penduduk kedayan di Kampung Luak hanya mencari rezeki di laut sebagai nelayan atau menjadi petani tetapi sekarang ramai penduduknya sudah menjadi penjawat awam atau swasta baik professional dan tidak professional lebih-lebih lagi di dalam industri minyak dan gas yang pesat membangun di Miri. Penduduk perkampungan juga pelbagai iaitu majoritinya berbangsa Kedayan, Iban dan Kaum Cina.
Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.
Rujukan:
1. Borneo Post, 12 November 2012 - Kampung Luak, Lesson’s in oral history
http://www.theborneopost.com/2012/11/18/kampung-luak-lessons-in-oral-history/
2. Official Website of Miri City Council
http://www.miricouncil.gov.my/modules/web/pages.php?lang=bm&mod=webpage&sub=page&menu_id=0&sub_id=94&id=60&title=Background
Pusat Internet Kampung Luak, Sarawak
http://kgluak.pi1mmaxis.my/maklumat_setempat.html