top of page

KUCHING DAN ARCA KUCING BERPISAH TIADA


KUCHING DAN ARCA KUCING BERPISAH TIADA


JIKA ingin melihat arca-arca kucing tersergam indah maka silalah mendatangi Bandaraya Kuching iaitu ibukota bagi Sarawak Bumi Kenyalang. Ini kerana disinilah kucing itu menjadi ikon bandarayanya yang banyak menghiasi laman-laman terbuka di kawasan tarikan pelancongan mahupun di pasaraya-pasaraya besar. Malahan di Kuching, Sarawak inilah terletak satu-satunya muzium kucing terbesar di Asia Tenggara yang dikenali sebagai Muzium Kucing Sarawak.


Bila berbicara dari segi asal muasal nama Kuching itu mungkin ramai yang menyangkakan bahawa Kuching itu merujuk kepada binatang yang menjadi dambaan ramai kerana kecomelannya iaitu kucing. Namun hakikatnya jika kita melihat dari segi pertuturan masyarakat tempatan gelaran kucing itu langsung tidak ada di dalam slanga tempatan. Ini kerana di Sarawak yang terkenal dengan kepelbagaian kaum dan budaya juga tidak pernah memanggil kucing sebagai kucing sebaliknya untuk bahasa Melayu Sarawak standard digelar “pusak”, iban pula “mayau” serta banyak lagi.


Menyelusuri sejarah nama Kuching sebenarnya dari segi sejarah belum lagi menjumpai satu jawapan yang tuntas. Sebaliknya sejarah yang pasti adalah Kuching itu sendiri telah dibuka oleh Pengiran Indera Mahkota iaitu Gabenor Sarawak yang pertama semasa Sarawak masih lagi menjadi tanah kuripan kepada Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam. Pada masa itu, keluasannya masih kecil dan Kuching itulah Sarawak pada masa dahulu sebelum mula dikembangkan empayarnya oleh warga British bernama James Brooke pada tahun 1840.


Dalam pada itu, penggunaan nama Kuching untuk menggelar nama ibukota Sarawak sebenarnya dikatakan bermula semasa Dinasti Brooke memerintah. Menurut teori menyatakan bahawa nama Kuching itu merujuk kepada perkataan “Cochin” iaitu yang bermaksud pelabuhan. Ini kerana suatu waktu dahulu iaitu di ketika pemerintahan Brooke, Kuching memainkan peranan utama di dalam aktiviti perdagangan Indo-China serta Asia Pasifik. Dengan kedudukannya yang terletak di selatan Pulau Borneo maka ianya adalah satu lokasi yang strategik untuk dijadikan pelabuhan persinggahan pedagang-pedagang Indo-China.


Selain itu cerita lisan masyarakat tempatan pula menyatakan bahawa perkataan Kuching itu mendapat nama dengan mengambil bersempena sebatang sungai kecil yang pernah mengalir diantara Muzium Cina dan Kuil Tua Pek Kong di Kuching sekarang. Sungai itu pula dikatakan dinamakan sungai Kuching kerana disitu seringkali dilihat ramai kucing-kucing hutan mendatangi sungai untuk minum air apabila kehausan.


Tidak terhenti disitu sahaja cerita mengenai Sungai Kuching kerana dikatakan bahawa di kawasan ini terdapat satu bukit yang mana ditumbuhi dengan satu buah-buahan tempatan yang dinamakan buah mata kucing. Oleh kerana sinonim dengan buah-buahan tersebut malah sehingga sekarang bukit itu dinamakan Bukit Mata Kuching walaupun buahnya sudah hilang dan diganti dengan bangunan konkrit.


Bagi masyarakat di pedalaman Sarawak pula yang mana suatu waktu dahulu seringkali dikunjungi oleh rajah-rajah Brooke ke rumah panjang mereka mempunyai cerita lisan yang berbeza tentang asal muasal nama Kuching. Ini kerana menurut mereka, suatu waktu dahulu pengenalan diri untuk masyarakat tempatan adalah berdasarkan nama sungai mengikut lokasi mereka tinggal. Diceritakan oleh kerana Tuan Rajah Charles Brooke apabila mendatangi rumah-rumah panjang amat sukar untuk mengenal diri berasal dari mana dan dek kerana itu beliau sering membahasakan dirinya sebagai Charles Brooke dari Sungai Kuching.


Bandaraya Kuching dan arca-arca kucing berpisah tiada. Ianya menjadi ikon pelancongan untuk satu bandaraya yang diiktiraf sebagai Bandaraya Harmoni oleh dunia pada tahun 2016. Kesiapsiagaan Kuching sudah tidak lagi boleh terucap dengan kata-kata lebih-lebih lagi Tahun 2019 merupakan Tahun Melawat Sarawak. Kuching sudah bersedia dan LAN BERAMBEH (Sila berkunjung) ke Kuching, Sarawak.






Rujukan:


  1. https://kuching.sarawak.gov.my/page-0-14-60-Sejarah-Kuching.html

  2. Borneo Oracle - Sarawak Bumi Kenyalang Yang Kita Warisi

  3. Borneo Oracle - From Kuching With Love


bottom of page