top of page

BERUANG MADU BORNEO



BERUANG MADU BORNEO (HELARCTUS MALAYANUS EURYSPILUS)


BERUANG madu dengan nama saintifiknya Helarctus Malayanus turut dikenali sebagai Beruang Matahari (sun bear) di dunia boleh didapati di kawasan hutan tropika di Tanah Besar Asia seperti di Bangladesh, Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam, Semenanjung Malaysia dan Sumatera. Dalam pada itu mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di kalangan Beruang Madu ini pula terbahagi kepada dua iaitu Helarctus Malayanus dan Helarctus Malayanus Euryspilus yang mana Helarctus Malayanus Euryspilus inilah yang dikenali sebagai Beruang Madu Borneo atau Beruang Madu Kalimantan. Dikenali dengan sedemikian rupa kerana spesis beruang madu ini habitatnya hanya ada di Borneo dan tidak di tempat lain di dunia.


Perbezaan ketara antara beruang madu di Tanah Besar Asia dan Sumatera dengan yang ada di Borneo adalah dari segi saiznya. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pakar-pakar haiwan ada menyatakan bahawa Beruang Madu di Tanah Besar Asia dan Sumatera sekarang adalah dua kali ganda saiznya berbanding dengan Beruang Madu Borneo. Beruang Madu Borneo mempunyai ketinggian antara 120 cm hingga 150 cm dengan berat beruang jantan antara 30-60 kilogram (jantan) manakala yang betina pula adalah antara 20 hingga 40 kilogram. Dan sekaligus ini membuktikan bahawa Beruang Madu Borneo adalah spesis beruang madu yang paling kecil di dunia.


Ahli sains dunia berpendapat adanya perbezaan yang ketara diantara saiz beruang madu Borneo dengan yang ditempat lain adalah kerana adaptasi evolusi beruang madu beribu-ribu tahun dahulu disebabkan oleh sumber makanan yang terhad di Pulau Borneo. Pemakanan beruang madu Borneo juga seperti yang lain iaitu karnivor atau pemakan daging namun tabiatnya lebih menjurus kepada omnivor. Mereka memakan pelbagai jenis makanan di hutan seperti buah-buahan, serangga, haiwan kecil dan madu lebah.


Jika spesis beruang kutub misalnya mempunyai masa berhibernasi terutama sekali ketika musim sejuk untuk spesis beruang madu pula tidak mempunyai tempoh seperti itu. Produksi beruang madu adalah sepanjang tahun dan setiap kelahiran mampu melahirkan antara seekor atau dua anak beruang saban tahun. Tempoh matang seekor beruang madu pula adalah ketika usianya tiga hingga empat tahun dan ianya boleh hidup sehingga 30 tahun bergantung kepada persekitaran habitatnya.


Berdasarkan kepada betapa kecil jumlah anak-anak beruang madu yang boleh dilahirkan sudah tentu populasi untuk jenis beruang madu termasuk beruang madu borneo adalah kecil. Ditambahlagi habitat mereka yang kian terancam dek kerana pembukaan hutan untuk tujuan industri dan sebagainya menyebabkan jumlah mereka yang hidup di dunia semakin mengecil. Dan tidak terkecuali sifat manusia yang memburu beruang madu untuk tujuan perubatan tradisional malah juga untuk dijadikan binatang peliharaan menyebabkan ianya adalah antara spesis terancam di dunia.


Jadi amatlah diharap agar kita semua sentiasa peka akan keberadaan haiwan yang terancam ini dan tidaklah sewenang-wenangnya membunuh mahupun menjual mereka kerana ada undang-undang yang digubal bagi memastikan kelangsungan beruang madu Borneo. Kita tidak mahu dek kerana sifat rakus kita sebagai manusia akhirnya anak cucu kita hanya mampu melihat gambar sahaja seperti apa yang berlaku kepada banyak haiwan yang pupus di dunia.




Rujukan:


1. Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo (PDF)

http://www.bsbcc.org.my/uploads/1/0/3/3/10335502/malay_booklet_download.pdf

2. Sun Bear, si Beruang Madu Dari Kalimantan

http://www.getborneo.com/sun-bear-si-beruang-madu-dari-kalimantan/

3. Gamitan Sandakan

https://www.hmetro.com.my/node/186000



bottom of page