THE BLUE HOLE TELUK DARVEL LAHAD DATU
THE BLUE HOLE, TELUK DARVEL, LAHAD DATU, SABAH
LAHAD DATU bakal memiliki tarikan pelancongan baru khususnya para penggemar aktiviti selam skuba susulan penemuan 'The Blue Hole' di Teluk Darvel. Penemuan bersejarah ini berlaku pada 14 Febuari lalu oleh sekumpulan penyelam termasuk para pengkaji dari Taman-Taman Sabah dalam satu misi saintifik bagi mengumpul data-data marin di Teluk Darvel.
'The Blue Hole' yang terletak di kawasan yang dikenali sebagai terumbu karang Tingkayu ini dikatakan agak unik kerana terdapat dua struktur seakan gua di dalam air dan bukannya satu seperti yang terdapat di Belize, Amerika Tengah, Blue Hole Dean di Bahamas dan Great Blue Dragon Hole di China dengan kedalaman 15 meter sehingga ke dasar laut.
Pada tahun 2016 Great Blue Dragon Hole ditemui berhampiran pulau Xinsha di Laut China Selatan dengan kedalaman 300 meter, diiktiraf sebagai yang terdalam seumpamanya di dunia. Penduduk tempatan mengatakan kononnya ia berkaitan dengan lagenda naga yang turun-temurun dipercayai sebagai sebahagian daripada haiwan mistikal negara tembok besar itu sejak berabad lamanya. Menerusi penyelidikan yang dilakukan terdapat 20 spesies hidupan laut dipercayai mendiami Great Blue Dragon Hole.
Penemuan 'The Blue Hole' dikawasan terumbu karang Tingkayu, Teluk Darvel ini adalah yang pertama di Sabah dan berkemungkinan yang seumpamanya di Malaysia. Pihak berkenaan optimis kawasan ini mampu dibangunkan setaraf dengan 'The Blue Hole' yang lain di dunia sekaligus merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat dengan kehadiran pelancong tempatan mahupun luar negara ke daerah ini pada masa hadapan.
Kredit foto : dkn tv, freaky girl bouvier (flickr), Our planet
Berita lanjut 👇👇👇
https://www.nst.com.my/…/divers-discover-only-known-blue-ho…