LEFTENAN KOLONEL TATSUJI SUGA
SUGA - SI LELAKI PENDEK BERSAMURAI PANJANG
DIKALANGAN tahanan perang yang pernah mendiami Penjara Tahanan Perang Batu Lintang, Sandakan dan Labuan ketika Perang Dunia Kedua berlangsung suatu waktu dahulu, ada seorang pegawai tentera Jepun yang mendapat nama jolokan “Si lelaki pendek dengan samurai panjang” begitu digeruni sekali. Ini kerana diceritakan walau dengan hanya satu kesalahan kecil sekalipun yang dilakukan oleh tahanan perang, maka hukuman yang dikenakan bukanlah kepalang iaitu mesti ada sahaja kepala yang bercerai daripada badan olehnya.
Leftenan Kolonel Tatsuji Suga merupakan seorang pegawai tentera Jepun yang menjadi pegawai pemerintah untuk semua penjara tahanan perang di Borneo ketika Perang Dunia Kedua berlangsung dari tahun 1941 hingga 1945. Dilahirkan pada tanggal 22 September 1885 di Hiroshima, Jepun dan menyahut seruan Kerajaan Jepun untuk menceburkan diri sebagai anggota tentera. Beliau berjaya menempatkan dirinya di Akademi Tentera Jepun di Tokyo dan menjadi Leftenan Muda setelah tamat kursus ketenteraan.
Ketika Perang Dunia Pertama yang berlangsung dari tahun 1914 hingga 1918, Leftenan Suga telah dihantar untuk bertugas di Siberia, Korea dan China. Pada tahun 1924 ketika sudahpun berpangkat Mejar pada masa itu, beliau telah memohon untuk bersara awal lantas meninggalkan isteri dan anak-anaknya untuk melanjutkan pelajaran beliau ke Amerika Syarikat iaitu di dalam jurusan bahasa Inggeris di University of Washington, Seattle, USA. Dengan segenggam ijazah Bahasa Inggeris itulah, Suga ditawarkan untuk menjadi seorang pensyarah di Sekolah Tinggi Teknologi Hiroshima sebelum dipanggil semula untuk berkhidmat sebagai tentera pada tahun 1937.
Dek kerana kefasihan beliau berbahasa Inggeris maka Mejar Suga yang telah dinaikkan pangkat menjadi Leftenan Kolonel telah diarahkan untuk menjadi salah seorang pegawai pemerintah di Penjara Tahanan Perang Batu Lintang usai sahaja Sarawak berjaya ditakluki oleh Tentera Jepun pada tahun 1941. Pemilihan beliau adalah atas dasar kebanyakan tahanan perang di POW Batu Lintang pada masa itu adalah tentera Australia dan juga penjawat awam bangsa Eropah di Sarawak akan memudahkan sebarang komunikasi antara Jepun dan tahanan perang. Kemudian penguasaan beliau semakin berkembang tatkala turut menjadi pegawai pemerintah bagi POW Sandakan dan Labuan di Borneo.
Hampir lima tahun lamanya Jepun menakluki Borneo dan sepanjang itulah banyak kepala tahanan perang terutama sekali tahanan dari Australia mahupun British yang dipenggal kepalanya. Menurut catatan jurnal tentera tahanan menyatakan setiapkali Suga mendatangi penjara tahanan perang Batu Lintang, Sandakan dan Labuan, aktiviti memancung kepala tahanan tentera akan lebih drastik dilakukan kerana ianya adalah arahan langsung daripada Leftenan Kolonel Suga sebelum dia beredar.
Pada tanggal 6 Ogos 1945, dunia dikejutkan dengan pengeboman bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki oleh Tentera Berikat dan akhirnya memaksa Jepun untuk menyerah kalah pada tanggal 15 Ogos 1945. Leftenan Kolonel Suga adalah antara tentera Jepun di Borneo yang akur atas kekalahan mereka di dalam kempen Perang Dunia Kedua pada ketika itu turut menyerah diri di POW Batu Lintang bersaksikan Brigadier Jeneral Thomas Eastick yang mewakili Division ke-9 Australia. Keesokannya, Suga bersama-sama beberapa orang pegawai tertinggi Jepun di Kuching telah diterbangkan ke Labuan bagi menghadapi perbicaraan mahkamah tentera atas kekejaman yang dilakukannya sewaktu memerintah penjara tahanan perang.
Walaupun begitu sehari sebelum perbicaraan dilakukan, Leftenan Kolonel Tatsuji Suga telah bertindak membunuh diri pada tanggal 16 September 1945 dengan melakukan tradisi bushido. Walau di dalam penjara tiada senjata tajam dibenarkan, kaedah Bushido yang digunakan oleh beliau adalah dengan seorang daripada rakan penjaranya membantu beliau dengan menghentak bongkah batu di atas kepalanya sehingga mati. Tradisi Bushido adalah satu tradisi mati bermaruah di dalam falsafah para pahlawan samurai Jepun dahulukala.
Begitulah pengakhiran seorang pegawai pemerintah tentera Jepun yang bernama Leftenan Kolonel Tatsuji Suga di ketika 'musim jepun merentah Sarawak'. Kejam dan bengis ketika mendominasi penjara tahanan perang di Batu Lintang, Sandakan dan Labuan.
Rujukan:
1. Tajuk buku: Children of the Camps: Japan’s Last Forgotten Victim by Mark Felton
2. Tajuk buku: Rising Sun Ovee Borneo: The Japanese Occupation of Sarawak, 1941-1945 by Ooi Keat Gin
3. Signature Seal: Colonel Suga, Japanese Imperial Army
https://www.awm.gov.au/collection/C148214
4.The Sydney Morning Herald, 29 September 2012 by Paul Ham - Once Were Heroes
https://www.smh.com.au/lifestyle/once-were-heroes-20120924-26fr3.html
5.https://www.awm.gov.au/collection/116924