SATU HIPOTESIS BAGAIMANA SARAWAK MENDAPAT NAMA
SATU HIPOTESIS BAGAIMANA SARAWAK MENDAPAT NAMA
SARAWAK Bumi Kenyalang merupakan salah satu daripada empat wilayah pembentuk Negara Malaysia yang kita kenali sejak di tahun 1963 lagi. Ianya adalah wilayah terbesar di dalam Malaysia dan hampir sama keluasannya dengan Negeri-negeri di Tanah Melayu. Sarawak merupakan jiran kepada tiga lagi wilayah pembentuk Pulau Borneo iaitu Sabah (Malaysia), Kalimantan (Republik Indonesia) dan Negara Brunei Darussalam.
Biarpun Sarawak yang gah dengan hasil maksumnya seperti minyak dan gas, hasil-hasil hutan serta kepelbagaian kaum baik dari segi tradisi dan budaya sehingga sekarang masih lagi belum ada satu jawapan yang tuntas bagaimana Sarawak itu mendapat namanya. Namun begitu sehingga ke hari ini bagi rakyat Sarawak telah didodoikan dengan satu cerita lisan yang diperturunkan dari satu generasi yakni Sarawak mendapat nama daripada satu perkataan iaitu “serah pada awak”.
Alkisahnya hal ini berlaku ketika Tuan Rajah James Brooke baharu sahaja menapak di bumi Sarawak yang mana berjaya membantu Pengiran Bendahara Muda Hashim mengawal pemberontakan masyarakat tempatan ke atas Pengiran Indera Mahkota yang merupakan “cheteria” lantikan Kesultanan Brunei pada masa itu. Akibat daripada bantuan sudah diberikan maka janji harus ditunaikan dan dari situlah dikatakan Pengiran Bendahara Muda Hashim telah “menyerahkan” Sarawak kepada James Brooke.
Ironinya jika kita merujuk kepada bahasa tempatan masyarakat Sarawak itu sendiri, perkataan “serah pada awak” langsung tidak menunjukkan bahasa mahupun dialek tempatan baik dari kaum Melayu, Iban, Bidayuh dan Kaum Orang Ulu. “Serah pada awak” lebih hampir merujuk kepada penggunaan bahasa atau dialek di negeri-negeri Tanah Melayu malah jika ke negara Brunei turut tidak mempunyai bahasa/dialek yang sedemikian rupa. Jadi sekiranya mempercayai bahawasanya nama Sarawak itu adalah jelmaan daripada kependekkan “Serah Pada Awak” menjadi “Sarawak” maka ianya harus boleh dipersoalkan.
Berbicara dari konteks itu, maka ada baiknya sekira kita mencari jawapan yang pasti berasaskan pembuktian dokumen sejarah yang lepas bagaimana Sarawak itu mendapat nama. Kerana mana mungkin nama Sarawak hanya sebegitu ringkas dan amat mudah sedangkan sejarah wilayah-wilayah di Borneo sudahpun bermula berabad lamanya jauh sebelum James Brooke mendatangi Sarawak lagi.
1. “Sawaku” di dalam Kitab Nagarakretagama Kurun Ke-14 Masihi
Pulau Borneo jika merujuk kepada sejarah kunonya pernah ditakluki oleh Kerajaan Majapahit. Kitab Nagarakretagama ini merupakan karya Dang Acarya Nadendra, seorang pendeta Buddha zaman Majapahit yang menggunakan nama pena Mpu Prapanca ditulis pada tahun 1365 merupakan antara naskah bernilai bagi membicarakan keagungan pemerintahan Hayam Wuruk, pemimpin teragung Kerajaan Majapahit. Di dalam kitab inilah ia turut menceritakan negeri atau wilayah yang membayar ufti kepada Kerajaan Majapahit suatu waktu dahulu.
Untuk konteks ini jika kita menggodek teks dari Kitab Nagarakretagama yang ditulis di dalam aksara Jawa Kuno turut ada menceritakan pertalian secara terus dengan Borneo dan ianya adalah seperti berikut:
"Kadaɳdanan i landa len ri samdaɳ tirm tan kasah, ri sedu buruneɳ ri kalka saluduɳ ri solot / pasir, baritw i sawaku muwah ri tabaluɳ ri tuñjuɳ kute, lawan ri malano makapramukha ta ri tañjuɳpur"
Terjemahan:
"Kadandangan, Landa Samadang dan Tirem tak terlupakan Sedu, Barune (ng), Kalka, Saludung, Solot dan juga Pasir, Barito, Sawaku, Tabalung, ikut juga Tanjung Kutei, Malano tetap yang terpenting di pulau Tanjungpura"
Di dalam teks ini yang dimaksudkan Pulau Tanjungpura itu adalah Pulau Borneo dan negeri-negeri di Pulau Borneo yang menghantar ufti kepada Kerajaan Majapahit adalah seperti Kadandangan, Landa Samadang, Sedu, Baruneng (Brunei), Kalka, Saludung, Solot, Pasir, Barito, Sawaku, Tabalung, Tanjung Kutai dan Malano. Apa yang menarikanya melalui godekan sejarah dari seorang pakar sastera Jawa berasal dari Belanda iaitu yang bernama Theodore Pigeaud menyatakan bahawa Sedu itu merujuk kepada Sadong, Kalka adalah Kalaka dan Malano itu adalah Melanau yang mana merupakan kerajaan-kerajaan kecil yang terletak di muara Sungai Rejang, Sarawak suatu waktu dahulu.
Dalam pada itu, Theodore turut menyatakan bahawa “Sawaku” pula adalah merujuk kepada Pulau Sebuku iaitu sebuah pulau yang terletak di Kabupaten Kotabaru, Kalimantan Selatan yang kita kenali sekarang. Pada zaman Majapahit, “Sawaku” itu sendiri dirujuk sebagai wilayah jajahan yang kaya dengan mineral atau bijih besi. Untuk itu jangan pula kita melupakan bahawa wilayah Sarawak misalnya seperti Kerajaan Negeri Santubong yang terkenal sebagai antara bandar pelabuhan kuno pengeksport bijih dan sebagainya malah sejarah membuktikan bahawa terdapat penemuan iron-slag di kawasan tersebut turut mungkin disebut sebagai “Sawaku” itu sendiri.
Jika difikirkan mungkin juga Sarawak itu dinamakan berasaskan perkataan “Sawaku” kerana ianya masih mempunyai persamaan.
2. Sarawak Darulhana Dan Sultan Tengah Kurun Ke-16 Masihi
Bukan satu sejarah yang diolah bahawasanya wilayah Sarawak dahulukala adalah wilayah Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam. Dan kemunculan sejarah Sarawak Darulhana bermula tatkala Sultan Muhammad Hassan yang beristeri empat serta mempunyai beberapa orang putera yang perkasa di dalam sejarah diraja Brunei suatu waktu dahulu. Antara putera-putera baginda adalah Pengiran Muda Abdul Jalilul Akbar, Pengiran Muda Tengah, Pengiran Muda Muhammad Ali dan Pengiran Shahbandar Maharaja Laila.
Semasa Sultan Muhamad Hassan memerintah baginda telah berusaha untuk mendapatkan kembali jajahan Brunei yang telah melepaskan diri mereka termasuk Sulu. Setelah Sulu dimiliki semula, Sultan Muhammad Shah telah mengangkat puteranya Pengiran Shahbandar Maharaja Lela menjadi Sultan Sulu. Selepas kemangkatan baginda, takhta kerajaan Brunei telah diwariskan kepada putera sulung baginda iaitu Sultan Jalilul Akhbar, Sultan Brunei yang ke-10.
Ketika inilah Pengiran Muda Tengah yang merupakan putera kedua Sultan Muhamad Hassan telah memberikan kiasan bahasa kepada kakanda bahawa dia juga layak menjadi pemerintah kepada Kerajaan Brunei. Sultan Jalilul Akhbar yang faham akan kehendak adindanya telah memerintahkan agar Pengiran Muda Tengah menjadi pemerintah kepada Sarawak. Dan cadangan ini dipersetujui oleh Pengiran Muda Tengah maka berangkatlah Pengiran Muda Tengah ke Sarawak pada tahun 1599 Masihi dengan membawa seramai 1,000 orang hulubalang bagi membina lapau dan istana.
Pengiran Muda Tengah ditabalkan menjadi Sultan Ibrahim Ali Omar Shah dan menamakan negeri kecilnya sebagai Sarawak Darulhana yang mana Darulhana itu bermaksud suasana yang tenang dan mendamaikan. Selepas itu baginda meninggalkan Sarawak Darulhana untuk mengunjungi negara-negara lain sehinggalah baginda dibunuh oleh pengawal peribadinya sendiri ketika di Batu Buaya iaitu di Santubong. Dek kerana pada masa pemakaman itu air sedang surut dan akan memakan masa yang lama maka adalah mustahil untuk membawa jenazah baginda menghilir Sungai Sarawak maka kesemua pembesar negeri telah bersetuju untuk memakamkan baginda di kaki Gunung Santubong.
Wilayah Sarawak Darulhana tidaklah sebesar Sarawak Bumi Kenyalang sekarang dan ianya merujuk hanya pada kawasan pesisiran Sungai Sarawak sahaja. Namun teori nama Sarawak ini juga tidak boleh dipandang sipi-sipi kerana ada sejarahnya.
2. “Serewa”, Nama Tempatan Antimoni Kurun Ke 18 Masihi Masihi
Di dalam buku tulisan Chan Poh Fatt yang berjudul “Legends And History of Sarawak” terbitan tahun 1999 ada menyatakan bahawa bukanlah satu hal yang aneh di Sarawak sekiranya nama tempat turut merujuk kepada nama sungai-sungai yang berdekatan. Di dalam konteks ini penulisan beliau menyatakan bahawa Sungai Sarawak mendapat nama perkataan “Serewa” yang merupakan dialek Melayu Sarawak dahulukala yakni merujuk kepada sumber galian yang ada di kawasan Sungai Sarawak.
Pendapat Chang Pat Foh ini berdasarkan kepada sejarah penemuan antimoni di Siniawan, Bau yang berlaku pada tahun 1823. Pada masa itu perlombongan antimoni masih lagi dilakukan secara tradisional oleh masyarakat Melayu Sarawak dan bidayuh misalnya. Disinilah juga suatu waktu dahulu Pengiran Indera Mahkota sebagai wakil Kerajaan Kesultanan Brunei mula mendominasi perlombongan antimoni secara tradisional.
Di dalam bukunya, beliau menyatakan;
“Since Sarawak river flows through Siniawan, it is likely that people in the olden days referred the river which flows through antimony areas as ‘Serawa’ river. Even when Sir James Brooke wrote home while contemplating his navigational plans in 1839, he was aware of the antimony ore in Sarawak. He wrote, ‘My intention is first to visit Sarawak- a river whence they get antimony ore..'”
Selain itu jangan kita pernah lupa bahawa jika kita merujuk kepada peta-peta kuno Borneo turut ada menyatakan perkataan “Cerava” bagi wilayah Sarawak. Jika kita membuat perbandingan “serewa” itu mungkin slanga penduduk Melayu Sarawak tetapi jika bagi bangsa Eropah ianya akan disebut sebagai “Cerava”. Dan di dalam catatan pengembara bangsa Eropah juga turut menyebut bahawa “Cerava” itu sendiri adalah merujuk kepada kekayaan galian pada sesuatu tempat di wilayah Sarawak suatu waktu dahulu.
“Serewa” mengikut lidah penutur Melayu Sarawak dan “Cerava” menurut slanga bangsa Eropah mungkin akhirnya menjadi Sarawak apabila dipertuturkan secara berulang-ulang.
4. Surat-surat Brooke dan Sarawak Gazette Kurun Ke 19 dan 20 Masihi
Jika kita menggodek sejarah zaman Brooke pula yakni semasa pemerintahan Tuan Rajah James Brooke, ibukota bernama Kuching yang kita kenali sekarang adalah sebenarnya Sarawak suatu waktu dahulu. Ini kerana pembuka sebenar “Kuching” itu adalah Pengiran Indera Mahkota yang menjadi Gabenor Sarawak yang pertama semasa pemerintahan Kerajaan Brunei Darussalam.
Di dalam surat peribadi James Brooke kepada ibunya di England bertarikh 14hb September 1841 dibawah nota kaki menyatakan dengan mengkhusus seperti berikut:
““Kuchin” was the native name of Sarawak.” -JB-
Walau bagaimanapun untuk surat peribadi beliau bertarikh 26hb Mac 1842 pula, James Brooke sudah tidak lagi menggunakan perkataan “Kuchin” pada suratnya sebaliknya “Sarawak” secara total.
Dan pada ketika Tuan Rajah Sir Charles Brooke memerintah pada ketika itulah melalui Kuching diiktiraf sebagai ibunegeri dan nama negeri adalah Sarawak. Ini kerana beliau mahukan ada perbezaan antara ibukota dan wilayah-wilayah Sarawak yang semakin berkembang sehingga ke bumi Lawas. Ini diperakui di dalam Sarawak Gazette No. 47 bertarikh 16hb Ogos 1972 yang menyatakannya secara mengkhusus tindakan beliau berbuat sebegitu rupa.
Kesimpulannya, Sarawak yang kita kenali mendapat nama itu sebenarnya bukanlah semata-mata atas cerita lisan sahaja. Ada sebab musabab berdasarkan dokumen dan sejarah kuno bagaimana ia dinamakan sedemikian rupa.
#KamekSayangSarawak Nota: Teaser artikel merupakan peta Sarawak yang pertama direkod di dalam rekod Eropah. (Brooke Heritage & Trust)
Rujukan:
1. Buku Legends And History of Sarawak by Chang Pat Foh terbitan 1999
2. Sarawak Gazette No. 47 16th August 1972 - Sarawak E-Gazette Pustaka Negeri
3. From Po-li to Rajah Brooke: Culture, Power and Contest For Sarawak by John Henry Walker, International and Political Studies, University of New South Wales, Canberra, Australia (PDF0
file:///C:/Users/User-Pc/Downloads/461-Article%20Text-1024-1-10-20171116.pdf
4. A History of Sarawak Under Its Two White Rajahs, 1839-1908 by S. Baring-Gould and C. A. Bamfylde
https://archive.org/stream/historyofsarawak00bari/historyofsarawak00bari_djvu.txt
5. Kesultan Brunei Darussalam
http://www.kerajaannusantara.com/id/brunei-darussalam/sejarah
Kitab Negarakertagama -Sejarah Asli dan Terjemahannya
https://oediku.wordpress.com/2017/08/17/kitab-negarakertagama-naskah-asli-dan-terjemahannya/