top of page

SIRI 1: "HEART OF BORNEO" & KANYON IMBAK, SABAH


“HEART OF BORNEO” DAN KANYON IMBAK, SABAH


Tahukah anda bahawa pada tahun 2007, satu deklarasi dikenali sebagai "Heart of Borneo" telah dimeterai di antara Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam yang berkongsi wilayah di pulau ketiga terbesar di dunia, Pulau Borneo.


"Heart of Borneo" merupakan satu inisiatif yang digerakkan dan disokong oleh badan-badan di bawah Kerajaan dan bukan kerajaan dengan matlamat utama memelihara kepelbagaian biodiversiti di kawasan yang telah diwartakan di samping membantu kehidupan lebih 11 juta penduduk khususnya etnik pribumi seperti Dayak yang bergantung hidup sepenuhnya kepada sumber asli hutan. Satu rangkaian pengurusan melibatkan kawasan perlindungan hidupan liar, pengurusan hutan yang lebih mapan serta penggunaan tanah secara lestari diwujudkan bagi membantu mencapai matlamat utama penubuhan "Heart of Borneo".


Saiz kawasan yang terlibat dikatakan seluas negeri Utah di Amerika Syarikat, Victoria di Australia dan gabungan England dan Scottland di United Kingdom. Menerusi luas kawasan meliputi 22 juta hektar ini ianya terletak betul-betul di lokasi penting dan utama Pulau Borneo di mana kawasan hutannya masih saling berhubung di antara satu sama lain. Kawasan hutan hujan "Heart of Borneo" ini dikatakan sebagai antara kawasan hutan simpan lintas sempadan yang terbesar di dunia.


Sungguhpun keluasan pulau Borneo hanya mewakili satu peratus daripada keluasan seluruh daratan di dunia, akan tetapi kepelbagaian spesies flora dan fauna nya telah menyumbang sebanyak enam peratus daripada kekayaan kepelbagaian biologi di bumi. Satu angka yang walaupun kelihatan kecil akan tetapi masih dianggap sebagai sesuatu yang sangat signifikan dan penting kepada penduduk dunia.


WWF (World Wildlife Fund) merupakan antara pertubuhan yang memainkan peranan aktif di dalam kawasan "Heart of Borneo" ini khususnya melibatkan usaha memelihara serta memulihara spesies hidupan liar yang terancam di Borneo seperti Orang Utan, Tembadau (Kerbau Liar) dan sebagainya.


Menerusi kerjasama di antara WWF Malaysia dan Indonesia serta bantuan pertubuhan yang sama dari seluruh dunia mereka komited dalam melakukan usaha melindungi spesies haiwan asli Borneo yang sedang diancam kepupusan di samping mewujudkan projek-projek berbentuk inovasi dalam usaha mempromosi "ekonomi hijau" kepada penduduk tempatan. Ini bagi mengelakkan eksploitasi berlebihan ke atas sumber asli hutan juga bagi mencegah penebangan pokok secara berleluasa untuk tujuan pertanian serta aktiviti memburu haiwan tanpa kawalan.


Eko pelancongan dilihat sebagai satu inisiatif dalam menghasilkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dengan mempromosikan tarikan-tarikan semulajadi yang terdapat di dalam kawasan "Heart of Borneo". Ia juga dilihat sebagai salah satu cara terbaik dalam menyemai kesedaran untuk lebih menghargai alam sekitar baik kepada para pelancong yang datang berkunjung mahupun kepada penduduk tempatan sendiri.



Kanyon Imbak, Sabah


Yang dipaparkan sebagai penghias teaser artikel ini adalah foto tarikan semulajadi yang terdapat di Kanyon Imbak iaitu kawasan air terjunnya yang memiliki kelebaran 80 meter dan ketinggian lapan meter. Lokasi ini antara salah satu tarikan pelancongan di Sabah yang termasuk di dalam kawasan "Heart of Borneo". Menariknya para pengunjung yang berhasrat untuk datang ke sini juga berpeluang mengembara ke dalam hutan bersama para penyelidik daripada pelbagai bidang yang kerap datang ke mari untuk melakukan kajian ke atas Kanyon Imbak.


Setiap kemudahan dan fasiliti penyelidikan di Kanyon Imbak dibina hasil kerjasama di antara Yayasan Sabah dan Petronas. Sejak tahun 2010 Petronas telah menyumbang dana sebanyak RM 83 juta bagi membantu usaha konservasi Kanyon Imbak.


Kanyon Imbak berkeluasan 30, 000 hektar dengan usia hutannya mencecah 100 juta tahun. Terletak di daerah Tongod, pengunjung harus menempuh jarak sejauh 350 kilometer sekiranya melalui jalan darat dari Kota Kinabalu.


Namun yakin lah, perjalanan anda pastinya berbaloi.


Kredit foto: Murphy Ng/ Sabah Tourism, Berita Harian, 2012 MySabah.Co



Rujukan:


1)Investing in Nature for a Green Economy

(https://www.hobgreeneconomy.org/en/about/)

2)Victor Fedelis Santosa, Heart of Borneo, WWF-Indonesia,

(http://wwf.panda.org/knowledg…/where_we_work/borneo_forests/)

3)Imbak Canyon Conservation Area, Sabah Tourism.

(https://www.sabahtourism.com/…/imbak-canyon-conservation-a…/)

4)Imbak Canyon, the Green Canyon of Borneo, MySabah.com

(http://www.mysabah.com/wordpress/imbak-canyon/)

5)2017, Zainuri Misfar, Imbak Canyon untuk pengembara, pencinta alam sejati, Berita Harian.

https://www.bharian.com.my/…/imbak-canyon-untuk-pengembara-…


bottom of page