top of page

SIRI 2: "HEART OF BORNEO" & TAMAN NEGARA MULU, SARAWAK



SIRI 2: "HEART OF BORNEO" DAN TAMAN NEGARA MULU, SARAWAK


Pada artikel yang lepas menerusi tajuk Jantung Borneo para pembaca telah didedahkan dengan kewujudan satu deklarasi yang dikenali sebagai "Heart of Borneo". Deklarasi ini menyaksikan wujudnya satu jalinan kerjasama bersepadu di antara Malaysia, Indonesia dan Negara Brunei Darussalam dalam memastikan khazanah alam di Pulau Borneo kekal terpelihara.


Menerusi penglibatan badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan baik di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa, ia sedikit-sebanyak membantu ke arah usaha merealisasikan matlamat penubuhan "Heart of Borneo" yang telah dimeterai di Bali, Indonesia, pada tahun 2007.


Di sepanjang kawasan seluas 22 juta hektar ini beberapa buah kawasan hutan simpan telah sedia diwartakan termasuk beberapa daripada nya telah diberikan status sebagai kawasan Taman Negara sebelum ini.


Status Taman Negara meletakkan kawasan yang terlibat sebagai tanah rizab milik negara sepenuhnya. Kawasan ini dikhaskan sebagai kawasan perlindungan alam semula jadi, flora dan fauna, atau bahan-bahan yang berkaitan dengan sejarah dan warisan.


Melalui undang-undang di peringkat Persekutuan di Malaysia kawasan Taman Negara dilindungi sepenuhnya daripada sebarang bentuk pembangunan bagi memastikan khazanah yang terkandung di dalamnya kekal terpelihara. Sebagai rekod kawasan yang pertama kali diiktiraf sebagai Taman negara pertama di dunia adalah Taman Negara Yellowstone yang diwartakan pada tahun 1852 di Amerika Syarikat.



TAMAN NEGARA GUNUNG MULU, SARAWAK


Kalau sebelum ini kita telah "berkenalan" dengan Canyon Imbak atau Imbak Kanyon yang diiktiraf kerajaan Sabah sebagai salah satu kawasan hutan simpan kelas satu di Negeri di Bawah Bayu. Kali ini kita akan menelusuri satu lagi lokasi yang dimasukkan sebagai sebahagian daripada kawasan hutan simpan lintas Sempadan "Heart of Borneo" di Sarawak pula. Taman Negara Gunung Mulu. Uniknya kawasan banjaran pergunungan batu kapur di kawasan ini turut menyaksikan kewujudan rangkaian gua-gua bawah tanah dengan beberapa siri penemuan yang menakjubkan yang memakan masa kajian dan penyelidikan daripada pelbagai pihak selama puluhan tahun.



SEJARAH


Taman Negara Gunung Mulu hari ini terletak di dalam bahagian Miri, Wilayah Sarawak, Malaysia. Lokasi kawasan Taman Negara ini tidak jauh dari sempadan negara Brunei Darussalam yang berada di bahagian selatan. Kawasan Taman Negara ini juga turut berjiran dengan kawasan Hutan Simpan Labi dan Hutan Simpan Bukit Ladan yang terletak di dalam Wilayah Brunei Darussalam. Tidak dapat dinafikan Taman Negara Mulu Sarawak telah melalui rentetan sejarah yang cukup panjang.


Pada tahun 1858 seorang Konsulat British di Brunei, Spenser St. John telah menghasilkan sebuah buku bertajuk "Life in the Forest of the Far East". Di dalam buku ini beliau telah menghuraikan serba sedikit ciri-ciri gua batu kapur yang terdapat di sekitar kawasan gunung Mulu yang merupakan gunung kedua tertinggi di Sarawak.


Setelah penghasilan buku ilmiah berkenaan, Spencer pernah mencuba untuk meneroka kawasan pergunungan Mulu namun diakibatkan rupa bentuk muka bumi nya yang mencabar seperti kawasan hutan yang tebal, ditambah rupa bentuk kawasan tebing batu kapur yang sukar serta kewujudan puncak-puncak batu yang tajam usaha beliau menemui kegagalan.


Pada kurun ke 19 sekali lagi usaha ekspedisi menawan gunung Mulu dilakukan Charles Hose. Salah seorang kakitangan pentadbir bagi pihak Kingdom of Sarawak yang diperintah dinasti Rajah Brooke. Namun malang nya usaha beliau juga menemui kegagalan.


Pada sekitar tahun 1920 an salah seorang lelaki dari suku Tering yang bernama Tama Nilong telah menemui sebuah rabung di kawasan barat daya gunung Mulu yang seterusnya membuka laluan menuju ke kawasan puncak gunung berkenaan sewaktu sedang melakukan aktiviti pemburuan.


Tama Nilong seterusnya bertindak sebagai pemandu arah kepada Lord Shackelton menerusi satu ekspedisi yang dijalankan oleh Universiti Oxford pada tahun 1932. Sejak penghasilan buku "Life in the forest of the Far East" nukilan Spencer St. John yang dipercayai sebagai rujukan pertama berkaitan Gunung Mulu dan kawasan sekitarnya, ekspedisi yang diketuai Lord Shackelton dengan bantuan Tama Nilong ini merupakan ekspedisi pertama yang berjaya menawan puncak gunung Mulu.


Pada tahun 1961 kawasan gunung Mulu telah dilawat oleh G.E. Wilford, seorang pakar geologi yang berkhidmat di bawah kerajaan British di Sarawak. Tumpuan kajian beliau di lakukan ke atas Gua Rusa dan Gua Angin. Beliau percaya pada masa hadapan akan lebih banyak lagi gua akan ditemui di gunung Mulu dan kawasan sekitarnya.


Pada tahun 1974 sesuai dengan kuasa autonomi yang dimiliki, kerajaan Sarawak mengambil inisiatif dengan mewartakan Gunung Mulu dan kawasan sekitarnya sebagai Taman Negara. Empat tahun selepas itu iaitu pada tahun 1978 sebuah organisasi dikenali sebagai Royal Geographical Society telah melakukan ekspedisi meneroka kawasan Taman Negara Gunung Mulu.


Ini merupakan antara pasukan ekspedisi terbesar yang pernah dihantar oleh United Kingdom. Pasukan ekspedisi ini menghabiskan masa selama 15 bulan meneroka rangkaian gua sejauh 50 kilometer.


"Clearwater Cave", "Green Cave", "Wonder Cave", dan "Prediction Cave" merupakan antara gua-gua yang termasuk di dalam skop penyelidikan pasukan berkenaan.



PENEMUAN GUA-GUA BARU

Sesuai ramalan yang dilakukan G.E. Wilford pada tahun 1961. Pada tahun 1980 satu lagi pasukan ekspedisi daripada Britain dihantar untuk melakukan kerja-kerja penyelidikan selama empat bulan. Ekspedisi ini meraih kejayaan yang tidak disangka-disangka apabila sebuah kebuk baru yang hari ini dikenali sebagai "Sarawak Chamber" ditemui di dalam sebuah gua bernama Gua Nasib Bagus.


Pada tahun 1984 Taman Negara Gunung Mulu telah diangkat sebagai khazanah warisan ASEAN. Setahun selepas itu iaitu pada tahun 1985 secara rasmi ia dibuka kepada orang ramai.


Pada tahun 1988 satu laluan menghubungkan Gua "Clearwater" dan gua "Cave of the Winds" ditemui. Ini menjadikan laluan Gua "Clearwater" atau saya lebih selesa menggelarnya sebagai Gua Air Jernih sepanjang 190,000 kaki atau sejauh 58 kilometer. Menjadikan ia sebagai laluan gua terpanjang di Asia Tenggara. Bahkan ekspedisi pada tahun 1988 yang juga dilakukan oleh para penyelidik dari Britain ini turut menemui sebuah gua baru yang dikenali sebagai "Blackrock Cave".


Pada tahun 1991 satu lagi laluan baru ditemui menghubungkan Gua "Blackrock" dan Gua "Clearwater". Penemuan ini sekaligus telah menambah jarak laluan "Gua Clearwater kepada 335, 000 kaki atau menyamai sejauh 102 kilometer!! Ini menjadikan laluan gua ini sebagai yang ketujuh terpanjang di dunia!!!


Pada tahun 2015 seorang penjelajah dari Britain yang pernah datang ke Taman Negara Gunung Mulu pada tahun 1978, Andy Avis telah menemui sebuah lagi gua baru yang diberikan nama sebagai "Conviction Cave" atau Gua Yakin.


Akan tetapi pemberian nama oleh penjelajah Britain itu dibangkang oleh etnik Tering yang mendiami kawasan Long Terawan di Mulu. Mereka mahukan nama-nama seperti Tama Nilong, Veno Enar atau Tering dipertimbangkan sebagai nama bagi gua yang baru ditemui berkenaan.



PENGIKTIRAFAN UNESCO


Pada tahun 2000 Taman Negara Gunung Mulu mencatat sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai sebahagian daripada tapak warisan semulajadi dunia oleh UNESCO. Satu penghargaan yang bukan calang-calang mempertimbangkan khazanah bernilai dan laluan sejarah panjang yang telah ditempuh Taman Negara Mulu sewaktu pertama kali disebut kan di dalam jurnal seorang Konsulat British di Brunei pada tahun 1858. Keluasan Taman Negara Gunung Mulu meliputi 52,684 hektar diiktiraf sebagai antara yang terbesar di Sarawak buat masa ini. Setahun selepas itu kerajaan Sarawak telah mewartakan Gunung Buda dan kawasan sekitarnya sebagai sebahagian daripada Taman Negara.


Setelah termeterainya deklarasi "Heart of Borneo" pada tahun 2007 Taman Negara Mulu dan Taman Negara Buda antara kawasan Hutan Simpan dan Taman Negara Sarawak yang dimasukkan sekali sebagai sebahagian daripada kawasan hutan limpas sempadan "HOB".



TARIKAN UTAMA DI TAMAN NEGARA GUNUNG MULU


Pengalaman mendaki gunung Mulu dengan ketinggian 2376 meter pastinya mengimbau kembali kenangan kepada usaha-usaha ekspedisi di masa lalu yang sering menemui jalan buntu sebelum berhasil mencapai kejayaan pada tahun 1932.

Namun begitu selain Gunung Mulu tidak sah lawatan anda ke Taman Negara Gunung Mulu sekiranya anda tidak mengunjungi "The Pinaccles", pancang batu kapur tajam yang menjadi identiti kepada Taman Negara berkenaan.


Para pengunjung boleh menaiki bot daripada ibu pejabat Taman Negara menuju Kuala Litut bermula pukul 8 atau 9 pagi. Di dalam perjalanan menuju Kuala Litut bot akan berhenti seketika di Kampung Batu Bungan dan Gua "Clearwater". Kampung Batu Bungan merupakan perkampungan orang Penan. Para pengunjung boleh melihat sendiri keunikan budaya suku kaum Penan di samping menikmati keindahan sungai yang cukup jernih di dalam Gua "Clearwater" yang menjadi alasan mengapa gua ini memperolehi namanya.


Setelah tiba di Kuala Litut para pengunjung perlu melalui trek menuju ke tapak kem sejauh 9 kilometer yang dikenali sebagai kem 5. Kerana itu sebelum mengambil keputusan untuk berkunjung ke sini anda perlu melalui latihan kecergasan yang intensif, lebih-lebih lagi jika anda berniat untuk mendaki "The Pinnacles" dengan dibantu oleh seorang pendaki berpengalaman daripada kalangan etnik tempatan.


Kebiasaannya para pengunjung mengambil masa selama tiga hingga ke lima jam untuk tiba ke kem 5 ini bergantung kepada tahap kecergasan masing-masing. Sebaik tiba para pengunjung boleh lah melepaskan lelah seketika dengan bersantai atau mandi-manda di Sungai Melinau yang terdapat di kawasan kem 5 ini. Pengunjung harus bermalam selama satu malam terlebih dahulu sebelum meneruskan pendakian. Taklimat ringkas akan diberikan sebelum pendakian dilakukan. Laluan pendakian sangat curam dan mencabar, para pengunjung bukan sekadar perlu mendaki, tetapi juga harus memanjat laluan tangga batu yang tajam. Ada masanya para pendaki harus melakukan panjatan ala-ala "rock climbing". Pendek kata kita semua mesti lah memiliki stamina yang kuat dan tahan lasak sekiranya ingin melakukan pendakian di "The Pinnacles".


Adalah sesuatu yang sangat ditegah bagi para pengunjung untuk mendaki "The Pinnacles" tanpa kehadiran pendaki yang berpengalaman merangkap pemandu pelancong. Pemakaian sarung tangan khas bagi pendaki adalah amat digalakkan bagi mengelakkan kecederaan. Para pendaki juga dinasihatkan untuk berhati-hati dengan permukaan batu yang licin lebih-lebih lagi sekiranya hujan turun sehari sebelumnya.


Pemandu pelancong juga akan meletakkan had masa sewaktu pendakian. Sebagai contoh untuk tiba ke "Mini Pinnacles" masa yang diberikan adalah 1 jam 30 minit. Sekiranya anda melebihi had masa yang ditetapkan maka pemandu pelancong akan meminta anda untuk pulang ke tapak kem kerana anda tidak memiliki stamina yang cukup untuk meneruskan pendakian.

Kawasan "The Pinnacles" juga dipenuhi dengan binatang buas seperti beruang dan ular. Oleh itu adalah sangat-sangat penting untuk anda mendengar arahan daripada pemandu pelancong dan jangan sesekali memandai-mandai melakukan hal-hal yang tidak sepatutnya. Ada berani?


Selain itu "Sarawak Chamber" juga adalah salah satu lokasi yang wajib dimasukkan ke dalam senarai sekiranya anda ke berkunjung ke Taman Negara Mulu. "Sarawak Chamber" merupakan ruang gua terbesar di dunia yang mampu memuatkan 40 buah pesawat Boeing 747!!!


Gua Rusa pula terkenal dengan laluan gua terbesar di dunia serta memiliki bayang pembentukan batu unik mirip posisi Presiden Amerika Syarikat yang ke 16, Abraham Lincoln.


Secara keseluruhan antara aktiviti wajib yang mesti dilakukan di Taman Negara Mulu adalah melawat empat Gua utama iaitu Gua Rusa, Gua Lang, "Cave of The Winds" dan "Clearwater Cave". Selain itu para pengunjung juga boleh mengambil kesempatan dengan berjalan di Mulu Skywalk Canopy sejauh 480 Meter di samping mengunjungi The Pinnacles dan menyertai aktiviti kembara jejak perubatan herba.



PENUTUP


Ada banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Taman Negara Mulu. Sama ada aktiviti santai mahupun ekstrem. Apa pun, paling utama, kunjungan ke Taman Negara Gunung Mulu bukan sekadar di dorong oleh pacuan adrenalin untuk melakukan aktiviti lasak, bersantai bagi melegakan tekanan kerja yang di hadapi seharian atau sekadar menghabiskan masa berkualiti bersama rakan-rakan dan keluarga.


Akan tetapi lebih jauh lagi, kunjungan anda diharapkan dapat membuka mata dan memberikan kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar serta menghargai khazanah hutan dan kepelbagaian bio negara bagi memberi peluang kepada generasi pada masa hadapan untuk menatapnya. Jangan disebabkan kebodohan dan kealpaan kita pada hari ini menjadi cemuhan anak cucu kita di kemudian hari.





Rujukan:


1. Gunung Mulu National Park, UNESCO

(https://whc.unesco.org/en/list/1013)

2. Ruang gua terbesar di dunia, Taman Negara Sarawak. (http://www.malaysia.travel/…/experien…/top-25-experiences/14)

3. Gunung Mulu National Park, attraction in Malaysia. (http://sarawak.attractionsinmalaysia.com/Gunung-Mulu-Nation…)

4. November 2015, Berita Harian, Gua baru ditemui di Miri dinamakan "Conviction Cave"

(https://www.bharian.com.my/node/95021)

5. National Parks and Nature Reserves, Mulu National Park, Sarawak Forestry. (https://web.archive.org/…/parks-and-res…/mulu-national-park/)

6. Natives now the ghosts of Mulu -Bantahan etnik Tering terhadap nama bagi gua baru yang ditemui di Taman Negara Mulu-

(http://radiofreesarawak.org/…/natives-now-the-ghosts-of-mu…/)

  1. Julai 2018, Utusan, Taman Negara Mulu menarik diterokai,

(http://m.utusan.com.my/…/taman-negara-mulu-menarik-diteroka…)


bottom of page