SUNTONG TUTOK @ SUNTONG TUKUK
SUNTONG TUTOK @ SUNTONG TUKUK
- Kudap-kudapan selepas moreh di bulan Ramadhan
LAIN padang lain belalang, lain tempat lain pula adat resamnya. Mungkin di tempat lain ada makanan-makanan yang istimewa tatkala Ramadhan menjelma dan begitulah juga di Sarawak. Antara yang paling popular adalah sotong ketuk atau di dalam bahasa Melayu Sarawak dipanggil “Suntong Tutok” atau “Suntong Tukuk”.
Suntong Tutok adalah antara hidangan ringan selepas menunaikan solat terawih atau moreh di bulan Ramadhan. Dan keistimewaannya terserlah apabila Suntong Tutok tidak dijual di bazaar Ramadhan yang kebiasaannya berlangsung sebelum waktu sungkei atau berbuka puasa tetapi penjualan untuk hidangan ini hanya dijual di sebelah malam iaitu di gerai-gerai kecil tepian jalan di kampung-kampung Melayu sahaja.
Sebenarnya penyediaan suntong tutok ini amatlah mudah sekali kerana hanya perlu membeli sotong kering yang telah sedia dijual di pasar-pasar di seluruh Sarawak. Kemudian sotong-sotong kering ini akan diikat satu-satu di gerai-gerai di tepi jalan mengikut saiz. Untuk setiap pembeli pula harus memilih apakah saiz-saiz sotong yang dikehendaki kerana setiap saiz mempunyai harga yang berbeza-beza.
Setelah memilih saiz yang diidamkan maka si penjual suntong tutok akan mula membakar sotong tersebut atas bara api yang telah disediakan. Dengan hanya memanggang sotong tersebut kira-kira 5 minit, sewaktu ianya masih panas-panas itulah ia mula diketuk-ketuk sehingga nipis iaitu samada dengan menggunakan proses ketukan tangan melalui penggunaan tukul ataupun dengan mesin penggilis.
Sotong yang dinipiskan mempunyai rasa yang sama tetapi jika hendak membezakan bagaimana suntong tutok itu dikatakan sedap adalah terletak pada sambal cecahnya. Dikatakan setiap penjual suntong tutok mempunyai rahsia resipi sambal cecah tersendiri yang menjadi tarikan samada suntong tutoknya digemari ramai atau tidak.
Mana yang bukan orang Sarawak sekiranya berada di Sarawak di bulan Ramadhan, jangan tidak mencuba hidangan istimewa yang diwarisi sejak zaman berzaman di kalangan kaum Melayu Sarawak.
-HB-