SIRI 3: "HEART OF BORNEO" & PESONA BAKELALAN
SIRI 3: “HEART OF BORNEO” DAN PESONA BAKELALAN
SEKIRANYA Pahang terkenal dengan Cameron Highland, atau Sabah yang sinonim dengan daerah pergunungan Kundasang. Untuk Sarawak Bumi Kenyalang turut memiliki pesona tanah tinggi yang tidak kurang hebatnya. Terletak di daerah Lawas di Bahagian Limbang, Bakelalan atau dahulunya dikenali sebagai Ba'kelalan terdiri daripada sembilan buah kampung etnik Lun Bawang yang yang merupakan pembentuk Kaum Orang Ulu Sarawak. Populasi penduduk adalah dianggarkan seramai 1500 orang sahaja jika merujuk kepada census yang dikeluarkan pada tahun 2009.
Mungkin ramai lagi yang masih tertanya-tanya apakah istimewanya Bakelalan jika dibandingkan dengan tarikan tanah tinggi yang lain di Malaysia? Sama-samalah kita menyelusuri betapa unik dan istimewanya Bakelalan sehingga memungkin ia dimasukkan di dalam projek “Heart Of Borneo” yang merangkumi Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.
PUNCAK ANGIN
Bakelalan boleh dicapai menerusi jalan udara atau darat. Kebanyakan pengunjung yang datang ke Bakelalan akan menggunakan pengangkutan udara kerana tempoh masa yang jauh lebih singkat dibandingkan menempuh jalan darat iaitu jalan pembalakan lama dari Lawas. Sekiranya pengunjung berhasrat untuk menempuh laluan udara bersama pesawat Twin Otter milik syarikat pengangkutan Mas Wing. Masa yang diambil untuk tiba ke Bakelalan dari bandar pelancongan Miri adalah selama 45 minit.
Sepanjang penerbangan mata anda pasti tidak akan putus-putus dimanjakan dengan pemandangan indah kawasan Taman Negara Mulu dan Gunung Murud yang terletak di kawasan tanah tinggi Bakelalan. Sebaik mendarat di lokasi yang terletak 1000 meter dari aras laut ini para pengunjung akan disambut dengan alunan merdu "ngapu" iaitu seruling buluh tradisi daripada sekumpulan kaum ibu etnik Lun Bawang. Mereka juga akan mengenakan busana tradisional suku berkenaan. Ini merupakan salah satu cara atau adat suku Lun Bawang bagi meraikan kehadiran tetamu yang sudi berkunjung ke penempatan kecil mereka.
Penempatan etnik Lun Bawang ini terletak jauh di dalam kawasan tanah tinggi Kelabit. Purata suhu di sekitar tempat ini adalah 20 darjah selsius dan ke bawah. Istimewanya Bakelalan, lokasinya terletak di laluan menuju Brunei, sempadan Indonesia-Malaysia dan Kota Kinabalu, Sabah. Disebabkan itulah produk hasil keluaran masyarakat pribumi di sini mudah untuk dipasarkan.
ADAT MUSANG
Setelah tiba ke destinasi para pengunjung boleh lah terus menuju ke inap desa yang telah disediakan penduduk. Adalah penting sekiranya para pengunjung menghubungi agensi pelancongan seperti Heart of Borneo Tour and Travel atau berhubung secara terus kepada mana-mana pemilik inap desa bagi mendapatkan maklumat berkaitan tempahan penginapan serta aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang berada di Bakelalan.
Dalam pada itu mungkin ada dalam kalangan pembaca yang tertanya-tanya apakah maksud di sebalik nama Bakelalan itu.
Bagi masyarakat Lun Bawang. "Ba" bermaksud padi sementara "Kelalan" pula merupakan nama bagi sebatang sungai. Di sepanjang sungai ini lah sembilan buah kampung etnik Lun Bawang berada iaitu Buduk Nur, Long Langai, Long Lemumut, Long Ritan, Long Rusu, Pa Tawing, Buduk Bui, Buduk Aru dan Long Rangat. Disebabkan bilangan penduduk yang tidak seberapa ramai. Jangan terkejut sekiranya etnik Lun Bawang masih mengamalkan adat turun-temurun yang dikenali sebagai adat "Musang".
Musang di sini tidak membawa konotasi seperti yang anda bayangkan. Sebaliknya "Musang" bagi masyarakat Lun Bawang bermaksud bergotong-royong. Ibarat kata pepatah, berat sama dipikul ringan sama di jinjing. Setiap pekerjaan seperti membuka tanah, bersawah padi mahupun mengadakan sebarang majlis keraian akan dilakukan secara gotong-royong bersama-sama tanpa mengira siapa pemiliknya. Bahkan dengan mengamalkan adat "Musang" para penduduk tidak perlu memikirkan sebarang bentuk kos baik dalam bentuk kewangan mahupun tenaga bagi mengerjakan sawah padi yang lebih dikenali dengan nama Lembah Padi Adan.
HASIL BUMI BAKELALAN
Selain sawah padi, Bakelalan juga cukup terkenal dengan dua lagi hasil buminya yang utama. Salah satu daripadanya adalah perusahaan garam bukit yang antaranya diusahakan di Buduk Bui. Garam bukit di Bakelalan diperolehi daripada satu-satunya sumber mata air garam yang wujud di Malaysia buat masa ini.
Segalanya bermula ratusan tahun yang lalu. Nenek moyang kepada etnik Lun Bawang telah menemui punca sebuah mata air jauh di dalam hutan. Sejak hari itu aktiviti pemburuan mereka menjadi lebih mudah apabila hanya perlu menunggu di sekitar mata air ini untuk menangkap hasil buruan. Ini kerana kawasan mata air ini sering menjadi tumpuan haiwan liar yang pada awalnya disangkakan sekadar menjengah untuk menghilangkan dahaga. Bahkan dikatakan rasa daging buruan yang diperolehi jauh lebih enak daripada haiwan buruan di tempat lain.
Apabila penduduk pribumi mengetahui rasa sebenar mata air yang menjadi tarikan kepada haiwan-haiwan di hutan ini. Akhirnya wujud idea untuk mengolahnya menjadi garam untuk kegunaan harian. Pada masa lalu penghasilannya dilakukan secara tradisional dan mencukupi bagi keperluan para penduduk. Namun hari ini teknik penghasilannya disesuaikan bagi tujuan komersil.
Garam bukit Bakelalan kaya dengan kandungan iodin dan ia mampu mencegah kepada terjadinya penyakit beguk yang lazim dialami penduduk daerah pedalaman pada masa lalu lantaran kekurangan zat iodin di dalam diet pemakanan mereka. Jarak perjalanan yang harus ditempuh para pengunjung untuk sampai ke pusat penghasilan garam bukit ini dari kawasan inap desa adalah sekitar satu jam. Mereka boleh memilih untuk bermalam di Buduk Ui bagi melihat sendiri proses-proses yang terlibat dalam menghasilkan garam bukit.
Sekali imbas kerja-kerja menghasilkan garam bukit ini kelihatan mudah, air garam akan diambil dari punca mata air di kawasan bukit, kemudian ia akan disimpan di dalam tong dram sebelum dipanaskan sehingga kering dan bertukar menjadi garam. Namun ia memerlukan kesabaran serta daya konsentrasi yang tinggi sehingga ke akhirnya. Bayangkan jarak menuju ke punca mata air ini sahaja memakan masa yang bukan sedikit.
Terdapat seramai 20 buah keluarga yang mewarisi pekerjaan menghasilkan garam bukit ini. Mereka akan bergilir-gilir melakukan tugasan mengambil air garam dari punca mata air dan menuangkannya ke dalam dram untuk dimasak. Selain Buduk Ui terdapat dua lagi lokasi memproses garam bukit di Bakelalan.
Bakelalan juga terkenal dengan satu lagi produk pertanian yang tanpa disangka mampu tumbuh dan hidup subur dan membantu menjana pendapatan lumayan kepada penduduk tempatan. Iaitu epal Bakelalan. Badan-badan seperti Kementerian Pelancongan dan Borneo Jungle Safari Sdn Bhd memainkan peranan besar dalam mempromosikan epal Bakelalan dengan beberapa siri penganjuran pesta epal sejak tahun 2007.
Rahsia kebolehupayaan pokok epal untuk hidup dan seterusnya mengeluarkan hasil di Bakelalan adalah disebabkan oleh suhu lokasi ladang ini yang kebanyakannya terletak 3500 meter dari paras laut dengan suhu juga sekitar 20 darjah selsius dan ke bawah. Benih epal Bakelalan umumnya didatangkan dari Jawa Timur, Indonesia. Epal ini juga turut dikenali dengan nama epal Manalagi. Epal Manalagi seperti kebanyakan epal hijau yang terdapat di pasaran tetapi rasanya lebih manis dan rangup. Namun demikian pengusaha ladang epal di Bakelalan turut menanam epal dari jenis Rome Beauty, Lady Williams, Tropical Beauty, Anna Epal dan banyak lagi.
Purata hayat pokok epal boleh mencecah 20 sehingga 30 tahun bergantung kepada cara penjagaan. Sungguhpun pesta epal baru diadakan pada tahun 2007 akan tetapi penduduk Bakelalan telah mengusahakan tanaman epal secara aktif sejak tahun 1986 lagi. Kebanyakan epal Bakelalan dihantar ke Lawas menggunakan jalan darat dan mengambil masa selama lima jam untuk tiba ke destinasi. Epal Bakelalan juga turut dipasarkan di Kota Kinabalu.
LOKASI MENARIK YANG BOLEH DILAWATI DI BAKELALAN
Antara lokasi menarik yang boleh dikunjungi di Bakelalan adalah menara tinjau Pa Sarui dengan ketinggian 1090 meter dari aras laut. Pendakian tidak lah sesukar mana. Apa yang pasti pengunjung pasti akan merasa berbaloi dengan penat lelah sewaktu melakukan pendakian kerana dari puncak menara tinjau Pa Sarui ini panorama alam Bakelalan yang indah dan memukau akan dapat dinikmati sejauh saujana mata yang memandang.
Selain itu pengunjung yang gemar dengan aktiviti lasak boleh lah mencuba untuk mendaki gunung Murud yang terletak di banjaran pergunungan Kelabit, dengan ketinggian mencecah 2423 meter. Para pengunjung akan mengambil masa selama 3 hari 2 malam untuk menghabiskan pendakian mereka dengan dipimpin Malim Gunung dalam kalangan etnik tempatan yang lebih berpengalaman.
Selain itu pengunjung juga boleh melakukan aktiviti "jungle trekking" menuju ke punca mata air garam di Long Kumap. Laluan berbukit-bukau ini mengambil masa selama 45 minit untuk dihabiskan. Bagi yang gemarkan aktiviti santai boleh lah menghabiskan masa dengan bersiar-siar di sekitar kawasan penanaman padi, ladang epal dan kawasan ladang sayur-sayuran yang kesemuanya ditanam dan dijaga menggunakan teknik organik tanpa sedikit pun penggunaan baja dan racun kimia. Pengunjung juga berkesempatan untuk mengunjungi kawasan sempadan Malaysia-Indonesia bagi mengambil gambar kenang-kenangan.
Fakta menarik bagi para pencinta burung. Bakelalan mula menjadi tumpuan para pencinta burung dari seluruh dunia apabila spesies burung Dulit Frogmouth atau dikenali dengan nama saintifiknya sebagai Batrachostomus harterti ditemui semula pada tahun 2014 setelah lebih satu dekad dilaporkan "hilang" tanpa sebarang jejak. Lebih manis, spesies burung berkenaan ditemui oleh salah seorang penduduk tempatan yang juga merupakan pengusaha kepada salah satu inap desa yang terdapat di Bakelalan. Cikgu Sang.
PENUTUP
Jauh dari hiruk-pikuk kota, keindahan alam yang memukau dan menenangkan, makanan berkhasiat yang ditanam dan dibesarkan secara organik selain keramahan penduduk setempat yang sangat menghargai dan meraikan tetamu yang datang merupakan identiti kepada Bakelalan yang pasti meninggalkan kesan yang mendalam kepada para pengunjung yang sudi menghabiskan waktu di sini. Kenangan indah ini akan terpahat selama-lamanya sebagai memori manis yang pastinya menarik untuk dikongsikan dengan sahabat-handai dan insan-insan yang tersayang.
Akan tetapi, lebih daripada itu, Bakelalan merupakan satu petunjuk bahawa matlamat asal kepada penubuhan "Heart of Borneo" ibarat serampang dua mata yang mampu memicu ke arah peningkatan ekonomi penduduk setempat di samping memelihara serta memulihara alam sekitar dan hidupan liar yang ada di dalamnya dalam masa yang sama.
Kesedaran mengenai kepentingan menghargai alam sekitar sering menemui jalan buntu pada masa lalu. Bahkan kesilapan generasi terdahulu dari kita dalam mengeksploitasi hasil bumi secara berlebihan membuatkan kita terpaksa membayar harga yang cukup mahal pada hari ini. Satu hakikat yang pahit, kita telah kehilangan banyak spesies flora dan fauna yang sangat berharga di alam liar.
Namun seperti burung Dulit Frogmouth yang pada asalnya hampir diyakini telah pupus namun kembali ke belantara Bakelalan selepas sekian lama. Bakelalan sendiri ibarat sekelumit cahaya harapan di hujung terowong yang gelap gelita, satu iktibar berguna bahawa masa depan alam sekitar di Borneo khususnya dan seluruh dunia amnya masih memiliki peluang untuk diselamatkan dan kekal terpelihara selagi hayat bumi ini masih ada.
Kredit gambar: dccihomestay.com
Rujukan:
1) Ba'Kelalan "puncak angin" yang menyimpan berjuta rahsia, Amrizan Madian, 2 Jun 2009, M Star (https://www.mstar.com.my/…/bakelalan-puncak-angin-yang-men…/)
2) Keindahan permata Ba'Kelalan, Md Adzri Rosly, 14 April 2018, Utusan Online (http://m.utusan.com.my/…/video-keindahan-permata-ba-kelalan…)
3) Garam Bukit Ba'Kelalan, Borneo Oracle
(https://m.facebook.com/BorneoOracle/posts/1048706908509526)
4) Bakelalan, Sarawak, More to discover (https://sarawaktourism.com/attraction/bakelalan/)
5) Bakelalan Apple Fest 2015 (https://www.miriresortcity.com/content/ba-kelalan-apple-fest)