top of page

DAKAN @ BILUM MELANAU


DAKAN @ BILUM MELANAU


SEBELUM kedatangan kaedah perubatan moden yang kita kecapi sekarang, suatu waktu dahulu setiap masyarakat di dunia sudah tentu mempunyai rawatan perubatan tradisionalnya yang tersendiri. Di dalam konteks Sarawak Bumi Kenyalang yang mempunyai kepelbagai kaum sudah tentu mempunyai kaedah perubatan tradisional yang tersendiri. Dan rawatan tradisional kaum-kaum di Sarawak turut sentiasa diselimuti dengan unsur-unsur mistik dan supernatural.


Rawatan tradisional dahulukala kaum Melanau turut tidak terkecuali dengan unsur-unsur mistik dan supernatural namun sayangnya dek kerana peredaran zaman kebanyakan daripada kaedah rawatan tradisional ini sudah lenyap ditelan waktu lebih-lebih lagi tatkala kebanyakan kaum Melanau sudah berpegang teguh kepada ajaran agama masing-masing seperti Islam, Kristian dan agama samawi yang lain. Banyak adat-adat lama tinggalan nenek moyang turut sama ditinggalkan kerana ianya melanggar nilai-nilai agama yang dianuti sekarang.


Pisak Bubou, Bebayoh, Payun Peseladai adalah antara ritual mistik yang sering mendominasi kaedah rawatan tradisional dahulukala kaum Melanau. Boleh dikatakan ritual-ritual ini sudah hampir pupus kerana ketiadaan penerusnya ditambahlagi amatlah kurang permintaan untuk mengadakannya di dalam masyarakat Melanau itu sendiri. Kepesatan dunia moden dengan kaedah yang serba moden maka ramai memilih untuk mendapat rawatan moden yang disediakan oleh klinik-klinik yang berselerakan di sana sini di Sarawak.


Penggunaan patung sebagai media tengah untuk memindahkan penyakit yang dialami oleh si pesakit adalah antara kaedah rawatan tradisional kaum Melanau dahulukala. Bagi Melanau yang mendiami kawasan seperti Bintulu dan Mukah menggelar patung ini dengan nama “Dakan” manakala untuk mereka yang mendiami kawasan seperti Dalat misalnya akan memanggilnya dengan nama “Bilum”. Dakan atau Bilum adalah satu patung yang diperbuat daripada pokok rumbia iaitu ianya diukir dengan menggunakan pisau kayan dan bahannya adalah isi pokok rumbia atau dikenali sebagai betok balau.


Bagi mengukir satu dakan atau bilum bukanlah satu kerja yang mudah kerana walau sebaik mana “a bayoh” atau bomoh itu belum tentu dia boleh mengukir dakan atau bilum. Ini kerana hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh mengukirnya setelah didatangi dengan “titah” atau diperturunkan di dalam mimpi. Dan antara pantang larang kaum Melanau pula tidak membenarkan orang-orang muda untuk membuatnya kerana diistilahkan sebagai tulang masih muda atau kurang berpengalaman hidup. Jadi kebanyakan dakan dan bilum yang sedia ada sekarang adalah hasil daripada “a bayoh” yang sudah lanjut usia.


Sementara itu sebelum membuat dakan atau bilum, “a bayoh” akan terlebih dahulu mengenalpasti penyakit yang dihidapi oleh pesakit. Ini kerana dakan atau bilum mempunyai saiz, bentuk dan jenis yang tertentu bergantung kepada keadaan penyakit. Jika diikutkan setiap dakan mempunyai sembilan jenis maka dianggarkan ada lebih kurang 1000 ke 1500 jenis dakan atau bilum yang pernah ada. Antara nama-nama dakan atau bilum yang diperbuat daripada betok bilau adalah seperti “Dakan Sebelang Langit” untuk mengubati sakit kepala, “Jakau Nerading” untuk sakit perut, “Belagan Siau” bagi rawatan sakit dada, “Balun Belaga”, “Naga Pemalei atau Naga Pekulieng”, “Bu'aw Tow”, “Pulum”, “Duhig Balow”, “Belalangan Yang”, “Naga Sebalun”, “Naga Semalayang”, “Naga Pesilieng” serta banyak lagi. Selain itu ada juga dakan atau bilum yang dianyam dari daun rumbia seperti “tagak eyeng”, “sayag” serta banyak lagi. Setiap satu anyaman turut mempunyai sembilan jenis dan dianggarkan ada 500 ke 700 bentuk dan saiznya.


Setelah dikenalpasti penyakitnya melalui upacara Bebayoh baharulah dakan itu akan dihasilkan dan bentuknya sudah pasti seperti yang dijelmakan di alam mimpi “a bayoh”. Isi daripada betok balau akan diambil dan proses pengukiran akan bermula dari bahagian badan dahulu dan seterusnya ke bahagian kepala. Difahamkan ketika proses pengukiran dakan itu berlangsung, “a bayoh” akan turut membaca jampi dan mentera yang tertentu. Banyak pantang larang yang harus diikuti di sepanjang proses berlangsung dan tidak boleh dilanggar misalnya dakan ketika digunakan tidak boleh sesekali dicucuk. Jika sekiranya ianya diingkari nescaya sesuatu yang buruk akan menimpa si pesakit ketika proses rawatan berjalan kelak.


Melalui ritual Pesilok, pesakit kemudiannya akan diubati dengan menggunakan dakan. Di dalam ritual ini, pesakit adalah didalam posisi duduk dan “a bayoh” akan meletakkan dakan atau bilum diatas kepala pesakit dan seterusnya dimandikan bersama-sama. Siraman adalah bermula dari atas kepala dan pada masa itulah “a bayoh” akan memainkan peranan dengan menyembur dakan atau bilum dengan sireh pinang yang dikunyahnya dan setiap titisan air yang mengalir dari dakan akan turun membasahi tubuh badan pesakit.


Bagi pesakit yang sudah lumpuh atau tidak terdaya untuk bangun dan berada di posisi duduk pula mempunyai kaedah yang lain. “A Bayoh” akan memandikan dakan dan seterusnya disembur terlebih dahulu dan titisan air yang mengalir dari badan dakan akan ditakung di dalam satu bekas. Kemudian baharulah air di dalam bekas takungan itu digunakan untuk mandian atau dilap kepada badan pesakit.


Setiap jampi serapah dan mantera yang digunakan untuk proses ini turut berbeza mengikut jenis dakan atau bilum yang digunakan. Antaranya adalah seperti berikut yakni sekiranya menggunakan jenis Dakan Belalangan Tugan:


"Oi Belalangan Tugan, kaau a menyingen, wak menyebuyak a itou, kaau lah bak mengediak, pit supit nou penyakit sien, padak diak lah dana, lah mula lah".


Proses terakhir setelah upacara memandikan selesai adalah urusan penting “a bayoh” yang mana untuk membuang dakan atau bilum ke satu lokasi yang telah ditetapkan. Difahamkan lokasi untuk membuang dakan tersebut hanya “a bayoh” si pembuat dakan yang mengetahuinya. Dek kerana itulah ada antara dakan-dakan itu sengaja diletakkan di atas atau dibawah pokok, di tebing-tebing sungai atau dihanyutkan ke dalam sungai. Untuk ritual Payun Peseladai pula, dakan yang digunakan kebiasaannya akan diletakkan di dalam sebuah tempat khas iaitu yang dinamakan sebagai Nabun.


Di dalam kepercayaan masyarakat Melanau menyatakan bahawa sekiranya ada yang terserempak atau terjumpa dengan mana-mana dakan atau bilum yang haruslah jangan sama sekali untuk menegur atau mengusik dakan tersebut. Sekiranya ditemui haruslah segera beredar dan menjauhkan diri daripada lokasinya. Selain itu adalah dilarang keras untuk cuba membawanya pulang ke rumah kerana natijahnya amat buruk. Cubaan untuk mengusik seperti menetak kepala dakan dengan sengaja atau tidak sengaja misalnya boleh membawa maut kepada yang mengusiknya kerana roh jahat yang meresapi dakan akan membalas dendam.


Begitulah serba sedikit informasi di dalam kita cuba mengenali apakah itu Dakan atau Bilum yakni patung rawatan tradisional kaum Melanau yang menjadi media peralihan penyakit yang diamalkan oleh masyarakat Melanau sejak dari dahulu lagi. Ritual-ritual mistik yang diselimuti alam-alam ghaib mewarnai proses rawatannya dari mula sehingga ke akhir. Biar ianya tidak begitu dipraktikkan lagi namun keberadaannya sebagai satu warisan dan tradisi masyarakat Melanau wajar diketahui umum biarpun kita sudah berada di zaman millenium.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.


#KamekSayangSarawakBah! Nota: Gambar merupakan Dakan @ BIlum Tembaga Melanau yang satu-satunya wujud di dunia.



Rujukan:


1. Analisa Terhadap Adat Dan Keistimewaan Masyarakat Melanau Di Sarawak

http://www.ukm.my/rsde/wp-content/uploads/2014/11/09-adat-Malanau.pdf

2. Dakan / Bilum

https://museum.sarawak.gov.my/modules/web/pages.php?mod=photo_gallery&sub=photo_listing&menu_id=&sub_id=&alb=32

3. Dakan

https://www.facebook.com/ILoveMelanau

  1. Temubual bersama aktivis kebudayaan Melanau, Encik Sapan Puloh Sungai Teloh pada 4 Julai 2019.


bottom of page