top of page

PERANG DAYAK DESA KALBAR 1945


PERANG DAYAK DESA, KALIMANTAN BARAT 1945


JIKA ada yang berkata kaum Dayak di Borneo khususnya di Kalimantan tidak pernah melawan sewaktu pendudukan Jepun adalah sesuatu yang salah sama sekali. Ini kerana di dalam sejarah Perang Dunia Kedua berlangsung sememangnya ada kaum Dayak di Kalimantan yang bangun berjuang untuk keadilan rakyat dan tanahair mereka. Perang Dayak Desa 1945 merupakan salah satu perang kaum dayak di Kalimantan Barat melawan pentadbiran tentera Jepun di tanahair mereka. Pada waktu itu secara mengkhusus perang dayak ini bermula oleh satu kelompok kaum dayak yang dikenali sebagai Dayak Desa. Populasi mereka banyak tertumpu di kawasan seperti wilayah kecamatan Tayan Hulu dan Tayan Hilir, Kabupaten Sanggau. Kaum Dayak desa amat terkenal dengan seni kraftangan yang halus yang dinamakan Tenun Ikat.


Jika diikutkan perang dayak desa ini sebenarnya adalah rentetan sambungan kepada satu perang yang dilaksanakan bagi melawan Kolonial Belanda lagi. Pada waktu itu ianya dikenali sebagai Perang Majang Desa yang mana menyaksikan Belanda diperangi seperti di kawasan Sintang sehinggalah Belanda kalah kepada Jepun. Pada waktu itu dayak desa bangkit kerana tidak berpuashati dengan sistem perlombongan yang diusahakan oleh Koloni Belanda yang dikatakan tidak adil dan menjadikan dayak desa sebagai buruh tanpa bayaran yang setimpal. Dan tatkala Jepun mengambilalih Kalimantan sewaktu Perang Dunia Kedua, dayak desa turut menerima nasib yang sama bahkan lebih kejam dan tiada perikemanusiaan.


Pemerintahan Jepun di Borneo yang dinamakan “Kita Boruneo” langsung tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada masyarakat tempatannya. Sewaktu di bumi Kalimantan, hal pertama yang mereka lakukan adalah memastikan agar semua kawasan lombong dan hasil kayu-kayan di bumi Kalimantan digodek dengan sehabis mungkin untuk sumber ekonomi “Negara Matahari Terbit” itu.


Cerita buruh paksa sentiasa mewarnai pendudukan Jepun di Asia Tenggara dan tidak terkecuali di bumi Kalimantan apabila Jepun membawa masuk dua perusahaan Jepun yang dinamakan Nomura bagi menguruskan hasil-hasil perlombongan manakala Sumitomo untuk industri kayu-kayan. Dan kedua-dua perusahaan ini telah menggunakan sepenuhnya masyarakat tempatan yakni dayak desa yang pada mulanya dijanjikan dengan pelbagai “keindahan” untuk menarik mereka bekerja yang mana pada akhirnya menjadi satu igauan ngeri untuk mereka.


Tiada upah malah dibuat seperti hamba abdi dan langsung tidak boleh pulang untuk menemui keluarga mereka menjadikan kaum dayak desa yang bekerja dengan Nomura dan Sumitomo bangun menuntut keadilan. Dek kerana kurang zat makanan dan air bersih menyebabkan ramai buruh dari kalangan dayak desa yang meninggal dunia akibat sakit-sakit atau terlalu keletihan.


Akhirnya derita buruh dayak desa di dua perusahaan Jepun ini pecah jua tatkala ada beberapa orang pemuda dayak desa yang mampu melarikan diri walau seketat mana kawalan tentera Jepun pada waktu itu. Dan merekalah yang menyampaikan berita kepayahan mereka kepada ketua kampung mereka dan ini termasuklah cerita bagaimana seorang wanita Dayak Desa yang dikatakan akan dikahwini secara paksa oleh penyelia berbangsa Jepun bernama Osaki yang menyelia aktiviti menebang pokok di daerah Melilau.


Wanita dayak desa yang dimaksudkan itu bukanlah sembarangan individu sebaliknya anak perempuan kepada seorang pemimpin dayak desa yang disegani bernama Pang Linggan. Mendengar cerita tersebut membuatkan Pang Linggan marah sehingga beliau sendiri mendatangi kawasan dimana Osaki berada. Namun Osaki yang tidak menghormati adat dan istiadat penduduk tempatan dengan sewenang-wenangnya memperkotak katikkan Pang Linggan dan mengancam untuk memenggal kepada Pang Linggan jika menentang kehendak beliau.


Kedatangan Pang Linggan yang hendak menyelamatkan puterinya daripada menjadi mangsa pemuas nafsu Jepun akhirnya membawa kepada satu musyawarah antara pemimpin-pemimpin Dayak Desa di seluruh Sanggau. Pada masa itulah petanda peperangan besar akan berlaku apabila mereka mula menghantar isyarat “mangkuk merah” kepada seluruh masyarakat Dayak di Kalimantan Barat. Tujuannya untuk mencari sampai ke lubang cacing Osaki dan pihak Jepun yang kurang ajar dengan masyakat Dayak Desa.


Pihak Jepun di kedua-dua perusahaan pula dapat menghidu akan perancangan pemimpin Dayak Desa kerana ada diantara buruh Dayak Desa ini yang dikatakan menjadi “mata-mata” kepada Jepun selepas mereka diangkat menjadi ketua buruh. Mereka inilah yang menjadi gunting di dalam lipatan bangsa dayak desa itu sendiri. Dek kerana itulah awal-awal lagi sebelum perang dayak desa yang lebih besar tercetus, pihak Jepun sudahpun bersiap siaga dengan tentera mereka.


Dayak desa dengan dipimpin oleh Pang Suma atau nama sebenarnya Bendera Dulung telah menggerakkan tentera dayak desa sendiri yang dikenali sebagai “Angkatan Majang Desa” telah bergerak secara diam-diam ke kawasan Melilau pada bulan Februari 1945. Langkah mereka yang teratur dan senyap langsung tidak dapat dihidu oleh tentera Jepun yang berkawal dan akhirnya kepala Osaki berpisah dari badan akibat dilibas oleh parang nyabur kepunyaan Pang Suma. Keesokannya baharulah pihak Jepun mendapat berita bahawa ada seorang daripada bangsa mereka yang sudahpun terkorban oleh serangan dayak desa.


Tidak terhenti dengan matinya Osaki, Pang Suma bersama Angkatan Majang Desa telah mula mengatur serangan yang seterusnya. Pada kali ini mereka bergerak ke Niciran di Pulau Jambu, Kecamatan Tayan. Kali ini mangsa parang nyabur Pang Suma adalah seorang penyelia bernama Soet Soegisang. Seperti mana nasib yang menimpa ke atas Osaki maka begitulah Soet kerana kepalanya turut dipenggal oleh seorang dayak desa.


Dua korban dari pihak Jepun bertali arus menyebabkan pentadbiran Jepun yang beribupejabat di Pontianak semakin risau dengan kebangkitan Angkatan Majang Desa dibawah Pang Suma. Malah dek kerana isyarat “mangkuk merah” itu menyebabkan tentera Pang Suma semakin ramai kerana kaum dayak dari Ketapang sehingga ke Sekadau turut serta menyebabkan mahu tidak mahu Jepun menghantar pasukan komando terlatih mereka dari Pontianak yang dipimpin oleh Kaisu Nagatani. Pasukan komando dibawah Kaisu Nagatani diceritakan berjaya memasuki Melilau dan bertahan di sebuah bangunan. Namun perancangan yang baik ditambahlagi adanya kerjasama antara Pang Suma dengan Raden Iting yakni pewaris Kerajaan Melilau yang ditidakkan haknya untuk memerintah oleh Jepun menjadikan Angkatan Majang Desa semakin kuat. Dengan kearifan penduduk tempatan Melilau sendiri akhirnya pasukan komando Jepun turut diperangi hanya dengan senjata-senjata tradisional masyarakat Dayak. Malah di pertempuran itu juga menyaksikan Kaisu Nagatani sendiri, kepalanya bercerai dari badan oleh parang Nyabur si Pang Suma sewaktu perlawanan satu lawan satu.


Mendengar pasukan komando mereka diperangi menyaksikan Jepun menghantar kumpulan tentera yang ramai memasuki Melilau. Jepun berjaya menguasai Melilau semula pada akhir Jun 1945. Pang Suma dan tentera dayak tidak pernah membiarkan Jepun menguasai bumi mereka dan berlaku lagi satu pertempuran pada 17 Julai 1945. Namun sayangnya kekuatan Jepun sukar untuk dikalahkan pada kali ini kerana jumlah tentera Jepun serta senjata-senjata yang mereka gunakan.


Kepercayaan masyarakat Dayak yang sering didominasi oleh firasat sewaktu mimpi menyelaputi dunia perang Pang Suma apabila dikatakan pada malam sebelum beliau dan angkatan Majang Desa menyerbu Jepun di dalam mimpi beliau telah diberikan isyarat yakni bayangan parang nyaburnya telah patah. Dek kerana itulah Pang Suma sendiri dikatakan dengan mudah ditembak oleh peluru tanpa mata tentera Jepun yang mengena pada bahagian pahanya.


Biar ramai angkatan Majang Desa yang tewas, Pang Suma dengan saki baki yang terselamat cuba mengundurkan diri seketika bagi mengumpul setiap tenaga yang ada untuk melawan kembali Jepun. Namun saat di dalam kecederaan yang serius itulah beliau dikejar oleh sekumpulan tentera Jepun yang mana akhirnya Pang Suma sendiri terkena libasan parang samurai tentera Jepun. Beliau gugur sebagai pahlawan dayak di Kalimantan di atas satu jambatan tidak jauh dari dermaga Melilau.


Gugurnya Pang Suma bersama beberapa tokoh kepimpinan Dayak Desa yang lain tidak pernah menghentikan semangat juang dayak di bumi Kalimantan. Ada beberapa siri perang turut berlaku selepas itu antara masyarakat dayak mahupun melayu di Kalimantan. Antaranya perang yang dihasilkan dari musyawarah Agustinus Timbang di Kapuas dan Sanggau mewarnai cerita perang masyarakat tempatan dengan Jepun.





Rujukan:


1. Sejarah Revolusi Kemerdekaan (1945-1949) Daerah Kalimantan Barat oleh Ahok, Pasifikus, Ismail, sLAMET, Tjitrodarmono Wijoso (1992) -PDF

2. Filosofi Perang Dayak oleh Anton Surya

https://www.kompasiana.com/suryakelana/550e83eea33311b82dba830d/filosofi-perang-dayak

3. https://daerah.sindonews.com/read/1167089/29/perang-dayak-desa-dan-tewasnya-perwira-senior-jepang-1483099307

4. https://pinterpolitik.com/pang-suma-pejuang-dari-dayak/

  1. https://www.boombastis.com/pang-suma/87874


bottom of page