top of page

MAHARAJA SABAH DAN RAJA GAYA & SANDAKAN


MAHARAJA SABAH DAN RAJA GAYA & SANDAKAN

- Gustavus Baron De Overbeck


JIKA di Sarawak terkenal dengan dinasti pemerintahan keluar Brooke yang dikenali sebagai Tuan Rajah Putih, untuk Borneo Utara (Sabah sekarang) turut mempunyai beberapa gelaran yang dikurniakan oleh Kerajaan Kesultanan Brunei kepada beberapa individu di kalangan bangsa Eropah. Keberadaan mereka pada ketika itu di Borneo Utara adalah untuk menggodek hasil kekayaannya melalui syarikat komersial yang ditubuhkan sekaligus turut memainkan peranan untuk membangunkan kawasan yang mereka berjaya pajak daripada Brunei pada waktu itu.


Sekitar tahun 1865, konsul Amerika di Brunei yakni Claude Lee Moses berjaya memujuk Sultan Brunei untuk menyewa kawasan barat daya Borneo Utara kepadanya untuk tempoh 10 tahun. Kemudian atas sebab-sebab tertentu Claude menjual hak sewaan itu kepada Syarikat Perdagangan Amerika (American Trading Company) yang dimiliki hasil usahasama J.W Torrey, T.B Harris dan beberapa orang ahli perniagaan berbangsa Cina. Walaupun sudah mempunyai hak untuk menggodek hasil di kawasan itu namun diceritakan agak sukar Syarikat Perdagangan Amerika mencari dana kewangan seperti yang diperlukan namun pada saat akhir sebelum tempoh sewaan tamat iaitu pada Januari 1876, mereka menerima tawaran daripada seorang diplomat Austria-Hungary berbangsa Jerman di Hong Kong yang bernama Gustavus Baron De Overbeck.


Harga untuk pembelian konsesi di barat daya Borneo Utara yang ditawarkan oleh Gustavus kepada Joseph William Torrey dari Syarikat Perdagangan Amerika adalah sebanyak $15,000. Gustavus pula telah mendapat sepenuhnya dana kewangan daripada ahli perniagaan British yakni Dent’s Brothers yang dimiliki oleh Alfred dan Edward Dent. Dengan kebijaksanaan Overbeck jugalah maka tempoh sewaan itu berjaya dilanjutkan untuk 10 tahun lagi melalui persetujuan mereka dengan Temenggung Brunei di Borneo Utara.


Mengetahui bahawa adalah tidak wajar hanya bersandarkan kepada persetujuan daripada Temenggung Brunei di Borneo Utara, maka Gustavus telah berkunjung ke Brunei untuk mengadap sendiri pemerintah Brunei pada waktu itu iaitu Sultan Abdul Momin. Setelah berbincang dan memberikan perancangan akan apa yang akan mereka lakukan ke atas Borneo Utara maka akhirnya Sultan Abdul Momin bersetuju maka satu perjanjian telah dimeterai di istana Brunei pada tanggal 29 Disember 1877.


Perjanjian “penyerahan” Borneo Utara tahun 1877 yang mengangkat Gustavus Baron De Overbeck sebagai Maharaja Sabah dan Raja Gaya dan Sandakan itu diwar-warkan di dalam tulisan jawi berbahasa melayu dan ianya adalah seperti berikut:


Kepada seluruh negara di muka bumi ini yang ada kaitannya dengan perkara ini, beta, Abdul Mumin ibni Al-Marhum Maulana Abdul Wahab, Sultan Borneo mengirim salam kepada semua.


Bahawasanya beta berasa perlu untuk menganugerahkan kepada sahabat beta yang setia serta yang dikasihi, Gustavus de Overbeck dan Alfred Dent Esquire, bahagian tertentu Negeri di bawah kekuasaan beta yang terdiri daripada seluruh bahagian utara Pulau Borneo dari Sungai Sulaman di sebelah pantai barat ke Teluk Maludu dan ke Sungai Paitan dan kemudiannya seluruh bahagian pantai timur sehingga ke Sungai Sibuko, yang terdiri daripada Negeri Paitan, Sugut, Bangayan, Labok, Sandakan, Kinabatangan, dan Mumiang, dan tanah yang lain sejauh hingga ke Sungai Sibuko sehingga meliputi wilayah Kimanis dan Binoni, wilayah Pappar dan wilayah Teluk Gaya dan Teluk Sapanggar dengan semua tanah daratan dan pulau yang menjadi sebahagian daripada kawasannya dan begitu juga Pulau Banguey, bagi balasan tertentu yang dipersetujui antara kami.


Dan bahawasanya Gustavus Baron de Overbeck tersebut ialah ketua dan satu-satunya sahaja wakil Sah Syarikatnya di Borneo.


Dengan yang demikian, maka ketahuilah semua yang ada bahawa beta, Sultan Abdul Mumin ibni Al-Marhum Maulana Abdul Wahab hendak dengan ini menamakan dan melantik Gustavus Baron de Overbeck sebagai Pemerintah Tertinggi wilayah-wilayah yang tersebut di atas dengan gelaran Maharaja Sabah (Borneo Utara) dan Raja Gaya dan Sandakan, dengan kuasa hidup dan mati ke atas penduduknya, dengan segala hak mutlak ke atas harta yang terletak hak kepada beta bagi isi bumi negeri ini dan hak untuk melupuskan harta itu dan juga hak terhadap pengeluaran hasil bumi negeri ini sama ada daripada jenis galian, tumbuh-tumbuhan mahupun haiwan, dan dengan hak untuk membuat undang-undang, membuat duit, mewujudkan tentera darat dan tentera laut, mengenakan cukai kastam ke atas perdagangan dan perkapalan dalam dan luar negeri dan cukai dan yuran lain ke atas penduduknya sebagaimana yang dilihatnya sebagai baik atau perlu, berserta dengan segala kuasa dan hak lain yang biasanya dijalankan dan dimiliki oleh pemerintah berdaulat, dan yang dengan ini beta wakilkan kepadanya dengan kerelaan beta sendiri.


Dan beta menyeru kepada seluruh negara asing yang telah beta wujudkan persetiaan dan persahabatan serta perikatan supaya mengakui bahawa Maharaja tersebut sebagai diri beta sendiri di wilayah-wilayah tersebut dan menghormati kuasanya di wilayah itu, dan jika sekiranya berlaku kematian atau persaraan dari jawatan oleh Maharaja tersebut, maka orang yang sewajarnya dilantiknya sebagai pengganti dalam jawatan pemerintah tertinggi dan Gabenor Besar wilayah Syarikat di Borneo hendaklah demikian juga menggantikan jawatan dan gelaran Maharaja Sabah dan Raja Gaya dan Sandakan, dan segala kuasa yang dinyatakan di atas hendaklah terletak hak padanya.


Dibuat di Istana Brunei pada 29 hari bulan Disember, TM 1877.


(Teks diambil dari Maxwell & Gibson 1924: 156-157)


Melalui syarikat usahasama Dent & Overbeck Company itulah Gustav berkuasa ke atas Borneo Utara namun ada satu permasalahan yang harus Gustav selesaikan dahulu bagi memulakan rencananya. Ini kerana pada waktu itu juga ramai peniaga Eropah sudah mengetahui akan tindakan Kerajaan Sulu yang sentiasa mendominasi cerita kekuasaan mereka di Borneo Utara. Untuk itu adalah perlu untuk beliau mendapat sokongan daripada Kerajaan Sulu agar tiada tuntutan yang bertindih pada masa hadapan.


Seminggu selepas diangkat sebagai Maharaja Sabah dan Raja Gaya dan Sandakan dari Sultan Abdul Momin, Gustav telah berkunjung ke Jolo dan melalui kenalan rapat perniagaan dan diplomat Eropah yang beliau kenali pada masa itu akhirnya berjaya menemui Sultan Sulu iaitu Sultan Mohamed Jamal Al-Alam. Perlulah diingatkan bahawa sewaktu kedatangan Gustav ke Sulu sebenarnya Kesultanan Sulu sudah hampir kehilangan kekuasaan ke atas wilayahnya kepada Sepanyol. Maka tawaran daripada Gustav itu seumpama kata bidalan bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Ini kerana daripada hilang segalanya sekurang-kurangnya masih lagi mempunyai pendapatan hasil daripada memajak wilayahnya di Borneo Utara.


Pada 22 Januari 1878, perjanjian kedua untuk mendapatkan hak Borneo Utara berlaku yang mana menyaksikan Gustavus Baron de Overbeck diangkat pula menjadi Datu Bandahara dan Raja Sandakan oleh Sultan Mohamed Jamal Al-Alam. Perjanjian ini ditandatangani di Istana Lipuk, Pulau Sulu turut ditulis di dalam tulisan Jawi dalam bahasa Melayu dan antara isi kandungan perjanjian itu berbunyi seperti ini:


“...sudah kuredhai pajakan dengan keredhaan dan kesukaan kita sendiri kepada tuan Gustavus Baron von Overbeck yang tinggal dalam negeri Hong Kong dan kepada Alfred Dent Esquire yang tinggal dalam negeri London... sampai selama-lamanya sekalian perintah dan kuasa yang kita punya yang takluk kepada kita di tanah besar Pulau Borneo dari Sungai Pandasan di sebelah barat sampai sepanjang semua tanah di pantai sebelah timur sejauh Sungai Sibuku di sebelah selatan…”


“...Kepada seluruh negara di muka bumi ini yang ada kaitannya dengan perkara ini, beta, Sultan Mohamed Jamal Al-Alam memberitahu bahawa sesetengah wilayah yang dimiliki oleh Sulu dari tanah sebelah utara dan timur Borneo.. dengan ini melantik Baron de Overbeck sebagai pemerintah tertinggi sebagai Datu Bandahara dan Rajah Sandakan….”


Enam bulan selepas perjanjian ditandatangani antara Gustavus dan Sultan Sulu menyaksikan Sepanyol, satu lagi kuasa besar Eropah berjaya mendominasi wilayah-wilayah di Filipina dan ini termasuklah Kesultanan Sulu itu sendiri yang menjadikan perjanjian tersebut terkontang-kanting dan untuk tujuan mendapatkan sokongan menyebabkan Gustavus kembali ke benua Eropah. Hampir dua tahun beliau berkelana dengan berusaha mempromosi Borneo Utara sebagai wilayah Austria Hungary dan Itali namun tidak berhasil. Begitu juga di dalam usahanya untuk menjadikan Borneo Utara sebagai wilayah Jerman, dikatakan hanya seorang sahaja warga Jerman yang memberikan sokongan iaitu Alexander Georg Mosle.


Akhirnya, British yang sememangnya berminat untuk terus menguasai Borneo memberikan perhatian kepada usaha beliau itu. Pada awal tahun 1881, British North Borneo Provisional Association Limited ditubuhkan sesudah Gustavus menyerahkan hak miliknya kepada Dent Brothers sepenuhnya. Atas usaha BNBPAL dan pengaruh Kerajaan Britain pada waktu itu berjaya menidakkan tuntutan Sepanyol ke atas Borneo Utara. Maka bermulalah episod Syarikat Berpiagam Borneo Utara British mengambil wilayah Borneo Utara dan melalui Perjanjian Protectrate 1888 menjadikan ianya sebagai negara lindungan Mahkota British dan seterusnya sebagai sebahagian pembentuk wilayah koloni yang dikenali sebagai Koloni Mahkota British Borneo sebelum menjadi Sabah, Malaysia pada tahun 1963.


Berbalik kepada cerita Gustav Baron de Overbeck, usai menjual segala kepentingannya kepada Dent Brothers, agak kurang cerita mengenai beliau kerana diceritakan menghadapi masalah kewangan yang meruncing sehinggalah berita kematiannya diwar-warkan di England. Beliau meninggal dunia pada usia 64 tahun pada usianya 64 tahun di Kota London pada tahun 1894.




Nota: Teaser artikel adalah Perjanjian yang ditandatangani oleh Gustavus Overbeck dengan Sultan Brunei (Kiri) dan Sultan Sulu (Kanan).



Rujukan:


1, Gustav Overbeck

https://www.revolvy.com/page/Gustav-Overbeck?cr=1

2. British North Borneo Treaties, 1877

http://www.lawnet.sabah.gov.my/lawnet/SabahLaws/Treaties/CommissionFromSultanOfBorneoAppointingGustavusBaronDeOverbeckMaharajahOfSabah(NorthBorneo)AndRajahOfGayaAndSandakan.pdf

3. Today in Philippine History, January 22, 1878, Baron de Overbeck was conferred the title Datu Bandahara by the Sultan of Sulu

https://kahimyang.com/kauswagan/articles/1423/today-in-philippine-history-january-22-1878-baron-de-overbeck-was-conferred-the-title-datu-bandahara-by-the-sultan-of-sulu

4. Brunei Times, June 17 2014 by Rohazan Yunus entitle Sabah and Sulu Claims https://web.archive.org/web/20140617035533/http://www.bt.com.bn/2013/03/07/sabah-and-sulu-claims

5. Brunei Times, September 21, 2008 by Rohazan Yunus entitle How Brunei Lost Its Northern Province

https://web.archive.org/web/20140617040008/http://www.bt.com.bn/life/2008/09/21/how_brunei_lost_its_northern_province


bottom of page