top of page

RAJA YANKEE DAN KOLONI ELLENA YANG HILANG


RAJA YANKEE DAN KOLONI ELLENA YANG HILANG, SABAH


BILA disebut “Yankee” sudah tentu ianya merujuk kepada orang Amerika dan bilamana seorang “Yankee” menjadi Raja di bumi Borneo Utara atau Sabah sekarang sudah tentu ramai yang mengatakan bahawa ianya satu dusta. Mana mungkin seorang bangsa Amerika mampu menjadi raja di Borneo. Hakikatnya itulah sejarah yang mungkin ramai tidak mengetahui bahawa suatu waktu dahulu, Amerika Syarikat pernah bertapak di Borneo Utara malah berjaya membuka satu wilayah yang mereka namakan “Koloni Ellena” yakni Kimanis, Sabah sekarang malah turut diangkat seorang bangsa Amerika menjadi raja di sana.


Menyusuri sejarah keberadaan Amerika Syarikat di Borneo bermula pada tahun 1845 iaitu pada ketika itu sebuah kapal perang Amerika Syarikat bernama USS Constitution telah belayar ke Brunei. Pada masa itu pelayaran mereka adalah untuk menawarkan perlindungan kepada Sultan Brunei dan sebagai timbalbalik, Amerika Syarikat dibenarkan untuk memulakan perniagaan mereka di Borneo. Pada tahun 1850 iaitu Joseph Balestier iaitu wakil kerajaan AS telah berjaya memeterai satu perjanjian perdagangan dengan Sultan Brunei pada waktu itu lantas ianya menjadikan satu detik bersejarah untuk AS mula bertapak di Borneo.


Walaupun sudah memeterai satu perjanjian persefahaman di dalam perdagangan namun AS hanya benar-benar membuka pejabat konsulnya di Brunei pada tahun 1865 setelah seorang bangsa Amerika bernama Claude Lee Moses bertindak menawarkan diri kepada Presiden Abraham Lincoln agar beliau dibenarkan menjadi konsul Amerika Syarikat di Borneo secara percuma. Ketika berkhidmat di Brunei itulah Claude menggunakan segala hubungan diplomatiknya untuk mempengaruhi Sultan Brunei yang mana akhirnya menyaksikan dua perjanjian konsesi berjaya beliau perolehi.


Perjanjian konsesi yang pertama antara Claude dengan Sultan Abdul Mumin adalah penyerahan kawasan Sulaman sehingga ke Sungai Paitan, Borneo Utara dengan tempoh pajakan 10 tahun dan harga untuk pajakan ini adalah 4,500 dollar setahun harus dibayar kepada Sultan Abdul Mumin sendiri. Manakala untuk perjanjian konsesi kedua pula adalah perjanjian antara beliau dengan Pengiran Temenggung Anak Hashim yang bersetuju untuk menyerahkan kawasan Paitan, Sugut, Bongaya, Labuk, Sandakan, Kinabatangan, Cagayan, Memain, Benoni, Pulau Balabac dan Pulau Palawan termasuk Kimanis di Borneo Utara. Bayaran untuk Pengiran Temenggung Anak Hashim adalah sebanyak 4,000 dollar setahun dan tempohnya turut selama 10 tahun.


Walaupun Claude berjaya mendapatkan wilayah tersebut namun beliau kekurangan dana untuk membuat segala pembangunan dan menggodek hasil maksul wilayah tersebut. Untuk itu beliau bertindak menjual pula haknya ke atas wilayah di Borneo Utara itu kepada seorang ahli perniagaan Amerika Syarikat kelahiran Main, Boston yang bernama Joseph William Torrey. Pada ketika itu, Torrey berada di Hong Kong lantas bagi membenarkan aktiviti komersial maka satu syarikat yang dinamakan Syarikat Perdagangan Amerika atau American Trading Company of Borneo ditubuhkan pada tahun September 1865.


Awal November 1865 menyaksikan Torrey dan Claude mula melayari lautan luas dengan menggunakan kapal peribadinya yang bernama “Ellen” bermula dari Hong Kong untuk ke Labuan. Dari Labuan mereka belayar ke Brunei bagi mengadap Sultan Abdul Mumin dan Temenggung sendiri berkenaan dengan penjualan hak Claude kepada Torrey. Ternyata pelayaran mereka yang jauh berbaloi kerana Sultan Abdul Mumin mahupun Temenggung tiada masalah sekiranya hak bertukar tangan maka satu pemindahan pajakan baru berlaku pada tanggal 24 November 1965 dari Claude ke Torrey berlaku secara rasmi. Pada masa inilah Sultan Abdul Momin telah menobatkan Torrey sebagai Raja Ambong dan Marudu yang menyaksikan beliau berkuasa penuh ke atas wilayah Kimanis.


Pada pertengahan Disember 1865, buat kali pertama Torrey berserta rakan kongsi perniagaannya di dalam Syarikat Perdagangan Amerika dengan membawa bersama tukang-tukang kayu dan buruh telah berlayar menuju ke Kimanis. Kapal Ellena menjadi kapal utama di dalam misi mereka itu dan apabila mula menjejakkan kaki di Kimanis itulah, Torrey menamakan kawasan Kimanis termasuk Ambong dan Marudu sebagai Koloni Ellena mengambil bersempena nama kapal peribadinya “Ellen”. Dan Koloni Ellena ini merupakan wilayah rasmi koloni Amerika Syarikat di bumi Borneo dengan pentadbiran sepenuhnya dikawal oleh Torrey yang digelar Raja Ambong dan Marudu oleh Sultan Brunei.


Hanya ketika berada di Koloni Ellena inilah Torrey mendapati bahawa ianya kaya dengan sumber asli dan hutan malahan tanah pamahnya cukup subur. Untuk itu Torrey berhasrat untuk menggodek hasil arang batu di kawasan tersebut. Menurut Torrey, arang batu itu amat berguna untuk kegunaan kapal tentera Amerika Syarikat yakni sebagai alternatif kepada Pulau Victoria atau Labuan sekarang yang mempunyai lombong arang batunya sendiri tetapi didominasi oleh British. Selain itu Koloni Ellena juga cukup baik untuk dijadikan satu bandar pelabuhan bagi industri perkapalan kerana kedudukan geografinya yang strategik serta terlindung dari ancaman lanun dan sebagainya.


Atas sebab-sebab untuk mencari modal yang lebih besar, pada tahun1866 Torrey telah belayar ke Hong Kong kembali. Ketika ketiadaan beliau, Koloni Ellena adalah dibawah jagaan Thomas Bradley Harris iaitu rakan kongsi Torrey. Namun sayangnya selepas beberapa ketika meninggalkan Harris di Koloni Ellena, Harris pula jatuh sakit terkena demam malaria yang akhirnya menemui ajal pada 22 Mei 1866. Kubur Harris sehingga sekarang masih lagi ada di satu kawasan yang dinamakan Bukit Gabenor di Kimanis.


Selepas itu Koloni Ellena ditadbir pula oleh rakan-rakan kongsi Torrey berbangsa Cina di dalam Syarikat Perdagangan Amerika. Pada ketika itulah syarikat ini mengembleng buruh-buruh cina mereka untuk membuka seberapa banyak tanah yang baru untuk dijadikan ladang kopi dan tebu serta sawah padi. Buruh-buruh tempatan turut sama digunakan dengan upah yang setimpal serta dilayan dengan penuh professional. Ini menyebabkan hubungan Syarikat Perdagangan Amerika dengan penduduk tempatan Kimanis amat baik. Melalui penduduk tempatan yang digalakkan untuk memunggut hasil hutan sebagai sumber ekonomi mereka yang kemudiannya dijual kepada SPA seperti getah perca, champor dan sarang burung menjadikan usaha SPA amat dihargai oleh mereka.


Walaupun pada mulanya usaha SPA dan Torrey di Koloni Ellena dilihat mendatangkan hasil namun ianya masih lagi merugikan perniagaan mereka. Modal yang lebih besar sentiasa diperlukan namun usaha untuk mendapatkan suntikan modal daripada peniaga-peniaga Amerika Syarikat amatlah sukar. Ini menyebabkan secara perlahan-lahan perniagaan SPA di Kimanis semakin meruncing kewangannya sehingga tidak mampu lagi membayar upah buruh-buruh yang ada.


Dan sekaligus ini menyebabkan Torrey mahupun Syarikat Perdagangan Amerika yang menanggung kerugian tidak lagi mampu membayar wang pajakan Kimanis kepada Claude yang kemudiannya menyalurkannya kepada Sultan Abdul Mumin dan Temenggung. Ini memaksa Claude menghantar surat peguamnya yang menuntut pembayaran segera pada tangga 12 September 1866. Torrey yang sudah hilang punca bertindak meninggalkan Koloni Ellena pada Disember 1866 dan tidak pernah kembali lagi selepas itu. Koloni Ellena ditinggalkan sebegitu sahaja tanpa ditadbir seperti yang dijanjikan.


Tindakan Torrey yang lesap sebegitu sahaja menyebabkan Claude berang dan dikatakan beliau meminta Sultan Brunei untuk membatalkan perjanjian konsesi Kimanis dan diberikan kepada syarikat yang berminat. Namun begitu Sultan Momin tidaklah mengikut saranan Claude sebaliknya membiarkan Kimanis diperintah secara tradisi seperti sebelumnya. Torrey pula pada tahun 1868 telah ke California di dalam usahanya untuk mencari modal namun sayangnya masih tiada yang berminat telahan lagi pada waktu itu jugalah Amerika Syarikat telah mengeluarkan dasar-dasar pelaburan seberang lautnya yang ketat.


Di saat-saat akhir sebelum pajakan konsesi tamat pada tahun 1875 itulah, Torrey bertemu dengan Gustavus Baron de Overbeck lantas menjual hak konsesinya kepada beliau sebanyak 15,000 dollar. Sejak itulah satu koloni Amerika Syarikat yang satu-satunya di Borneo bertukartangan kepada seorang bangsa Jerman. Koloni Ellena sudah runtuh maka Torrey meninggalkan Koloni Ellena untuk kesekian kalinya dan kembali ke tanahair Amerika Syarikat.


Pada tahun 1877, Torrey dilantik sebagai Timbalan Konsul Amerika di Siam dan meletak jawatan pada tahun 1880 tetapi masih menetap di Siam sehinggalah pada tahun 1883 beliau kembali ke Amerika Syarikat. Pada tanggal 22 June 1885, Torrey disahkan meninggal dunia akibat serangan sakit jantung di kediamannya di Roxbury. berita kematiannya menghiasi dada-dada akhbar di AS kerana dialah satu-satunya raja yankee yang pernah memerintah sebuah koloni Amerika Syarikat di Borneo. Torrey disemadikan di Tanah Perkuburan Forest Hills.





Rujukan:


1. American Activity in North Borneo 1865-1881 by K.G Treggoning

https://phr.ucpress.edu/content/23/4/357

2. The United States Consul, The Yankee Raja, Ellena and the Constituion : A Historical Vigneete by Frank Tatu

https://www.persee.fr/doc/arch_0044-8613_1990_num_40_1_2667

3. Kerajaan-kerajaan Borneo Sekitar Tahun 1850-1941 oleh Ooi Keat Gin

https://www.coursehero.com/file/p5fd0o6k/16-Ooi-Keat-Gin-Kerajaan-kerajaan-di-Borneo-Sekitar-tahun-1850-1941-dalam-Abdul/

4. Amerika Syarikat (AS) DI KIMANIS, 1850-1875 oleh Azslan bin Selamat, Universiti Malaya

https://www.researchgate.net/publication/321129239_AMERIKA_SYARIKAT_AS_DI_KIMANIS_1850-1875

  1. Kimanis Negeri Tua Tanah Keramat, 2015 Penerbit Universiti Malaysia Sabah (PDF)


bottom of page