HARI SARAWAK, 22 JULAI
HARI SARAWAK, 22 JULAI
SABAN tahun sejak ianya dimartabatkan sebagai hari kebesaran Sarawak, tanggal 22 Julai akan kita rayakan secara besar-besaran di segenap pelusuk Sarawak Bumi Kenyalang. Inilah hari yang amat bermakna buat rakyat Sarawak memandangkan pada hari inilah Sarawak telah mula diperintah oleh anak watan Sarawak sendiri setelah didominasi oleh Brooke, Jepun dan seterusnya menjadi jajahan Koloni British.
Mengimbau sejarah Hari Sarawak pada tanggal 22 Julai 1963, Gabenor Koloni Mahkota Sarawak British iaitu Sir Alexander Waddel telah mengeluar “The Sarawak Goverment Gazette Extraordinary Part V yang mana menyaksikan Kerajaan pada masa itu mengeluarkan dua notis serentak mengikut kuasa Sarawak Constitution Orders in Council 1956 to 1963.
Notis pertama yang bernombor siri 1167 mengistiharkan Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama. Manakala notis kedua yang bernombor siri 1168 pula mengistiharkan ahli-ahli Majlis Tertinggi atau Supreme Council yang terdiri daripada
Abdul Taib bin Mahmud - seorang pengamal undang-undang;
James Wong Kim Ming - seorang ahli perniagaan dan kaunselor Limbang;
Dustan Endawie Anak Enchana - seorang kaunselor di Kalaka;
Awang Hipni bin Pengiran Anu - seorang kaunselor di Matu; dan
Teo Kui Seng - seorang ahli perniagaan industri perkapalan.
Jauh sebelum detik bersejarah ini iaitu sekitar bulan April dan Mei 1963 telah diadakan satu pilihanraya negeri yang pertama yang melibatkan Parti Perikatan Sarawak yang menggabungkan Barisan Rakyat Jati Sarawak (BERJASA), Sarawak National Party (SNAP), Sarawak Conservative Party dan Sarawak Chinese Association. Dari jumlah 429 kerusi bagi Majlis Daerah (District Councils) dipertandingkan, Parti Perikatan Sarawak (Sarawak Alliance Party) yang dipimpin oleh Stephen Kalong Ningkan telah berjaya merebut kemenangan majoriti dengan mendapat 138 buah kerusi. Manakala Sarawak United People’s Party (SUPP) mendapat 116 buah kerusi, Parti Negara dengan 59 buah kerusi dan Independent party mendapat 116 buah kerusi.
Untuk pilihanraya peringkat Majlis Bahagian (Divisional Councils) dan Council negeri pula, Parti Perikatan Sarawak turut telah mendapat kemenangan majoriti dengan 19 buah kerusi menjadi milik mereka. Manakala SUPP mendapat 5 buah kerusi, Parti Negara 3 buah kerusi dan Independent parti sebanyak 9 buah kerusi.
Berdasarkan kepada kehendak rakyat Sarawak yang telah memilih secara demokrasi di dalam Pilihanraya 1963 itulah, maka Dato Stephen Kalong Ningkan sebagai pemimpin ulung Parti Perikatan Sarawak telah dipilih oleh Koloni Mahkota Sarawak British untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama Sarawak. Dan seterusnya barisan kabinet yang mewakili pemimpin gabungan parti di dalam Parti Perikatan Sarawak diangkat menjadi barisan kabinet Sarawak yang pertama.
Walau ramai yang diluar sana begitu skeptikal dengan terjemahan sebenar Hari Sarawak samada ianya hari kemerdekaan Sarawak atau tidak, itu bukanlah satu persoalan yang besar kerana yang setiap individu bebas untuk mentafsir maknanya mengikut kefahaman masing-masing. Yang penting 22 Julai ini kita sambut sebagai menghormati bahawa pada hari inilah Sarawak melangkah ke era baru sebagai entiti yang tidak lagi diperintah oleh Brunei atau Brooke atau Jepun atau Koloni British kerana pada 22 Julai ini SARAWAK SUDAH MELANGKAH KE ERA BERKERAJAAN SENDIRI sebelum pengistiharan Negara Malaysia, 54 hari kemudian iaitu 16 September 1963.
Julang tinggi-tinggi bendera Sarawak biar satu dunia mengetahui bahawa 22 Julai ini HARI SARAWAK.
Jika hendak membunuh pokok, racunkanlah akarnya
Jika hendak membunuh bangsa, racunkanlah sejarahnya.
Selamat menyambut Hari Sarawak kepada seluruh rakyat Sarawak yang berbangga mengenal dirinya sebagai I’M SARAWAKIAN walau dimana jua anda berada di seluruh pelusuk mukabumi ini.
-Admin Borneo Oracle-