YANG DIPERTUAN AGONG MALAYSIA KE-XVI
YANG DIPERTUAN AGONG XVI, AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTAIN BILLAH
TANGGAL 30hb Julai ini satu lagi kronologi bersejarah tercipta apabila seorang lagi sultan di negeri-negeri Tanah Melayu ditabalkan untuk menjadi Seri Paduka Yang Dipertuan Agong ke-XVI iaitu Sultan Pahang yang baru sahaja dimasyurkan menjadi Sultan pada 15 Januari 2019. Perlantikan baginda sebagai YDP Agong yang baharu adalah sejajar dengan Sistem Raja Berpelembagaan Malaysia yang ditetapkan di dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-peraturan Majlis Raja-raja.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah diputerakan pada tanggal 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang Darulmakmur. Tengku Abdullah adalah nama kelahiran baginda dan nama timang-timangan adalah “Alam” di kalangan kerabat diraja Pahang. Merupakan anakanda ke-4 dari lapan adik beradik dan baginda merupakan putera yang paling sulung.
Menerima pendidikan awal prasekolah di Sekolah Clifford, Kuala Lipis pada tahun 1965 sebelum menyambung persekolahan di Sekolah Kebangsaan Ahmad, Pekan (1966–1969) dan Sekolah Rendah Kebangsaan St Thomas, Kuantan serta di peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan St Thomas (1970–1974). Baginda kemudiannya berangkat ke United Kingdom (UK) untuk meneruskan pengajian di Aldenham School, Elstree, Hertfordshire, UK dan Davies College, London, UK pada 1975–1977. Pengajian baginda kemudiannya disambung dalam bidang ketenteraan iaitu di The Royal Military Academy Sandhurst, UK (1978 – 1979) dan Worchester & Queen Elizabeth College, UK (1980 – 1981) sehingga baginda dianugerahkan Diploma In International Relations And Diplomacy.
Seperti kebanyakan daripada putera-putera raja di negeri-negeri Tanah Melayu yang lain, minat dan komitment baginda turut terserlah di dalam bidang ketenteraan dan pernah dilantik sebagai Leftenan Muda, Royal Military Academy, Sandhurst, England dengan menerima pentauliahan oleh Queen Elizabeth II pada tahun 1980. Setelah kembali ke Malaysia, baginda tetap meneruskan komitment baginda di dalam bidang ketenteraan yang mana menyaksikan baginda dilantik sebagai Kapten Pasukan Kor Kavelri Diraja Malaysia. Pada 1 Mei 1999 pula dilantik menjadi Leftenan Kolonel untuk Rejimen 505 Askar Wataniah dan seterusnya menjadi Kolonel pada 1 Jun 2000 dan terakhir sekali menjadi Brigadier Jeneral, Komander Rejimen 505 Askar Wataniah pada 1 April 2004.
Sebelum baginda menjadi Sultan Pahang yang ke-6, Baginda merupakan telah dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang pada 1 Julai 1975 yang kemudiannya dimasyhurkan di Istana Abu Bakar, Pekan pada tanggal 23 Oktober 1977. Tatkala ayahanda baginda iaitu Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dilantik menjadi YDPA ke-VII, baginda ketika usaianya baru sahaja 20 tahun telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang pada 28 April 1979 selama lima tahun. Pada 8 Disember 2016 pula, baginda sekali lagi dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang sehingga 11 Januari 2019, iaitu setelah Jumaah Pangkuan Diraja Negeri memutuskan untuk melantik baginda sebagai Sultan Pahang yang keenam.
Nama baginda turut cemerlang di dalam arena sukan tanahair lebih-lebih lagi bolasepak kerana pernah menjadi Presiden FAM dari tahun 2014 hingga 2017. Dan mungkin ramai tidak tahu bahawa sewaktu insiden separuh akhir Piala Malaysia, Sarawak menentang Kedah pada tahun 1988 dan suku akhir menentang Kuala Lumpur pada tahun 1989 yang mana pada ketika itu FAS telah bertindak keluar daripada menjadi ahli FAM. Antara nama besar yang berjaya meredakan kemarahan rakyat Sarawak amnya pada masa itu adalah Tengku Abdullah sendiri yang mencemar duli “terbang” ke Kuching Sarawak lantas berjaya memujuk FAS untuk kembali menganggotai FAM.
Bertemu jodohnya dengan puteri ketiga kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, Sultan Negeri Johor Takzim iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj pada Mac 1986 di Istana Bukit Serene, Johor. Perkahwinan mereka dikurniakan dengan empat orang putera dan dua puteri iaitu Tengku Amir Nasser, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah.
Perkahwinan kedua baginda adalah dengan seorang jelitawan Malaysia berwajah Pan-Asia yang pernah mengukir nama di pentas dunia lakonan tempatan sekitar tahun 1988 dan 1992 iaitu Yang Berbahagia Cik Puan Julia Aishah binti Abdul Rais. Bersama Cik Puan Julia, baginda dikurniakan dengan tiga puteri iaitu Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Illisha Amira dan Tengku Puteri Ilyana.
Terkenal dengan sikapnya yang berdisiplin diri lebih-lebih lagi di dalam menjaga keterampilan diri adalah antara yang menghiasi ceritera baginda di kalangan rakan dan taulan. Dan baginda juga adalah seorang raja yang berjiwa rakyat kerana sentiasa prihatin kepada kesusahan rakyat jelatanya dan tanpa segan silu kelibatnya bersama permaisuri hatinya sentiasa kelihatan di majlis keramaian rakyat dan sebagainya sekiranya mempunyai waktu yang terluang.
Di kesempatan ini, Borneo Oracle merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada DYMM Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah atas pertabalan Baginda sebagai Kebawah Duli Yang Dipertuan Agong Malaysia yang ke XVI.
Daulat Tuanku.
Sumber:
1. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/01/523602/biodata-yang-di-pertuan-agong-ke-16
2. http://www.istananegara.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=68&Itemid=609
3. http://www.dirajapahang.my/portaldiraja/?page_id=2282