top of page

TRAGEDI TENGGELAMNYA KAPAL S.S VYNER BROOKE 1942


TRAGEDI TENGGELAMNYA KAPAL S.S VYNER BROOKE 1942


KETIKA Perang dunia kedua berlangsung banyak kisah-kisah tragis yang berlaku ke atas rakyat negara yang ditakluki Jepun telahan lagi warga-warga Eropah yakni seteru Jepun pada waktu itu selain masyarakat Cina. Untuk di Asia Tenggara misalnya seperti Malaya, Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei sudah tentu warga Eropah berbangsa Inggeris mahupun Australia menjadi golongan expatriate yang bekerja dibawah kerajaan Koloni British, Rajah Brooke dan Syarikat Berpiagam North Borneo.


Mungkin ramai tidak mengetahui mengenai satu tragedi yang berlaku kepada penumpang dan kelasi sebuah kapal penumpang yang bernama S.S Vyner Brooke pada bulan Februari 1942. Kapal penumpang ini pada mulanya adalah kapal mewah yang tujuan utamanya adalah untuk kegunaan Tuan Rajah Ketiga Sarawak iaitu Sir Charles Vyner Brooke. Dan ianya dibeli dibawah satu syarikat perkapalan Sarawak Steamship Company yakni satu syarikat perkapalan yang dibentuk untuk menyelesaikan permasalahan perkapalan di Sarawak pada tahun 1875.


S.S Vyner Brooke disiapkan pembuatannya pada tahun 1928 di Edinburgh, Scotland oleh Ramage & Ferguson Limited. Pada waktu itu ianya mempunyai spesifikasi kapal mewah untuk keluarga Brooke malah ketika ianya dilancarkan di dermaga Edinburgh, Ranee Sylvia Brooke yakni isteri Tuan Rajah Sir Charles Vyner Brooke yang merasmikan. Satu tradisi perkapalan yang mana setiap kapal akan dilepaskan ke air dari limbungan oleh seorang wanita maka begitulah juga S.S Vyner Brooke pada waktu itu.


Dari benua eropah, S.S Vyner Brooke telah membelah samudera luas untuk ke destinasi kekalnya iaitu Kuching, Sarawak untuk berbakti kepada Tuan Rajah Sarawak. Selang beberapa tahun kemudian, S.S Vyner Brooke telah bertukar fungsinya yang mana dari kapal mewah lantas menjadi kapal penumpang dan kargo dengan laluannya adalah Kuching dan Singapura. Kemudian ketika akhir saat perang dunia kedua kian menghampiri benua asia tenggara, pihak Kerajaan British telah meminta S.S Vyner Brooke menjadi sebahagian daripada kapal tentera mereka.


Kisah tragis yang menimpa penumpang dan anak kapal S.S Vyner itu bermula pada tanggal 13 Februari 1942 yang mana pada ketika itu Singapura sudahpun jatuh ke tangan Jepun. Atas nama survival pada masa itu, ramai warga asing yang meninggalkan Singapura dan ini tidak terkecuali 181 penumpang S.S Vyner Brooke. Pada hari itu kebanyakan penumpang adalah wanita dan anak-anak kecil serta beberapa orang tentera British yang cedera berserta 65 orang jururawat berbangsa Australia. Mereka meninggalkan dermaga Singapura untuk ke destinasi yang boleh menerima mereka.


Biarpun sudah mampu belayar dan mengelak dari beberapa siri serangan bom Jepun dari udara namun hanya mampu bertahan beberapa jam sahaja kerana menjelang tengahari selepas itu iaitu pada 14 Februari 1942 diketika melalui laluan laut antara Sumatera dan Kalimantan, S.S Vyner Brooke akhirnya berjaya dijejaki oleh pesawat tentera Jepun lantas diperangi. Muntahan mesingan dan bom yang bertali arus tidak mampu untuk mereka balas akhirnya menyebabkan S.S Vyner Brooke tenggelam ke dasar laut begitu pantas iaitu hanya 15 minit sahaja jangkahayatnya di permukaan air.


Dalam keriuhan menyelamatkan diri itulah ada sebahagian penumpang yang berjaya menyelamatkan diri samada menaiki sampan kecil yang ada pada kapal sebelumnya ataupun dibawa arus ombak kerana pelampung keselamatan yang digunakan sehingga ke bahagian pantai Pulau Bangka. Dari 65 jururawat Australia yang menjadi penumpang hanya 53 orang yang selamat dan daripada jumlah itu hanya 22 orang yang benar-benar tidak cedera. Merekalah sesampai sahaja di daratan telah melakukan tugasan mereka sebaik mungkin kepada penumpang-penumpang lain yang terselamat.


Umpama kata pepatah lama, keluar dari mulut buaya masuk pula ke mulut naga kerana hakikatnya kesemua penumpang S.S Vyner Brooke terselamat dari menjadi korban kapal yang tenggelam namun telah dinantikan oleh tentera-tentera Jepun di daratan iaitu di pantai Pulau Bangka. Biar 22 orang jururawat Australia menyisipkan lambang Palang Merah di lengan mereka yang mana jika diikutkan peraturan, mereka tidak harus diperlakukan sembrono kerana mereka petugas rawatan sewaktu perang tetapi Jepun tetap dengan kezaliman mereka yang tiada taranya.


Akhirnya mangsa-mangsa yang terselamat tidak kira lelaki, wanita mahupun anak-anak kecil ditangkap dan seterusnya dibawa ke sebuah bangunan yang kosong untuk menjadi penjara sementara. Biar ramai yang sakit-sakit dan lapar mahupun haus, tentera Jepun langsung tidak memperdulikan mereka. Mereka tetap diiktiraf sebagai tahanan perang Jepun dan dikasari tanpa belas jika membantah arahan mereka.


Dalam pada itu cerita jururawat Australia yang terselamat dan tidak cedera lain pula jadinya kerana mereka tidak berada di dalam kelompok tersebut. Sebaliknya mereka dibiarkan berada di pantai Pulau Bangka dengan kawalan hampir 15 orang tentera Jepun bersenjata. 22 orang jururawat Australia sedia menunggu di pantai biarpun mereka ketahui bahawa akan ada hal yang lebih buruk menimpa mereka kelak. Biarpun ketakutan menyelubungi diri namun untuk merayu diminta belas kasihan tidak sekali.


Akhirnya seorang Jeneral Jepun telah mengarahkan 22 orang jururawat Australia untuk berjalan ke arah laut sehinggalah air laut sudah melampaui paras pinggang mereka. Dari arah belakang itulah tentera Jepun telah menembak mereka dengan menggunakan senapang. Natijahnya 21 orang jururawat Australia yang mengenakan lambang palang merah di lengan mereka mati serta merta dan cuma seorang sahaja yang selamat itupun kerana beliau yang hanya cedera di kaki ditembak berpura-pura mati.


Jururawat Australia yang terselamat daripada 65 orang jururawat Australia yang berada di dalam pelayaran terakhir S.S Vyner Brooke itu bernama Vivian Bullwinkel. Beliau yang cedera di kaki telah ditemui oleh penduduk tempatan dan bersama seorang lagi tentera Inggeris yang berjaya meloloskan diri awal telah disembunyikan oleh penduduk tempatan.


Kedua-duanya dirawat sebaik mungkin namun malangnya tentera Inggeris itu menemui ajal kerana cedera yang teruk sementara Bullwinkel terus dijaga oleh penduduk tempatan sebaik mungkin biarpun terpaksa menyamar sebagai rakyat tempatan kerana tidak mahu berita ada seorang yang terselamat di dalam tragedi SS Vyner Brooke itu diketahui oleh tentera Jepun di Pulau Bangka.


Hanya setelah Jepun menyerah kalah baharulah Bullwinkel dibenarkan kembali ke tanah asalnya. Pada tahun 1947, Vivian Bullwinkel telah memainkan peranannya yang penting iaitu sebagai saksi utama untuk pertuduhan jenayah perang Jepun ke atas penumpang dan jururawat di kapal S.S Vyner Brooke di Tokyo.


Begitulah kisahnya tragedi menyayat hati yang menimpa sebuah kapal mewah yang dahulunya milik Tuan Rajah Sir Charles Vyner Brooke, rajah ketiga Sarawak yang kemudiannya menjadi kapal kargo dan penumpang dan seterusnya menjadi kapal tentera. Tanggal 13 Februari 1942 ianya meninggalkan dermaga Singapura yang merupakan pelayaran terakhirnya sebelum tenggelam ke dasar laut. Pembunuhan beramai-ramai ke atas penumpang dan jururawat Australia yang terselamat menjadi satu bukti kezaliman tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua berlangsung.


Puing-puing kapal SS Vyner Brooke masih lagi kelihatan di pantai Pulau Bangka yang sengaja dibiarkan untuk mengenang sejarah perang dunia kedua sewaktu dahulu.



Rujukan:


1. Kisah Pilu Perang Dunia Kedua

https://news.detik.com/berita/d-3236562/kisah-pilu-perang-dunia-ii-di-balik-keindahan-pantai-tanjung-kalian

2. SS Vyner Brooke

https://www.wrecksite.eu/wreck.aspx?59211

3. https://www.revolvy.com/page/SS-Vyner-Brooke

4. SS Vyner Brooke, Sarawak Gazette 7, 1 November 1927

https://www.pustaka-sarawak.com/gazette/gazette_uploaded/1370909221.pdf

  1. https://www.awm.gov.au/visit/exhibitions/fiftyaustralians/5


bottom of page