top of page

SIRI 5 HOB: TAMAN NEGARA ULU TEMBURONG, BRUNEI


SIRI HEART OF BORNEO BAHAGIAN 5 - TAMAN NEGARA ULU TEMBURONG, PERMATA HIJAU NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


Menerusi kajian yang dilakukan oleh Universiti Malaya pada tahun 2015, keluasan negara Brunei Darussalam hanya sekitar 2226 batu persegi atau bersamaan 5755 kilometer persegi sahaja. Negara Brunei Darussalam terbahagi kepada 4 bahagian iaitu Temburong di bahagian Timur, Brunei Muara, Tutong serta Belait di bahagian Barat. Walaupun saiz negara yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja mutlak ini antara yang terkecil di Asia Tenggara akan tetapi itu tidak bermakna Brunei tidak mampu untuk mewartakan hutan simpan yang pertama sepanjang sejarah penubuhan negara itu pada tahun 1991.


Taman Negara Ulu Temburong. Juga dikenali sebagai permata hijau Brunei. Untuk tiba ke hutan simpan ini para pengunjung hanya boleh melakukannya menerusi jalan sungai. Taman Negara ini meliputi 40 peratus daripada bahagian Selatan Wilayah Temburong meliputi seluas 550 kilometer persegi. Taman negara Ulu Temburong juga dikenali dengan reputasinya sebagai antara polisi hutan simpan Brunei yang paling berjaya. Ia juga merupakan tarikan eko pelancongan yang utama di Brunei dan turut menempatkan Resort Ulu-Ulu untuk keselesaan para pengunjung yang bertandang ke tempat ini.


CIRI-CIRI FIZIKAL TAMAN NEGARA ULU TEMBURONG


Selain dikelilingi oleh tiga lagi wilayah di dalam negara Brunei Darussalam, hutan simpan ini juga terletak tidak jauh dari sempadan antarabangsa Brunei-Sarawak, Malaysia. Bahagian selatan Taman negara ini terdiri daripada banjaran gunung-ganang dan bukit- bukau. Puncak tertinggi banjaran ini adalah 1800 meter bersamaan 5900 kaki.


Bahagian utara pula terdiri daripada dataran rendah yang dilalui oleh beberapa batang sungai. Aliran sungai-sungai ini telah menbentuk lembah-lembah sempit dan kawasan berpantai.


BAGAIMANA UNTUK TIBA KE TAMAN NEGARA ULU TEMBURONG


Para pengunjung akan memulakan perjalanan daripada Bandar Seri Bengawan yang merupakan ibu negara Brunei Darussalam dengan menaiki bot. Destinasi pertama adalah bandar Bangar. Bandar ini terletak di laluan Sungai Limbang yang mengalir dari arah Sarawak. Aliran daripada sungai Limbang ini akan berakhir di Teluk Brunei. Pada bahagian muara sungai ini terletak kawasan delta berlumpur yang dipenuhi dengan hutan paya bakau.


Seterusnya para pengunjung akan menggunakan jalan darat untuk tiba ke Batang Duri. Setelah tiba ke Batang Duri barulah para pengunjung akan sekali lagi melalui perjalanan air menggunakan pengangkutan bot panjang menempuh sungai Temburong sebelum tiba ke Taman Negara Ulu Temburong.


Bot panjang ini dikendalikan oleh penduduk tempatan yang terdiri daripada etnik Dayak Iban yang cukup berpengalaman serta mahir dengan selok-belok rupa bentuk muka bumi di sini. Ini kerana setiap pengemudi bot panjang Sungai Temburong harus bijak mengelak halangan seperti beting pasir, balak hanyut dan tonjolan batu-batu sungai bersaiz besar.


Untuk makluman semua pihak pentadbiran Taman Negara Ulu Temburong telah menyediakan rangkaian laluan yang menghubungkan jambatan, laluan pejalan kaki dan tangga sejauh tujuh kilometer meliputi setiap inci Taman Negara ini.


Papan tanda yang memuatkan maklumat penting turut disediakan sepanjang laluan. Selain daripada itu pihak pentadbiran Taman Negara turut membina kabel jambatan gantung disokong dengan menara keluli setinggi 50 meter dari lantai hutan.


Jambatan gantung ini dibina sehampir mungkin dengan lapisan kanopi serta turut memasukkan pokok tertinggi di Taman Negara ini sebagai sebahagian daripada laluannya. Para pengunjung turut berpeluang menikmati pemandangan indah kawasan hutan simpan daripada pemandangan atas.


HAIWAN UNIK DI TAMAN NEGARA ULU TEMBURONG.


Spesies fauna seperti burung Enggang, ,Ungka (Gibbon), tupai terbang dan sebagainya antara spesies yang sinonim dengan Pulau Borneo dan kerap dapat dikesan di Taman Negara ini.

Namun selain daripada itu Taman Negara ini juga unik kerana turut menjadi "kediaman" kepada spesies rama-rama hitam hijau daripada keluarga Swallowtail yang diberi nama "White Rajah" oleh Rajah Putih James Brooke sendiri pada abad ke-19.


Selain itu hutan-hutan di Brunei termasuk Taman Negara Ulu Temburong juga pernah dikesan menjadi habitat kepada spesies "Borneon Earless Monitor Lizard" yang kini kerap dijumpai di Sarawak dan Kalimantan Barat sahaja. Spesies "cicak" semi akuatik yang hanya boleh didapati di Pulau Borneo ini semakin diancam kepupusan di habitat asal dek kerana permintaan yang tinggi dari pasaran haiwan peliharaan eksotik terutamanya di negara-negara Eropah dan Jepun.


PENGINAPAN


Bagi yang pertama kali berkunjung ke mari tidak perlu risau dengan soal penginapan. Pada tahun 2008 satu kerjasama di antara Kerajaan Brunei Darussalam dan Sunshine of Borneo Tours and Travel telah dimeterai yang membawa kepada kewujudan Resort Ulu-Ulu.


Sewaktu pembukaan satu-satunya penginapan di Taman Negara Ulu Temburong itu pada November 2008, satu persefahaman bahawa setiap kemudahan yang berkaitan dengan Taman Negara telah dipersetujui untuk diletakkan terus di bawah tanggungjawab Jabatan Perhutanan.

Resort Ulu-Ulu menyediakan 17 buah bilik dengan persekitaran yang mesra alam semulajadi. Para pengunjung boleh memilih untuk menginap di bilik bermula daripada jenis standard (dormitory), superior (twin share and family suites) sehingga ke Deluxe (double bed). Bilik Persidangan, auditorium, restoran, kedai cenderamata dan banyak lagi antara kemudahan yang disediakan oleh Resort Ulu-Ulu kepada part pengunjung.


Sebaiknya tempahan awal secara atas talian hendaklah dibuat terlebih dahulu bagi sesiapa yang berminat untuk menginap di Resort Ulu-Ulu.


PENUTUP


Kecil-kecil cili padi, barangkali itu adalah gambaran yang menarik bagi menceritakan negara Brunei Darussalam serta penglibatannya dalam projek konservasi hutan lintas sempadan "Heart of Borneo". Selain Taman Negara Ulu Temburong, negara ini juga terkenal dengan tarikan Hutan Simpan Labi yang menjadi habitat kepada flora unik iaitu cendawan bercahaya.


Namun Taman Negara Ulu Temburong memiliki beberapa keistimewaan yang menjadikannya lebih menonjol dibandingkan kawasan Taman Negara yang lain di Brunei. Selain menyimpan khazanah flora dan fauna yang berharga, Taman Negara yang mendapat julukan sebagai Permata Hijau Brunei ini turut mencatatkan sejarah tersendiri kerana mendapat penghormatan diisytihar sebagai hutan simpan pertama diiktiraf pemerintah negara berkenaan sekaligus menerima perhatian penuh untuk dibangunkan dan diserlahkan potensinya sebagai tarikan eko pelancongan.


Paling utama kewujudan Taman Negara ini lebih-lebih lagi setelah ia tersenarai sebagai sebahagian daripada projek konservasi "Heart of Borneo" telah berjaya memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk yang mendiami kawasan sekitarnya. Pekerjaan seperti pemandu bot panjang yang dipelopori etnik dayak Iban, pemandu pelancong mahupun pekerja resort dalam pelbagai bidang benar-benar membantu menaikkan ekonomi selain mempromisikan kebudayaan etnik tempatan kepada pelancong luar.


Seperti mana di tempat-tempat lain di serata pulau Borneo, projek "Heart of Borneo" Brunei sekali lagi telah berjaya mencapai objektif penubuhannya baik dalam membantu penduduk tempatan memperolehi rezeki mahupun melestarikan serta memulihara khazanah alam semulajadi Borneo sebagai satu bentuk kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan ekosistem semulajadi kepada kelangsungan kehidupan manusia itu sendiri.


Bacaan lanjut :


1) Tempat-tempat menarik di Brunei. https://www.maisinggah.com/tempat-menarik-di-brunei/

2) Pengalaman di Ulu-Ulu Resort, Media Permata Brunei.https://mediapermata.com.bn/pengalaman-di-ulu-ulu-resort-t…/

3) Guides to Brunei's Ulu Temburong National Park.https://theculturetrip.com/…/a-guide-to-bruneis-ulu-tembur…/

4) Tips For Visiting Ulu Temburong National Park in Brunei, Karen, WonderlustingK. https://www.wanderlustingk.com/…/ulu-temburong-national-par…

5) Bandar Seri Begawan to Ulu Temburong National Park Day Trip. https://www.lonelyplanet.com/…/ba…/a/pa-act/v-23423P1/355846

6) 70 million year old living fossil form Indonesia, Malaysia and Brunei, Se Asia. https://seasia.co/…/70-million-year-old-living-fossil-from-…

7) Rajah Brooke’s Birdwing (Trogonoptera brookiana). https://www.butterflyidentification.com/rajah-brookes-birdw…

8) studentsrepo.um.edu.my › (6...PDF BAB 1: PENDAHULUAN 1.1 LATAR BELAKANG KAJIAN Negara Brunei ...


Kredit foto :


1) Ulu-Ulu Resort website and Instagram

2) Pinterest.


bottom of page