top of page

KOPERAL ITIM AK BIJAM, SP


JEJAK PAHLAWAN SARAWAK: KOPERAL ITIM AK BIJAM, SP


NALURI seorang anggota keselamatan itu tatkala menerima satu tugasan sentiasa diberikan pelbagai petunjuk maka begitulah yang terjadi kepada seorang anak Iban dari Lubok Antu tatkala ditugaskan untuk mengiringi konvoi membawa bahan letupan pada tanggal 29 April 1972. Diceritakan sejak dari mula bertolak dari lokasi sekitar jam 1 tengahari, jantung berdetap dengan pantas seolah-olah ingin memberitahu bahawa akan ada sesuatu yang tidak baik bakal berlaku. Namun sudah namanya seorang anggota keselamatan, apa sahaja yang bermain di minda dan perasaan akan didiamkan dan hanya kepada Yang Esa tempat untuk berserah sementara akan terus berhati-hati di dalam setiap gerakan.


Ternyata firasat awal itu benar-benar terjadi tatkala perjalanan konvoi yang beliau iringi bersama empat lagi rakan Pasukan Polis Hutan Sarawak yang membawa bahan letupan Jabatan Kerja Raya Sarawak ke kawasan kuari di Mubal, Sibu diserang hendap oleh sekumpulan komunis sekitar jam 2.00 petang di satu kawasan yang masih lagi dilitupi hutan tebal iaitu antara Batu 30 dan Batu 43 Jalan Ulu Oya, Sibu. Serang hendap itu berjaya membuatkan konvoi mereka terhenti di tengah jalan dan pada ketika itulah beliau bersama rakan-rakan seperjuangan yang hanya lima orang bersenjata bertindak nekad mempertahankan konvoi dan penjawat awam bersama mereka biar nyawa jadi taruhan.


Dengan strategi yang bijak sementara tiga orang PPH lagi bertahan berbalas tembakan, Konstabel Itim dan ketuanya Ngalinuh membuat perhitungan tersendiri bagi merapati kawasan kubu komunis. Ada ketika kedua-duanya merangkak, meniarap dan berguling-guling sambil memastikan laras senapang tetap diarahkan kepada musuh yang durjani. Akhirnya penat lelah mereka itu berbaloi apabila sebaik sahaja Itim berjaya memasuki kubu musuh, satu tembakan berjaya membunuh seorang komunis.


Hampir empat jam pertempuran Itim dan empat lagi rakan PPH memerangi hampir 100 orang komunis sehinggalah akhirnya jam 6.00 petang baharulah disertai oleh 20 orang anggota PPH yang kebetulan lalu di kawasan tersebut. Dengan jumlah yang ramai, semangat mereka semakin membuak-buak sehingga komunis yang lebih ramai angkat kaki meninggalkan lokasi mereka. Begitulah ceritanya serang hendap komunis yang berlaku pada tanggal 27 April 1972 di Sibu, biarpun hanya lima orang anggota PPH melawa 100 orang komunis namun komunis akan ditentang biar nyawa jadi taruhan.


Berpangkat konstabel sahaja pada waktu itu namun keberanian yang beliau tunjukkan mengatasi segalanya. Inilah Koperal Itim Anak Bijam yang telah membariskan namanya sebagai antara enam orang anak Sarawak penerima Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P) iaitu pingat dan darjah tertinggi di senarai darjah kebesaran di Malaysia yang dikurniakan oleh YDP Agong Malaysia. Beliau menerima pengiktirafan tertinggi tersebut pada 6 Julai 1972 atas keberaniannya melawan komunis pada 27 April 1972 di Jalan Ulu Oya.


Koperal Itim Anak Bijam dilahirkan pada tanggal 31 Disember 1940 di Lubok Antu, Simanggang, Sarawak. Bujang berani dari kaum Iban ini mula berkhidmat sebagai anggota Polis Hutan berpangkat Konstabel pada 27 Februari 1963. Pada 1 Mac 1985 telah dinaikkan pangkat sebagai Lans Koperal dan seterusnya ke pangkat Koperal pada 1 Januari 1995. Bersara wajib dari dunia kepolisian Malaysia pada 31 Disember 1995.


Nama Koperal Itim AK Bijam mungkin tidak dikenali oleh ramai anak Sarawak namun ini tidak bermakna kita harus melupakan jasa dan sejarah mereka. Kita sekarang yang makan tidur, makan tidur, senang lenang berayun kaki mengecapi keamanan yang ada dek kerana pengorbanan anggota keselamatan kita seperti Koperal Itim AK Bijam. Jasa mereka harus kita kenang selagi nyawa dikandung badan.





Rujukan:


1. Buku bertajuk Warisan Perjuangan Perwira Sang Saka Biru diterbitkan oleh Institut Integriti Malaysa, Kuala Lumpur, 2007

2. Penerima Darjah Kebesaran Dan Bintang Kehormatan Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P): Koperal 78885 Itam AK Bijam

https://www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia/photos/a.670278426315801/685782208098756/?type=1&theater

3. Sarawak Tribune, 5 August 2018 by James Alexander Ritchie - Two Sarawak “Bravehearts” Who Took An Army’s of 100 CTs

https://ww.newsarawaktribune.com.my/two-sarawak-bravehearts-who-took-on-an-army-of-100-cts/

  1. Jejak Pahlawan Sarawak: SI (B) Ngalinuh Bala @ Kilah Ratu - Borneo Oracle


bottom of page