PERTEMPURAN GUNONG TEPOI, BAU, 21 NOVEMBER 1965
PERTEMPURAN GUNONG TEPOI, BAU, 21 NOVEMBER 1965
MALAYSIA pada waktu itu adalah satu negara yang baharu. Dan bukanlah mudah untuk mempertahankan kemerdekaannya ketika di proses awal penubuhannya. Untuk itu ke mana lagi hendak bersandarkan harapan selain daripada bantuan pertahanan dari negara-negara Komanwel yakni negara-negara yang pernah menjadi Koloni British suatu ketika dahulu seperti British, New Zealand, Australia dan lain-lain.
Tentera Gurkha sememangnya antara unit pasukan tentera pelbagai negara yang pernah berkhidmat untuk Malaysia ketika zaman konfrontasi suatu ketika dahulu. Dan untuk Sarawak, tentera Gurkha bukanlah satu hal yang baharu kerana sejak di zaman Brooke lagi mereka adalah antara askar upahan Dinasti Brooke bagi kempen perluasan wilayahnya di Sarawak suatu ketika dahulu.
Menguak pintu sejarah satu pertempuran yang pernah berlaku di perbatasan Sarawak/Kalimantan iaitu di Gunung Tepoi, Bau pada tanggal 21 November 1965. Jika diikutkan ianya adalah satu tugasan rutin kerana sekumpulan tentera akan dihantar untuk meninjau kawasan di garis sempadan bagi memastikan ianya tidak sembrono dicerobohi oleh anggota tentera dari negara jiran.
Namun tugasan rutin yang ramai mengatakan ianya satu tugasan mudah sebenarnya adalah satu tanggungjawab yang berat. Peluru tanpa mata yang berselindung di sebalik hutan yang tebal bila-bila masa sahaja boleh meragut jiwa anggota keselamatan yang bertugas. Dan begitulah yang terjadi ke atas segerombolan askar gurkha nun di perbatasan Bau pada hari itu.
Tindakan tentera Australia yang berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan tentera Indonesia di Sungai Koemba, Kalimantan dengan tiga siri perang yang berlangsung dari bulan Mei hingga Jun 1965 langsung tidak pernah menjadi satu ketakutan bagi tentera Indonesia pada waktu itu.
Malah kesungguhan mereka semakin meluap-luap apabila selang dua bulan kemudian iaitu sekitar Ogos 1965 melalui sumber risikan dikatakan bahawa ada satu pasukan payung terjun tentera Indonesia akan melakukan terjunan bebas di kawasan Serikin di Bau bagi membuka satu lagi “base camp” mereka di dalam wilayah Sarawak.
Bagi memastikan hal itu tidak berlaku maka satu pasukan tentera iaitu dari Batalion Ke-2, Kompeni C dari 10th Princess Mary’s Own Gurkha Rifles dibawah seliaan Kapten Christopher “Kit” Mounsell telah dihantar ke perbatasan Bau bagi menjejak aktiviti-aktiviti yang mungkin dilakukan oleh tentera Indonesia.
Tanggal 21 November 1965 pasukan peninjau dengan kekuatan 16 orang seperti biasa akan menjalankan tugasan harian mereka membuat rondaan di perimeter-perimeter tertentu di perbatasan Sarawak. Dengan diketuai oleh Koperal Rambahadur Limbu, 15 orang tentera gurkha bergerak daripada perkhemahan mereka seperti biasa.
Dan ketika sedang membuat rondaan itulah yakni apabila mendekati Gunong Tepoi, Bau mereka mendapati bahawa ada pergerakan di kawasan bukit yang berdekatan. Pada masa itulah, Koperal Limbu bersama dua orang lagi tentera gurkha nekad untuk merapati kawasan yang dimaksudkan.
Ianya harus dilakukan bagi mengetahui segala kekuatan yang dimiliki oleh tentera Indonesia pada waktu itu. Dengan cara merangkak dan bergerak dalam senyap itulah akhirnya ketiga-tiga mereka berjaya merapati kawasan musuh tanpa disedari.
Dari situlah Koperal Limbu mencatatkan kekuatan musuh dihadapan mereka adalah seramai 30 orang kesemuanya dan lengkap bersenjata. 16 orang tentera gurkha melawan 30 orang tentera Indonesia mungkin bagi kita adalah satu kerja gila namun tidak bagi Koperal Limbu dan rakan-rakannya. Bagi mereka pada masa itu, mana-mana tentera Indonesia yang berani menceroboh tanah sempadan Sarawak adalah musuh yang harus dinyahkan.
Tekad untuk mendepangi musuh, akhirnya Koperal Limbu terlebih dahulu menyerang hendap “base camp” tentera Indonesia dengan melakukan lontaran granade. Sebelum itu rakan-rakannya yang lain sudahpun berada di posisi masing-masing dan siaga untuk berbalas tembakan pada bila-bila masa.
Terjahan granade pertama Koperal Limbu telah menyebabkan 30 orang tentera Indonesia lintang pukang mengambil senjata masing-masing dan mencari kawasan berlindung untuk berbalas tembakan. Ada satu ketika yang mana pihak musuh sudah boleh membaca pergerakan Koperal Limbu dan dua lagi rakannya dalam siri serangan hendap ini telah menyasarkan peluru mereka hanya pada mereka bertiga.
Ini kerana merekalah barisan tentera gurkha yang paling rapat dengan kedudukan perkhemahan tentera Indonesia pada waktu itu. Koperal Limbu dengan secepat kilat telah menukar strategi dengan mengarahkan dua orang rakannya untuk bersama-sama beliau ke arah kawasan yang lebih terbuka bagi mengalihkan perhatian musuh. Dan ketika itulah tanpa pihak musuh sedari ada 13 orang lagi tentera Gurkha yang sudah bersedia di posisi masing-masing menghujani kawasan musuh dengan peluru bertali arus dan lontaran granade.
Sesungguhnya jika difikirkan apa yang Koperal Limbu lakukan itu yakni menjadikan dirinya sebagai sasaran mudah adalah satu kerja gila tetapi disebalik kegilaan itu ada strategi peperangan yang berjaya. Terkesima dengan serangan daripada pelbagai arah menyebabkan pertahanan pihak musuh menjadi caca merba. Kawasan perbatasan di Gunong Tepoi yang aman damai akhirnya bertukar menjadi medan peperangan yang membingitkan.
Tatkala mendengar bunyi bising tembakan dari kejauhan itulah Kapten Mounsell yang berada di kawasan perkhemahan utama yakni tidak berada jauh dari lokasi pertempuran telah mengarahkan kesemua keseluruhantentera kompeni C seramai 106 orang kesemuanya menyertai kumpulan Koperal Limbu. Ada yang tidak sempat berpakaian lengkap turut berlari mengambil senjata dan apa sahaja yang mampu digapai merapati kawasan perang.
Natijahnya dengan kumpulan yang semakin ramai daripada hanya 16 orang pada mulanya akhirnya menyebabkan tentera Indonesia semakin gentar. Setelah empat jam pertempuran akhirnya suasana Gunong Tepoi tiba-tiba senyap. Rupa-rupanya tentera Indonesia telah meninggalkan kawasan perkhemahan mereka lantas memasuki kawasan perbatasan Kalimantan sendiri.
Pertempuran Gunong Tepui, Bau yang berlaku pada tanggal 21 November 1965 itu menyaksikan tiga orang tentera Gurkha gugur terkorban mempertahankan wilayah Sarawak manakala dua orang cedera parah manakala ada beberapa orang lagi yang cedera ringan. Manakala di pihak Tentera Indonesia pula direkodkan 24 orang daripada mereka mati di lokasi perkhemahan mereka dan bakinya sempat menyelamat diri.
Atas keberanian yang ditunjukkan oleh Koperal Lambahadur Limbu yang baharu berusia 26 tahun pada waktu itu ketika pertempuran Gunong Tepoi, Bau pada 21 November 1965 telah dianugerahkan Pingat Victoria Cross iaitu darjah kehormatan tertinggi manakala 15 lagi rakan Gurkhanya turut menerima Pingat Military Cross iaitu darjah kebesaran ketiga di dalam senarai darjah kehormat Kerajaan British pada tahun 1967.
Ya, rakyat yang mendiami kota besar di Kuching mungkin tidak merasai kepayahan hidup seperti rakyat yang tinggal di perkampungan kawasan sempadan. Hendak keluar mencari rezeki payah tetapi atas nama “survival” mereka teruskan jua biar kadang-kadang nyawa jadi taruhan.
Atas nama keselamatan ada sesetengah perkampungan di perbatasan telah bersedia dengan mengorek lobang di kawasan kediaman sebagai tempat untuk berlindung sekiranya berlaku peperangan. ini bukan berlaku semasa musim Jepun sahaja sebaliknya Sarawak, Malaysia!. Azab sengsaranya hanya penduduk yang tinggal di perbatasan mengetahuinya.
Hargailah setiap pengorbanan yang telah dilakukan bagi memastikan bumi yang kita bijak ini bebas merdeka. Sarawak itu “membayar MAHAL” untuk merealisasikan penubuhan Negara Malaysia.
Lest We Forget!
Rujukan:
1. Book: The Undeclared War. The Story of the Indonesian Confrontation 1962-1966 by James, Harold, Sheil-Small, Dennis. Published 1971
2. Claret Operations and Confrontation, 1964-1966 by Raffi Gregorian, 1991 (PDF)
3. 1965 In Malaysia - Battle of Bau
https://www.revolvy.com/page/Battle-of-Bau
4 .Confrontation in Borneo
https://nzhistory.govt.nz/war/confrontation-in-borneo
5.Rambahadur Limbu, Victoria Cross
http://www.vconline.org.uk/rambahadur-limbu-vc/4587974212