top of page

JATUNG UTANG


JATUNG UTANG

- Instrumen Muzik Yang Dikenal Tanpa Sengaja Oleh Kaum Orang Ulu


SAPE merupakan antara instrumen muzik yang amat terkenal seantero dunia. Dari satu instrumen muzik yang mengiringi tarian-tarian tradisi akhirnya dengan peredaran zaman telah berjaya menembusi dunia muzik moden apabila dimainkan bersama peralatan muzik moden yang lain. Dalam pada itu bagi kebanyakan masyarakat Dayak di Borneo terutama sekali Kaum Orang Ulu turut mempunyai satu instrumen muzik yang sering mengiringi petikan sape ketika ritual-ritual adat dilaksanakan.


Instrument itu dikenali sebagai Jatung Utang iaitu satu alat yang diperbuat daripada kayu yang kemudiannya diketuk-ketuk sehingga mengeluarkan irama bertingkah-tingkah. Menurut Chong (2000), jatung utang mempunyai pelbagai ejaan nama dan sebutan berdasarkan etnik yang menuturnya di Borneo. Bagi etnik Kayan digelar tuvung lutang manakala bagi Kenyah dikenali sebagai jatung utaq dan seterusnya bagi Kenyah-Badang pula sebagai jatung ‘wog’.


Menurut sejarah instrumen muzik ini begitu unik sekali ini kerana ianya dikatakan ditemui keindahannya secara tidak sengaja. Ada satu ketika sekumpulan Kaum Orang Ulu sedang melakukan kerja huma untuk penanaman padi mereka. Dan ketika mereka sedang berehat seketika untuk melepaskan lelah setelah seharian bekerja di huma telah mengambil beberapa potongan kayu yang ditinggalkan ketika membersih ladang.


Dan potongan kayu pelbagai saiz itu telah diikat dengan tali lantas kemudiannya diketuk-ketuk bagi mengeluarkan irama ketukan yang berbeza-beza. Dan irama ketukan inilah akhirnya menjadi penghias kepada keasyikan petikan sape yang didengar sehingga ke perkampungan yang terdekat. Sejak dari itulah dikatakan jatung utang terus dijadikan instrumen muzik yang mengiringi sape di dalam majlis adat dan ritual serta tarian tradisi Kaum Orang Ulu.


Biarpun pada mulanya jatung utang berasal dari potongan kayu yang ditinggalkan sewaktu pembukaan ladang namun sejajar dengan waktu kaedah pembuatannya turut diperhalusi oleh Kaum Orang Ulu.


Hal yang terpenting di dalam mengeluarkan irama ketukan yang menyedapkan halwa telinga di dalam jatung utang adalah pemilihan jenis kayu. Untuk itu bagi sesetengah pembuat jatung utang akan lebih memilih kayu Meranti. Kayu jenis Meranti ini akan dikeringkan dengan kaedah tradisional dan kebiasaannya hanya batang kayu yang lurus dan mempunyai ukuran diameter tujuh hingga lapan cm yang dipilih. Kemudian batang kayu ini akan dibelah dua mengikut kesesuaian nada. Potongan kayu yang panjang untuk mengeluarkan nada rendah manakala potongan kayu yang pendek untuk nada yang tinggi.


Kemudian setelah mendapat potongan kayu mengikut nada ketukan rendah dan tinggi, pembuat jatung utang akan mula mengikat batang kayu dengan menggunakan tali. Kaedah jerutan atau mengetatkan kayu-kayu itu adalah satu proses yang sukar kerana hanya yang pakar dan peka pada tonasi ketukan boleh melakukannya. Semakin kuat jerutan pada tali maka ketajaman ketukan akan lebih tepat. Prosesnya akan mengambil masa yang lama telahan lagi bagi menjaga keaslian jatung utang itu, segala hal mengenai pembuatannya masih lagi bersandarkan kepada peralatan tradisional yang digunakan oleh Kaum Orang Ulu.


Dengan menggunakan satu alat pemukul yang dikenali sebagai Petit iaitu satu kayu sepanjang 20 cm dan lebarnya tiga cm akan diketuk diatas kayu-kayu jatung utang. Kedua-dua tangan kiri dan kanan perlu digunakan agar boleh mengeluarkan variasi bunyi yang berbeza lantas mengindahkan lagi petikan muzik Sape.





Rujukan:


1. Kajian Tentang Alat Muzik Tradisional Orang Ulu: Teknik Memainkan Dan Penalaan Jatung Utang oleh Caroline Ak Bidin, Sarjana Muda Seni Gunaan, UNIMAS, 2008 (PDF)

2. Jatung Utang (Tuvung Lutang)

https://www.oxfordmusiconline.com/grovemusic/abstract/10.1093/gmo/9781561592630.001.0001/omo-9781561592630-e-4002281255

  1. Jatung Utang Kesenian Tradisional https://kebudayaan.kemdikbud.go.id/bpnbkalbar/jatung-utang-kesenian-tradisional-kalimantan-utara/


bottom of page