SARFOR 1941 "LEAVE NO MAN BEHIND"
SARAWAK FORCE (SARFOR) 1941 - “LEAVE NO MAN BEHIND”
KETIKA Perang Dunia Kedua menghampiri Sarawak, Tuan Rajah Charles Vyner Brooke pada ketika itu mengharapkan agar pihak British bersama-sama mempertahankan Sarawak sepertimana apa yang dijanjikan di dalam Perjanjian Protectrate 1888. Namun begitu dek kerana British sendiri terlibat secara langsung di dalam perang tersebut dan keutamaan diberikan bagi mempertahankan Malaya dan Singapura menyebabkan bantuan yang diharapkan seperti pesawat pengebom dan sebagainya tidak dapat direalisasikan.
Walau bagaimanapun, British pada waktu itu hanya menghantar satu pasukan infantri bagi membantu Sarawak untuk menghadapi perang darat iaitu Batalion 2/15th Punjabi Regiment. Mereka inilah yang menjadi barisan hadapan serta turut membantu melatih satu pasukan anak watan Sarawak yang dikenali sebagai Sarawak Force atau SARFOR bagi menghadapi sendiri tentera-tentera Jepun pada ketika Perang Dunia Kedua berlangsung.
Sarawak Force atau SARFOR terdiri daripada empat unit iaitu:
Sarawak Coastal Marine Service
Sarawak Rangers
Sarawak Armed Police
Sarawak Volunteer
Ketika Miri di kancah Perang Dunia Kedua, SARFOR bersama askar punjabi seperti yang dirancang telah menjalankan taktik bumi hangus ke atas semua infrastruktur minyak di kawasan tersebut. Tujuan kaedah itu digunakan agar Jepun tidak sewenang-wenangnya mendapat semua kemudahan yang sedia ada di Miri di dalam kempen “Kita Boruneo” mereka. Setelah itu SARFOR mengundur diri ke Kuching bagi mempertahankan Kuching dengan kaedah perang darat.
Tanggal 19 Disember 1941, 16 pesawat pengebom Jepun sudah mula mendatangi Kuching dan sasarannya adalah bandar Kuching. Jumlah korban pada waktu itu sahaja seramai 25 orang awam terbunuh dan lebih 80 orang cedera. Manakala lapangan terbang Kuching turut telah disediakan oleh SARFOR dengan menanam 50 bom di sepanjang lapangan terbangnya bagi mengelakkan pesawat Jepun mendarat. Biarpun lapangan terbang Kuching tidak dimusnahkan pada 19 Disember 1941 namun empat hari kemudian ianya turut menjadi salah satu bahagian daripada taktik “bumi hangus” apabila diarahkan untuk dimusnahkan kerana konvoi kapal perang Jepun semakin menghampiri kawasan laut berdekatan Kuching.
Pada 24 Disember 1941, 25 buah kapal perang Jepun bersaiz kecil telah mula menghampiri muara Sungai Sarawak iaitu di Santubong dan juga kawasan Muara Tebas. Pada waktu itu, The Sarawak Coastal Marine Service dan Sarawak Rangers sudahpun bersedia di sepanjang tebing Sungai Sarawak. Dua unit SARFOR bersama-sama dengan pasukan Rejimen Punjabi terlebih dahulu memerangi tentera Jepun dengan bedilan 18-pounder guns serta mortar. Mereka terus-terusan memerangi tentera Jepun biarpun jumlah keanggotaan dan peralatan yang ada agak minimal berbanding tentera Jepun pada waktu itu. Sungguhpun begitu mereka masih berjaya menenggelamkan tujuh buah kapal kecil tentera Jepun sebelum mengundur diri ke bandar Kuching sekitar jam 4.30 petang.
Ketika proses pengunduran itulah The Sarawak Coastal Marine Service, Sarawak Rangers dan satu platoon Regiment Punjabi telah berjaya ditangkap ketika menghampiri Jambatan Gantung. Mereka sebenarnya tertipu dengan penyamaran tentera Jepun yang sudahpun berada di bandar Kuching itu sendiri lebih awal malah mereka langsung tidak dapat dikesan keberadaan mereka selama ini. Mereka inilah yang terlebih dahulu menyelinap di kalangan rakyat menjadi perisikan Jepun menghantar maklumat bagi menyenangkan pendudukan mereka di bumi Kuching. Dengan mengenakan pakaian seragam Sarawak Police Constubulary itulah mereka berjaya memperdayakan unit-unit SARFOR yang baharu sahaja hendak mendarat.
Dengan tertangkapnya sebilangan anggota unit-unit itu di Kuching maka mudahlah kapal-kapal perang Jepun yang sarat dengan anggotanya mendarat di bandar Kuching. Mereka tidak mengambilmasa yang lama kerana SARFOR sendiri tidak meletakkan pertahanan di dalam bandar Kuching bagi mengelak adanya nyawa penduduk Kuching yang melayang kelak sekiranya perang darat berlaku di dalam bandar. Sebaliknya SARFOR lebih memusatkan operasi mereka di kawasan seperti di Batu Kitang, Batu 7 dan kawasan sekitarnya.
Menjelang tengahmalam iaitu ketika ramai masyarakat Sarawak sedang bersedia untuk menyambut Hari Krismas, hampir kesemua kawasan bandar Kuching telah ditawan Jepun. Pada masa ini unit Sarawak Volunteer yang terdiri daripada anak-anak watan perkampungan sekitar Kuching memainkan peranan mereka. Jepun mungkin menyangka mereka hanya penduduk Kuching yang biasa-biasa sahaja tetapi sebaliknya mereka sudahpun dilatih untuk menggunakan senapang dan sebagainya sekiranya perlu. Dari Sarawak Volunteer inilah yang menjadi barisan benteng pertahanan utama untuk menjaga keselamatan penduduk-penduduk kampung di Kuching agar tidak sewenang-wenangnya diceroboh oleh tentera Jepun yang terkenal dengan sikap buas mereka.
Mereka jugalah sebenarnya yang berkemampuan untuk menyalurkan maklumat kepada unit-unit SARFOR yang bersedia di perimeter operasi mereka. Gerak langkah setiap unit tentera Jepun sentiasa diperhati dan adakalanya nyawa mereka boleh sahaja melayang di baronet senapang Jepun jika langkah mereka sumbang dan mampu dihidu penglibatan mereka dalam unit SARFOR.
Ketika penggeledahan tentera Jepun pada hari Krismas, ramai penjawat awam Sarawak berbangsa Eropah dan keluarganya ditangkap. Pada masa itu dikatakan penduduk berketurunan Melayu, Iban dan sebagainya cuba membantu dalam senyap dengan memberikan perlindungan kepada bangsa Eropah yang sedang di dalam kesusahan. Sarawak Volunteer menjadi pengantara untuk menyelamatkan mereka yang tidak tertawan ke kawasan Operasi SARFOR untuk dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.
Menjelang tengahmalam ramai wanita dan anak-anak kecil yang berjaya dibawa ke kawasan SARFOR dan pada kali ini mereka yang terselamat diarahkan untuk ke Kalimantan. Keberadaan SARFOR di kawasan operasi mereka bagai telur dihujung tanduk. Tentera Jepun yang menggunakan jalan darat sudah kian menghampiri Kuching. Yang menggunakan jalan laut sudah merata-rata di dalam bandar Kuching. Wanita dan anak-anak kecil harus dipindahkan dengan seberapa segera ke kawasan Kalimantan seperti yang diarahkan.
Konvoi wanita dan anak-anak kecil terlebih dahulu menaiki feri di Batu Kitang namun ditengah-tengah perjalanan, beberapa unit SARFOR yang masih menunggu giliran menaiki feri telah diserang hendap oleh tentera Jepun. Maka berlakulah satu pertempuran darat antara SARFOR dan Jepun. Hamburan peluru bertali arus dan begitu juga lontaran mortar yang membingitkan telinga menjadikan kawasan Batu Kitang hingar bingar jadinya.
Lain pula ceritanya kepada feri Batu Kitang yang sedang menyeberang sungai tersebut. Dek kerana terkejut dengan bunyi pertempuran di daratan, dikatakan si pemandu feri dan pembantunya bertindak terjun ke dalam air sungai demi untuk menyelamatkan diri lantas meninggalkan feri itu terumbang-ambing tanpa pemandu. Melihat akan keadaan feri yang membawa wanita dan anak-anak kecil hanyut dibawa arus sungai menyebabkan ada sebilangan unit SARFOR meninggalkan perang darat mereka demi untuk menyelamatkan feri tersebut. Kerana ada perahu-perahu yang dihambat di tepi sungai itulah digunakan oleh mereka untuk menghampiri feri tersebut.
Tentera Jepun yang merasakan bahawa mereka sudah menang pada pertempuran di Batu Kitang telah menghentikan serangan mereka apabila didapati jumlah yang terkorban dipihak SARFOR cukup besar telahan lagi ada yang berjaya ditangkap hidup-hidup. Ada sebilangan SARFOR yang berlindung di kawasan hutan berhampiran di tebingan sungai tidak dicari oleh tentera Jepun. Selepas tentera Jepun berlalu pergi itulah mereka dibantu oleh beberapa penduduk tempatan untuk menghantar mereka menyeberangi sungai ke seberang mengikut konvoi feri yang sudah diselamatkan.
Perjalanan unit-unit SARFOR seterusnya adalah dengan berjalan kaki sahaja sehinggalah ke Krokong. Tatkala menghampiri kawasan sempadan itulah, mana-mana rakyat Sarawak di dalam SARFOR diarahkan untuk meninggalkan konvoi tersebut. Ini kerana tugas pertahanan mereka tidak boleh melebihi kawasan sempadan Kalimantan dibawah Belanda. Biarpun begitu ada sebilangan kecil Sarawak Rangers dan Sarawak Volunteer secara sukarela tidak mahu meninggalkan anggota unit Punjabi Regiment mahupun anggota tentera British yang bersama mereka sejak dari mula. Sebaliknya ada beberapa orang anak Iban di dalam Sarawak Ranger dan anak Melayu dalam Sarawak Volunteers secara sukarela bersama mereka biarpun tahu bahawa perjalanan ke Sanggau iaitu destinasi dituju bukanlah satu perjalanan yang mudah.
Inilah antara ceritera SARFOR di dalam kancah perang dunia kedua yang ramai tidak mengetahuinya. Keanggotaan mereka tidaklah ramai tetapi mempunyai signifikasi di dalam mempertahankan Kuching dari pendudukan Jepun bersama-sama dengan Batalion Punjabi Regiment serta askar British. Setiakawan itu tetap ada biarpun semasa perang berlangsung. LEAVE NO MAN BEHIND!
Rujukan:
1. Japanese Attack On Sarawak In December 1941 and The Fighting Withdrawal of 2/15th Punjab Regiment
http://www.kaiserscross.com/304501/521701.html
2. Dutch East Indies Campaign, Borneo (15 Dec 1941 - 1 Apr 1942)
https://ww2db.com/battle_spec.php?battle_id=63
Journal by Bob Reece - Masa Jepun; Sarawak Under The Japanese, 1941-1945