BUAYA SI BUJANG BELAWAI
BUAYA SI BUJANG BELAWAI @ “RAJA MELANAU”
BERBICARA tentang saiz dan keganasan sang buaya atau sang bedal kebiasaannya sudah tentu Sarawak mendominasi ceriteranya. Bujang Senang, Bujang Sudin, Bujang Seblak dan banyak lagi gelaran sang buaya-buaya cukup dikenali oleh rakyat di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya. Sungai Batang Lupar berserta dengan anak-anak sungainya cukup terkenal dengan sang buaya yang bila-bila masa sahaja jika tidak berhati-hati akan menjadikan manusia sebagai hidangannya.
Dalam pada itu mungkin ramai yang sudah melupakan atau tidak mengetahui bahawa nun di Belawai sebenarnya cukup terkenal dengan seekor buaya bersaiz “raksasa” yang kali terakhir mengganas pada akhir tahun 1982. Dan di Sungai Belawai suatu ketika dahulu pernah ada seekor buaya yang dikenali sebagai si Bujang Belawai yang turut digelar “Raja Melanau” di kalangan penduduk tempatan dan ia turut dipercayai sebagai “penjaga” sungai tersebut.
Alkisah mengapa Bujang Belawai diburu bermula apabila seorang penduduk yang tinggal di Kampung Sebayang iaitu yang bernama Aki Nugung telah dibaham oleh Bujang Belawai pada tahun 1982. Pada ketika itu dikatakan Aki Nugung yang merupakan seorang nelayan dijadikan santapan oleh si Bujang Belawai setelah dia terjatuh ke dalam sungai akibat perahunya dilibas oleh ekor si penjaga Sungai Belawai.
Tatkala sudah membuat onar, mana-mana buaya yang telah memakan manusia pasti diburu samada hidup atau mati. Maka begitulah si Bujang Belawai apabila satu operasi telah digerakkan oleh Polis Marin Sarawak memburunya. Selain kaedah menangkapnya menggunakan pawang buaya gagal maka operasi bersepadu digerakkan secara besar-besaran.
Setelah jejak Bujang Belawai dapat dikesan akhirnya pasukan Polis Marin Sarawak mengatur strategi untuk berhadapan dengan buaya raksasa ini. Setiap langkah harus diatur dengan berhati-hati kerana peluang hanya sekali sahaja memandangkan bila-bila masa si Bujang Belawai boleh kembali ke lubuknya. Pada masa itulah Polis Marin telah menembak buaya pembaham Aki Nugung dan seterusnya dibom untuk mematikannya.
Berdasarkan pautan akhbar yang dipamerkan di Jong Farm Crocodile, Kuching menjelaskan betapa besarnya si Bujang Belawai ini iaitu panjangnya sahaja 15 kaki (45 meter) dan beratnya 500 pound (227 kg). Dengan saiznya itu sahaja cukup membuktikan bahawa Bujang Belawai “Raja Melanau” turut dikategorikan sebagai buaya “raksasa” di Sarawak.
Rujukan:
Buku: Man-eating Crocodile of Borneo published 1993
https://www.libur.com.my/sarawak-padat-buaya-pembaham-manusia/
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1142594229094846&set=a.217795641574714&type=3&theater