top of page

DISEBALIK NAMA JALAN BERDASARKAN NAMA KAUM CINA DI KUCHING


KITA mungkin kenal setiap nama jalan-jalan yang kita lalui ataupun tinggal kerana itu penting untuk mengelakkan kita terus tersesat jalan misalannya. Namun begitu tidak ramai antara kita yang mengetahui sejarah di sebalik nama-nama jalan yang tersebut. Hakikatnya setiap nama jalan itu sudah pasti tidak dinamakan sedemikian rupa sekiranya ia tidak mempunyai makna yang tertentu lebih-lebih lagi di dalam kita memberikan penghargaan dan pengiktirafan dari segi sejarah kepada si empunya nama jalan.


Berikut merupakan sebahagian daripada nama jalan yang begitu menarik untuk kita ketahui pensejarahannya iaitu yang melibatkan nama-nama kaum Cina di Sarawak.


1. Jalan Chong Ted Tsiong


Mengambil bersempena dengan nama Datu Bandar Ketiga Majlis Bandaraya Kuching Selatan yang berkhidmat dari tahun 2006 hingga 2007 iaitu Chong Ted Tsiung. Mempunyai sejarahnya tersendiri kerana dilantik memegang teraju sebagai Datu Bandar pertama yang bukan daripada lantikan politik yakni seorang penjawat awam Kerajaan Sarawak.


2. Jalan Datuk Wee Kheng Chiang


United Oversea Bank (OUB) itulah nama satu bank yang pernah mendominasi dunia perbankan di Sarawak. Dan pengasasnya adalah Datuk Wee Kheng Chiang, seorang ahli perniagaan berbangsa Cina Hokien. Dilahirkan di Kuching pada tanggal 22 Julai 1890 dan merupakan bekas penuntut Sekolah Saint Thomas, Kuching.


Pada tahun 1924, Datuk Wee menubuhkan Bian Chiang Bank yang sekarang sudah menjadi sebahagian daripada CIMB Group. Pada tahun 1935, beliau menubuhkan United Overseas Bank (OUB) yang kekal sehingga ke hari ini tetapi operasi ibupejabatnya telah berpindah ke Singapura.


3. Jalan Ewe Hai


Ong Ewe Hai begitulah nama sebenar si empunya jalan tersebut iaitu yang merupakan seorang Kapitan Cina ketika Brooke memerintah di Sarawak. Ketika tragedi kebakaran besar di Kuching pada tahun 1885, Ewe Hai adalah antara yang tampil membantu masyarakat Cina yang ramai memiliki kedai-kedai di sekitar Jalan Carpenter. Letak duduk kenapa dan mengapa hanya dinamakan “Ewe Hai” pada jalan tersebut adalah konon-kononnya bagi menghormati Tuan Rajah pada masa itu kerana “Ong” di dalam dialek Cina Hokien bermaksud “Raja”.


4. Jalan Song Thian Cheok


Individu di sebalik nama jalan ini merupakan antara nama ahli politik tersohor di dalam Sarawak United People Party (SUPP). Pada tahun 1956 bertanding untuk majlis berkuasa tempatan yang dipelopori oleh British dan memenanginya. Sejak itu menjadi sebahagian Kaunselor di Kuching sehinggalah pada tahun 1965 yang mana menyaksikan beliau dilantik menjadi Datuk Bandar sehingga tahun 1977.


5. Jalan Ong Tiang Swee


Menurut sejarahnya, nama jalan ini sudahpun wujud sejak di tahun 1930an lagi iaitu ketika Tuan Rajah Charles Vyner Brooke memerintah. Ong Tiang Swee merupakan seorang Kapitan Cina di Kuching dan turut merupakan seorang ahli perniagaan tersohor dahulukala. Kerana pengaruhnya di dalam masyarakat Cina di Kuching pada masa itu menyebabkan Tuan Rajah Brooke melantik beliau sebagai Ahli Council Negri dari masyarakat Cina yang pertama.


6. Jalan Ong Kwan Hin


Selepas jalan ini disiapkan pada tahun 1956, British yang menamakannya dengan nama Jalan Ong Kwan Hin. Ong Kwan Hin adalah anak kepada Ong Tiang Swee yang mana merupakan Presiden dan Pengerusi kepada Persatuan Hokkien Kuching dan pengaruhnya amat luar biasa di kalangan masyarakat Cina di Kuching.


7. Jalan Ong Hup Leong


Keluarga Ong merupakan antara keluarga masyarakat Cina Hokkien yang berpengaruh ketika zaman Brooke memerintah. Jalan ini sudahpun wujud sekitar tahun 1940an lagi iaitu mengambil bersempena dengan seorang ahli Council Negri yang bernama Ong Hup Leong iaitu anak lelaki bongsu kepada Ong Tiang Swee.


8. Jalan Ong Kee Hui


Nama jalan ini diambil bersempena dengan pengasas dan Presiden pertama Sarawak United People Party (SUPP) iaitu Tan Sri Ong Kee Hui. Seorang ahli politik tersohor di Sarawak pada waktunya yang turut pernah memegang jawatan sebagai Datuk Bandar Kuching malah merupakan Ahli Parlimen Kuching (1971 hingga 1981). Beliau juga adalah mantan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Malaysia.


9. Jalan Ban Hock


Mengambil bersempena dengan satu firma pembinaan yang dimiliki oleh Yeo Guan Chow yang bernama Ban Hock. Ianya adalah satu firma pembinaan yang telahpun beroperasi semenjak zaman Brooke lagi iaitu Tuan Rajah Charles Brooke. Syarikat Ban Hock inilah yang memjadi nadi cita-cita Tuan Rajah CV Brooke untuk membina Bangunan Pavilion yang masih kekal sehingga ke hari ini.


10. Jalan Tan Sri Datuk William Tan


Nama sebenar si empunya nama jalan ini adalah William Tan Ho Choon yang mana di kalangan masyarakat Kuching adalah seorang yang sangat baik dan berhati mulia. Cukup terkenal dengan sifatnya yang pemurah dan kerja-kerja kebajikan membantu rakyat dan menjadi antara pelopor Sarawak Red Cresent, Sarawak Scouts serta banyak lagi. Malah sejak di tahun 1930an lagi sudah mempunyai satu NGO yang dinamakan Gatsby di Sarawak. Sifat dermawan yang dibawanya sehingga ke akhir hidupnya biarpun hakikatnya dirinya berasal dari keluarga yang berada. Tidak pernah sombong dan bergaul dengan masyarakat setempat apa adanya.



Inilah 10 nama jalan di Kuching berdasarkan nama-nama dari kaum Cina Sarawak yang sudah tentu mempunyai signifikasi di dalam sejarah Sarawak. Cuma ada ralat di dalam hati kerana ada satu nama jalan yang agak pelik dari segi sejarahnya iaitu Jalan Ang Cheng Ho. Sewaktu kajian cuba menggali apakah signifikasi nama jalan ini di dalam sejarah masyarakat di Kuching kerana ianya merujuk kepada Laksamana Ang Cheng Ho yang cukup terkenal dengan sejarah di Melaka. Atau mungkin nama besar ini pernah berkunjung ke Kuching suatu ketika dahulu. Wallahualam.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.




Rujukan:


  1. https://www.theborneopost.com/2011/12/11/road-names-in-kuching/

  2. https://www.thestar.com.my/news/community/2011/03/01/the-story-behind-the-states-streets-and-roads


bottom of page