MASJID TERTUA DI SIBU - MASJID AL-QADIM
SARAWAK tidak pernah kurang dengan sejarah masjid-masjid lama yang masih kekal hingga ke hari ini. Di Sibu mempunyai satu masjid yang mana sejarahnya tidak kurang hebatnya suatu waktu dahulu. Masjid tersebut adalah Masjid Al-Qadim yang mana menurut pensejarahannya dibina dengan hasil daripada kutipan derma penduduk tempatan iaitu hasil daripada penanaman huma dan sebagainya.
Dikatakan semasa Masjid Al-Qadim dibina ianya hanya mempunyai struktur kayu dan beratapkan daun nipah. Dan pembinaannya pula adalah hasil usaha seorang pendakwah yang aktif di dalam memperkembangkan syiar Islam di Sibu pada waktu itu iaitu yang bernama Tuan Haji Salam Minangkabau. Gelaran “Minangkabau” pada hujung nama pendakwah ini adalah gelaran penduduk tempatan kepadanya kerana beliau adalah dari Orang Minang yang berasal daripada Minangkabau. Dek kerana Tuan Haji Salam adalah seorang yang pandai bertukang rumah maka tidaklah menjadi masalah untuknya membina sebuah masjid di Sibu sebagai tempat untuk beribadah bagi warga Sibu dahulu kala. Dalam pada itu terdapat dua teori sejarah mengenai bilakah tahun sebenar masjid ini didirikan kerana Masjid Al-Qadim ini merupakan antara masjid yang tertua di Sarawak. Menurut penduduk tempatan sebenarnya masjid ini dibina pada tahun 1830 iaitu jauh sebelum Brooke datang memerintah Sarawak. Dan tidak kurang juga yang mengatakan bahawa masjid ini mungkin dibina seawal tahun 1881 iaitu sebelum berlakunya peristiwa “Lampong Pecah” di Sibu pada tahun 1883. Dan keunikan pada masjid ini selain daripada sejarahnya adalah bagaimana sebenarnya masjid ini walaupun telah melalui beberapa baikpulih dan pembinaan tambahan, lokasi asalnya tetap sama malah tidak terusik pada binaan tengah masjid yang juga merupakan binaan asalnya.
Biar hari berganti bulan, bulan berganti tahun, Masjid Al-Qadim tetap berdiri megah di lokasi asal ianya dibina lebih seratus tahun dahulu. Ia tetap menjadi lambang keutuhan syiar Islam di bumi Sarawak amnya dan Sibu khususnya.
Rujukan:
https://sibu.sarawak.gov.my/page-0-218-256-Tempat-Keagamaan-di-Sibu.html
https://www.utusanborneo.com.my/2018/02/05/menara-asal-masjid-al-qadim-kembali-sempurna