TELAGA RADEN BISA
TELAGA RADEN BISA
- Cerita Legenda Dari Negara Brunei Darussalam
BILA berkata mengenai telaga atau perigi yang mana airnya boleh menyembuhkan penyakit sememangnya antara cerita rakyat yang popular seantero dunia. Di negara Brunei Darussalam misalnya turut mempunyai satu cerita legenda yang membicarakan kesaktian air di satu telaga yang mampu menghilangkan bisa-bisa akibat daripada terkena racun atau gigitan serangga.
Al-sahibul hikayat diceritakan dahulu kala ada satu telaga yang terletak di sebuah kampung yang bernama Kampung Tanjung Nangka. Dan penempatan itu dinamakan Kampung Tanjung Nangka kerana dahulunya pernah tumbuh sebatang pokok nangka yang bersaiz besar. Lagi menambah magis pada pokok ini kerana setiap biji buah nangka yang dikeluarkannya juga begitu besar dan berat iaitu kadang-kadang boleh mencapai sehingga 30 kg beratnya.
Oleh kerana terkenal dengan pokok nangka yang bersaiz luar biasa itulah maka satu penempatan yang kecil bertukar menjadi satu perkampungan yang besar apabila ramai yang berpindah ke kawasan tersebut. Kerana ianya sudah masyhur maka sejak dari itulah satu kawasan yang tidak bernama pada mulanya dipanggil Kampung Tanjung Nangka sehingga sekarang.
Itu cerita bagaimana perkampungan lokasi telaga itu berada mendapat nama dan berbalik kita kepada penceritaan cerita lagenda telaga sakti yang dinamakan Telaga Raden Bisa. Ianya masih berkisar mengenai penduduk asal Kampung Tanjung Nangka yang mana diceritakan bahawa suatu masa dahulu ada satu keluarga yang mendiami perkampungan tersebut. Pada mulanya ianya adalah satu keluarga yang cukup sempurna dengan kedua-dua pasangan suami isteri dikurniakan dengan dua orang cahayamata yang diberikan nama Raden (anak sulung) dan Ugang (anak kedua).
Raden dan Ugang dibesarkan dengan penuh limpah kasih dan sayang daripada kedua orangtua mereka biarpun penghidupan agaklah sederhana pada ketika itu. Namun segalanya tidaklah lama kerana ibu mereka meninggal dunia ketika melahirkan anak yang bongsu yang menyebabkan ayah mereka akhirnya keseorangan membesarkan tiga orang anak. Dengan anak bongsu yang dinamakan Musa masih kecil menyebabkan si ayah perlu menggalas tanggungjawab yang cukup besar demi untuk kelangsungan penghidupan mereka berempat. Dialah ibu dan dialah juga ayah.
Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari ketika si ayah sedang memasak tebu bagi dijadikan gula, beliau mendapati ada sejenis tumbuhan hijau berada di dalam bilahan kayu api yang sedang marak menyala di dapur rumah mereka. Melihat akan ianya adalah sesuatu yang amat jarang berlaku, lantas si ayah mengambil tumbuhan hijau tersebut dan setelah diamati dengan lebih teliti ternyata tumbuhan hijau itu adalah pohon balik angin.
Dan suatu masa dahulu berdasarkan kepada kepercayaan orang lama, pohon balik angin bukanlah begitu mudah untuk didapati dan hanya yang terpilih sahaja akan menemuinya. Ini kerana pohon balik angin ini mempunyai 1001 kegunaan malah turut dipercayai boleh membawa tuah kepada siapa-siapa yang memilikinya.
Si ayah cukup gembira dengan “anugerah” diberikan kepadanya lantas beliau mahu ketiga-tiga anak lelakinya akan mendapat manfaat daripada pohon balik angin tersebut maka beliau sendiri membahagikan pohon itu kepada tiga bahagian. Iaitu anak yang sulung, si Raden mendapat bahagian akar manakala si Ugang diberikan tangkai dan seterusnya si Musa hanya mendapat daun. Akur dengan perintah ayah mereka lantas ketiga-tiga anak itu memakan bahagian masing-masing seperti saranan si ayah.
Hari berganti bulan dan bulan berganti tahun akhirnya Raden, Ugang dan Musa meningkat dewasa menjadi pemuda yang sangat kacak rupa parasnya serta tegap tubuh badan. Biarpun begitu Raden anak yang sulung tidaklah bernasib baik seperti adik-adiknya iaitu Ugang dan Musa. Ini kerana Raden dikatakan banyak menyendiri disebabkan beliau amat ditakuti oleh penduduk kampung pada waktu itu.
Mungkin hasil daripada memakan akar pohon balik angin sewaktu kecil dahulu menyebabkan beliau tidak boleh bersentuh dengan orang lain kerana sesiapa sahaja boleh terkena racun sekiranya disentuh oleh beliau. Malah turut diceritakan bekas tapak kaki beliau berjalan pun, rumput akan mati. Hal ini menyebabkan Raden menyendiri dan tidak mampu berbuat apa-apa melainkan hanya berada dekat dengan rumah dan kedua-dua adik dan ayahnya sahaja. Ini kerana bisa si Raden itu tidak lut kepada anggota keluarganya.
Ugang dan Musa pula lebih bernasib baik selepas memakan pohon balik angin kerana Ugang dikhabarkan menjadi seorang yang mempunyai kekuatan yang luar biasa. Dek kerana kekuatan yang luar biasa itulah menyebabkan si Ugang diambil bekerja di kawasan yang lain. Manakala si Musa pula kerana sifatnya yang terlalu rajin dan patuh bekerja menyebabkan beliau sangat disayangi oleh majikannya. Si Musa amat jarang berada di rumah kerana sering mendapat kepercayaan daripada majikannya untuk bertugas di luar kawasan penempatan mereka.
Melihat kejayaan adik-adiknya menyebabkan si Raden merasa jauh hati. Ditambahlagi penduduk kampung sering mengejek beliau dengan nama Raden Bisa menyebabkan beliau cukup rasa terhina. Bila adik-adiknya tiada di rumah, Raden menjadi semakin sunyi dan beliau nekad untuk meninggalkan kampung halamannya lantas mendiami satu pondok kecil di dalam hutan jauh daripada masyarakat.
Bosan dan kesunyian akhirnya si Raden sudah lelah dengan penghidupan beliau sendiri lantas ketika kedua adiknya menziarahi beliau di hutan, si Raden memaksa Ugang dan Musa untuk menamatkan riwayatnya. Sudah tentu permintaan si abang dibangkang oleh kedua-dua adiknya namun si Raden menggugut jika Ugang dan Musa tidak memenuhi permintaannya maka beliau akan masuk ke kampung dan membunuh siapa sahaja yang beliau lihat.
Mendengar akan ugutan si Raden dan adik-adiknya mengetahui yang abang mereka bersungguh mengotakan apa yang dikatanya maka di dalam keterpaksaan biar berat hati akhirnya Ugang melemparkan lembing ke arah dada si Raden menyebabkan beliau tersungkur lalu mati berdekatan dengan satu telaga di hutan dan darahnya menitis ke dalam telaga itu.
Sejak dari itulah dikatakan air di telaga itu menjadi tumpuan penduduk setempat kerana ianya dapat menjadi air penawar mereka yang terkena bisa-bisa serta mampu menyembuhkan pelbagai penyakit dengan cara memandi atau meminum airnya. Telaga itu sehingga sekarang masih ada nun di Kampung Tanjung Nangka, Negara Brunei Darussalam.
Nota: Gambar penghias teaser artikel hanya gambar hiasan semata-mata.
Rujukan:
1. Lagenda Telaga Raden Bisa Dan Kampung Tanjong Nangka
http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Rencana/NewDisplayForm.aspx?ID=276&ContentTypeId=0x0100AB69AA555002494AB2FB40905279B027
Telaga Raden Bisa Well That Heals
http://bruneiresources.blogspot.com/2006/08/telaga-raden-bisa-well-that-heals.html