KUBUR GANTUNG MELANAU
KUBUR GANTUNG MELANAU
KAEDAH pengebumian masyarakat di dunia dahulukala sememangnya antara topik yang sentiasa dibelenggu dengan mistik dan penuh supernatural. Di Sarawak misalnya antara kaum yang mempunyai ceritera mistik itulah kaum Melanau. Jika Jerunai atau jerunei merupakan tempat persemadian kekal bagi golongan bangsawan masyarakat Melanau dahulukala, mungkin ramai tidak mengetahui bahawa ada satu lagi tempat persemadian masyarakat Melanau dahulukala yang digelar kubur gantung.
Jerunai adalah satu kompleks kubur yang tinggi menegak namun untuk kubur gantung pula ianya adalah keranda yang mempunyai empat tiang dan berukuran enam kaki dari tanah. Ini bermaksud keranda atau kubur gantung ini tidak ditanam di dalam tanah seperti yang biasa kita lihat sekarang.
Menurut sumber difahamkan bahawa keberadaan mengapa dan kenapa adanya kubur gantung wujud di kalangan masyarakat Melanau yang mendiami Mukah misalnya adalah kerana suatu waktu dahulu, kawasan Mukah adalah kawasan yang rendah. Yang mana menyaksikan ianya sering digenangi air dan bagi mengelakkan jasad anggota keluarga berendam di dalam air serta mengelakkan ianya dihanyutkan air menyebabkan ada yang sengaja mengkebumikan jasad anggota keluarga mereka dengan meletakkan tiang pada kubur.
Selain itu tidak kurang yang mempercayai bahawa kubur gantung itu wujud bukan secara kebetulan sahaja sebaliknya mempunyai ceritera di sebaliknya. Menurut sumber menyatakan bahawa kubur gantung hanya dikhaskan untuk mana-mana masyarakat Melanau yang sebelum kematiannya menghidapi penyakit yang kronik yang digelar sebagai “orang peraun”.
Dan tatkala orang peraun itu sudah meninggal dunia maka tapak kuburnya harus dibezakan bagi memastikan penyakit si mati berjangkit kepada orang lain. Malah difahamkan kubur gantung dibina berserta dengan bumbung. Oleh kerana yang dikubur adalah orang peraun, jadi selepas sahaja proses pengebumian difahamkan menguburkan setiap yang terlibat di dalam urusan pengkuburan itu harus segera beredar dengan melarikan diri ke dalam hutan. Dan tempoh pantang itu dilakukan selama dua tiga bulan. Kesemuanya dilakukan bagi mengelak sesuatu yang tidak diingini berulang kepada keluarga mereka pula.
Jika jerunai dihiasi dengan ceritera adanya “hamba” yang akan dibawa bersama dan untuk kubur gantung pula sesetengah sumber menyatakan bahawa akan ada seekor kucing putih diletakkan di atas kubur gantung yang akan bertindak sebagai penjaga kubur tersebut.
Kaedah pengebumian kubur gantung sudah lama ditinggalkan oleh masyarakat Melanau dan yang ada di Kampung Telian, Mukah misalnya merupakan antara warisan tidak ternilai bagi membenarkan bahawasanya suatu waktu dahulu kubur gantung pernah dipraktikkan di kalangan masyarakat Melanau di Sarawak.
Rujukan:
1. Tajuk Buku: Upacara Kematian Melanau Likow Di Sarawak oleh Dzulfawati Haji Hassan
Kubur Gantung
http://kampungtellian.blogspot.com/2012/01/kubur-gantung.html